Sesi Monolog Dalaman

Monday, May 30, 2011

Kerinduan Terus Menyapa

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, syukur segalanya berjalan lancar. Majlis perkahwinan abang keduaku berjalan dengan sempurna walaupun ada kekurangan di sana sini. Dan rasa sedih jugak tidak berada lama di kampung halaman. Ada tugas yang diamanahkan perlu digalas. Sekarang sudah pun berada di bumi Shah Alam.

Wajah ibu ditatap lama. Wajah itu menyimpan segala gelodak rasa. Sukar ditafsir dan diramal. Menunggu masa dan ketika sahaja untuk dihamburkan. Waktu kenduri, ramai sanak-saudara bertandang. Mungkin kesunyian itu tidak terasa mana. Tetapi sebaik sahaja semuanya melangkah pulang, pasti sesuatu perasaan terus selubungi jiwa. Sunyi dan hening.

Waktu ini hanya aku dan ibu sahaja. Tiba-tiba ibu bersuara,

"Kadang-kadang rasa macam tak percaya ayah dah pergi, selalu kita tau yang ayah pergi mana-mana mesti balik. Ni dah tak balik. Pergi yang tak kembali."

Mata mak berkaca. Hati dan diri terus rasa hiba. Ya Allah kalau aku rindu pada arwah ayahku, ibuku berkali ganda rindu pada suaminya.

Aku terus peluk ibu. Ibu seorang yang kuat. 

Al-fatihah.


Hami Asraff : 
1. Doakan aku terus melangkah dengan perjuangan yang masih beribu batu ini.
2. Beberapa hari yang lepas termimpikan arwah ayah.
3. Entri terpendek pernah dihasilkan. 


Monday, May 23, 2011

Terima Kasih Atas Pengakuan Jujur Anda Walaupun Tanpa Dipinta








Assalamualaikum w.b.t

Kaki masih belum sembuh sepenuhnya lagi. Tak ramai yang tahu. Sesiapa yang ada terbaca di Twitter dan Facebook aku barangkali tahu apa kena dengan kaki aku. Masih sakit apabila solat. Ambil masa untuk sembuh. InsyaAllah.

Rentetan daripada entri sebelum ini iaitu 'Quote' Itu Adalah Nukilan Spontanku Sekiranya Tiada Nama Penciptanya, ingatkan habis di situ. Secara jujurnya entri itu tidak ditujukan kepada sesiapa pun. Pandangan umum. Untuk sesiapa sahaja. Untuk semua blogger yang tersangat sayang akan karya masing-masing. Tiada cetak rompak.

Sehingga semalam. Dapat satu mesej dari kamar inbox Facebookku. Agak panjang. Mesejnya berbunyi begini :


Salam perkenalan.

Saudara hami asraff yang aku kagumi. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah.
Aku baru habis menyelami maksud entri yang paling latest di blog kamu. Aku tersedak. Terkedu juga. Dan banyak lagi ter dan ter dan ter. Ya Allah, apa aku dah buat. Copy nukilan orang lain untuk kegunaan sendiri. Teruknya aku. Sengal sungguh aku. Hampes betul aku. Terasa berdosa pula.

Skang aku tersedar sendiri. Termalu sendiri. Malu sangat-sangat. Mujur kamu menegur. Tidak terpikir langsung yang empunya badan akan marah. Tidak teringat langsung yang itu adalah hak kamu, ish.. Yelah penat lelah kamu orang lain senang2 pegi rembat. Pegi tiru. Semudah ungkapan copy paste.

Justeru, aku mohon kemaafan dari kamu atas kesilapan aku. Keterlanjuran aku. Maaf sangat2. Aku juga mohon keampunan dari yang di atas sana atas kekhilafan aku. Mudah-mudahan.
Sebetulnya picisan yang kamu utarakan sangat bagus. Sedap. Segar. Sempoi. Entah kenapa aku pun tak tahu. Terkadang ataupun senang cerita selalunya quotes yang kamu lemparkan bersesuaian pula dengan situasi aku pada ketika aku sedang sedap mengcopy paste.

Betul. Tak tipu langsung. Tapi pasni aku tak buat dah. InsyaAllah, aku akan delete balik karya kamu yang aku copy ke fesbuk aku tu. Itu pengakuan jujur aku. Moga terungkai ketidak tenteraman hati ini. Moga aku beroleh ketenangan. Maaf lagi sekali.

Aku takde blog. Serius. Tapi suka baca blog orang. Salah satunya blog kamu. Kagum dengan kamu. Kagum dengan penulisan kamu. Karya kamu. Personaliti kamu. Karisma yang kamu miliki. Sesuai lah nama kamu Hami Asraff. Pakej lengkap kamu nih. Alhamdulillah. Sejuk perut ibu yang mengandungkan kamu. Lapang pusara ayah kamu dengan doa dan sedekah kamu. InsyaAllah.

Aku bukan sesiapa pun untuk kamu. Sekadar penjejak kamu dari alam maya. Alam siber. Alam berteknologi tinggi. Realitinya saling tidak mengenali. Jangan berhenti menulis. Jangan sekali-kali. Teruskan bekarya. Penjejak kamu di belakang sana ternanti-nantikan picisan kamu yang maha hebat itu.

Ok, itu sahaja. Izinkan aku mengundur diri. Moga bertemu lagi. Di alam maya ataupun realiti.

Wassalam.

Tamat.

Haih, aku pula yang terkedu dibuatnya. Siapa penghantar? Nama beliau dirahsiakan. Biarlah aku, dia dan Allah jua yang Mengetahui :)

Mari mari aku menjawab kembali kenyataan anda.

Saudara,

Tiada apa yang harus kamu kagumi tentang aku. Jangan kamu kagumi. Aku seperti kamu juga. Insan manusia seperti yang lain. Bezanya cuma aku menjadi blog ini sebagai medan curahan hati dan rasa. Kamu copy nukilanku, ketahuilah aku tidak marah. Sikit pun tak. Malah aku tersenyum lebar. Sebab? Alhamdulillah, ada yang terima karya aku yang tak seberapa sebagai tatapan mindanya. MasyaAllah, sikit pun aku tak jangka dan sangka. Dan kamu tidak sengal dan hampes. Jangan rasa bersalah :)

Mungkin kamu tersalah faham dengan entri itu. Tiada nada yang marah pun. Tidak sikit pun. Cuma entri itu untuk semuanya. Untuk sesiapa sahaja. Yang tahu dan faham betapa penat memerah keringat dan menaip, dan diambil oleh orang lain sebagai hak milik sendiri. Tidak adil bukan? Tapi kalau nak ambil jugak, terpulanglah. Kita mana boleh halang sesiapa untuk melakukan itu dan ini. Walaupun kadangkala apa yang dibuat itu salah. Faham bukan?



Kamu hulurkan kemaafan, aku sambut kemaafan itu. Lagipun perkara kecil saja. Tak makan hati pun. Malahan, aku respek dengan kejujuran kamu. Jujur memberitahu aku perkara yang sebenar. Itu sudah memadai. Lagipun tak elok simpan dalam hati. Kamu dah keluarkan di sini kira bagus sangat. Salute. Dan memang aku tersangat suka kata-kata hikmah. Bila hati dan diri dirundum kesedihan, kekusutan, kekecewaan, kata-kata hikmah itu dengan mudah dilontarkan. Memang kebanyakkannya mengenai situasi yang aku alami ketika itu. Terima kasih kerana sukakan kata-kata hikmah itu.

Kalau kata-kata itu memberi kesan pada diri sendiri, tulislah. Mungkin juga memberi kesan sedikit sebanyak kepada kawan-kawan Facebook kamu. Mungkin. Tetapi kalau boleh, kreditlah kata-kata itu untukku. Mungkin ada yang kata aku mahu nama. Buat aku gelak sendiri. Seperti yang aku kata di atas. Hormati karya orang lain. Tapi kalau kamu tak mahu kredit pun tiada masalah. Aku okey je. Tapi faham-faham sendiri kan?

Sekali lagi tiada apa yang harus dikagumi. Memang aku suka menulis dan bernukilan. Dan ini semua anugerah Ilahi kepadaku. Alhamdulillah. Syukur dengan pemberianNYA. Tetapi janganlah terlalu memuji. Aku tidak seperti yang kamu katakan. Malah jauh sekali. Aku sangat jahil tentang pelbagai perkara lagi. Aku masih seorang insan yang senantiasa membuat dosa. Aku masih seorang insan yang mengharap keampunanNYA. Aku juga masih seorang insan yang kadangkala hilang dalam cahaya yang terang. Itulah aku.

Jangan terlalu memuji. Tiada pujian selain Nabi Muhammad SAW dan Sang Ilahi. Jangan terlalu memuji, tidak terjawab di akhirat nanti. Jangan terlalu memuji. Hakikatnya kita masih sama. Tetap manusia yang hina dan dina di sisi Allah. Kerdil dari pandanganNYA. Hanya iman dan takwa yang memisahkan antara kita. Hebatnya kita, adalah hebatnya hubungan kita dengan Allah SWT. Bukan hebat di mata manusia. Tidak sama sekali.

Terima kasih atas doa dan harapan kamu. Ketahuilah, aku sangat hargai. InsyaAllah pertemuan telah dijanjikan Allah. Ada masa dan upaya mampu ketemu di alam nyata. Boleh jadi. Bukan sesuatu yang mustahil. Moga dipermudahkan.

Itu sahaja. Moga ada manfaat bersama. Moga kita sentiasa mendapat rahmat Allah. Wassalam.




Hami Asraff:

1. Takziah atas mangsa terkorban tanah runtuh dari rumah anak-anak yatim Hulu Langat tempoh hari. Al-fatihah.
2. Meneruskan perjuangan. Hujung minggu ini balik kampung. Kenduri kahwin abang keduaku.


Tuesday, May 17, 2011

'Quotes' Itu Adalah Nukilan Spontanku Sekiranya Tiada Nama Penciptanya



Assalamualaikum w.b.t

Hujan lebat membasahi bumi Shah Alam ketika ini. Guruh berdentum kuat. Kilat sabung menyabung. Alhamdulillah hujan rahmat barangkali. Setelah beberapa minggu yang panas berpanjangan.

Coretan sebuah episod perjalanan diteruskan. Masakan boleh terhenti di persimpangan. Perjuangan harus diteruskan dalam meniti kejayaan. Tampak mudah apabila diungkapkan. Begitu lancar apabila dimadahkan. Tetapi hati dan diri sendiri yang merasa jerih perih. Biasalah kan, mana ada perjuangan yang senang. Yang mudah ditangkis. Tak ada punyalah.

Tiada apa sangat untuk coretan kali ini. Cuma ingin memaklumkan kepada pembaca sesuatu. Bukan bertujuan mahu menunjuk-nunjuk. Apatah lagi bersifat bangga. Tidak. Cuma mahu melunaskan sebuah hak dalam berkarya.

Tak perlu pening-pening.

Begini, kalau ada yang mengikuti perjalanan entriku di blog ini, follow di Twitterku, di Facebookku, pasti perasan apa yang sedang aku keutarakan.

Masih tak faham?

Aku suka 'quotes'. Suka sangat. Ataupun Bahasa Melayunya kata-kata hikmah. Dan di medan blog inilah aku selalu letakkan kata-kata hikmah yang berunsur nukilan untuk tatapan diri sendiri dan juga pembaca. Kadangkala ianya berlanjutan sehingga ke Twitter dan Facebook aku.

Dan ketahuilah semua quotes itu adalah hasil nukilan aku sendiri yang ditaip secara spontan. Bergantung kepada situasi dan keadaan yang dialami ketika itu. Sekiranya aku kutip dari mana-mana 'quotes', aku akan letakkan nama pencipta di hujung ayat. Sekiranya tidak, ianya adalah nukilan picisan spontan dari aku jua.

Kenapa beritahu ini?

Sebab ada yang bertanya. Di mana dapatkan ayat-ayat tu. Dah di jawabkan pun di atas. Sekali lagi, tiada unsur riak atau bangga. Dan sekiranya anda mahu 'copy' dan 'paste' sebahagian ayat yang di ambil dari Blog, Twitter atau Facebook aku, silalah kreditkan kepada aku. Hormatilah karya orang lain.

Bukan senang mahu memerah keringat. Hasil kerja kita, tapi orang guna pakai dan jadikan hasil kerja mereka pulak. Tak adil bukan? Tahu pun.

Sekarang suka letakkan kata-kata hikmah di Tumblr pulak. Seperti di bawah.





Itu sahaja. Alhamdulillah masih dikurniakan rezeki dari Allah SWT untuk teruskan kehidupan. Tak pernah terdetik pun. Kita semua mampu memperoleh rezeki sekiranya tak mengenal putus asa. InsyaAllah.

Wassalam.

Hami Asraff : Hari ni genap sebulan permergian ayahanda tercinta menghadap Ilahi. Moga ayah tenang di sana. Al-fatihah.



Thursday, May 12, 2011

Cerpen Untuk Ayahanda Tercinta (Ditulis Oleh Kakakku) [Part 3]



Assalamualaikum w.b.t

Lama tidak mencoret coretan yang sebetul-betulnya. Mood kehilangan masih terasa. Di bawah kesinambungan dari Rentetan Pemergian Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi. Boleh rujuk di sini untuk Part 1 dan Part 2.

Dan cerpen dibawah 100% ditulis oleh kakakku. Puan Hamilia Ab. Halim.

Ada persamaan daripada penceritaanku. Tetapi dari pandangan dan situasi yang beliau alami sendiri. Agak panjang. Luangkan sedikit masa untuk membaca. Sekiranya kelapangan.


Ab. Halim Bin Md. Diah (16/12/1949-17/04/2011)

Ayah, kami semua (mak, kak, adik ap, bangcik, bangteh, atan dan adik) sangat merindui mu. Semoga ayah tenang di sana. Semoga roh ayah dicucuri rahmat Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama roh mereka yang beriman. Hanya doa kudus kami mengiringi ayah sebagai tanda cinta dan kasih kami yang tidak terhingga buat mu.

Ayah dilahirkan pada 16/12/1949 di Kg Titi Bom yang selepas itu ditukarkan kepada nama Kg. Berjaya Guar Dalam. Ayah seorang anak yang sangat taat kepada ibunya dan tidak pernah sekali menyusahkan ibunya ketika hayat. Begitulah juga harapan ayah pada kami adik-beradik seramai enam orang. Di mana aku sebagai anak sulung dan anak perempuan tunggal di dalam keluarga.

Ketika meneruskan kehidupan bersama mak dan kami adik-beradik pelbagai ujian datang silih berganti. Namun ayah masih dengan sifat sabar dan tenang dalam menghadapi semua ujian Allah tersebut. Segala kesusahan diharungi dengan sabar. Segala kepayahan dalam mendidik dan membesarkan kami diredahi dengan tenang. Sifat itu yang sangat sukar bagi kami adik beradik contohi walaupun seringkali kami menjadikan ayah sebagai ikon dan idola. Pelbagai karenah kami yang berenam ayah tangkis dengan kebijaksanaan dan ayah tunjukkan jalan. Walaupun ada tikanya ayah terluka dengan tingkah laku kami yang nakal dan terkadang degil tidak mendengar nasihat ayah, tetapi ayah tidak pernah sisihkan kami dalam apa jua keadaan. Malah ayah pimpin kami dengan penuh rasa kasih sayang.

Pada tanggal 16hb April 2011, menurut kata emak ayah tidak makan tengahari di rumah kerana menghadiri majlis tahlil keorang kenalan ayah yang baru kehilangan anak lelaki. Ayah tidak pernah merungut tentang rezeki yang hendak disuapkan ke dalam mulut. Masin kah, manis kah, pahit kah, semuanya ayah telan. Kalau kena dengan seleranya ayah makan lebih berselera, kalau tidak pun tetap jua dijamahnya dengan senang hati dengan rezeki Allah. Pulang dari itu, ayah mengajak ibu ke pekan C untuk membeli beberapa peralatan pertukangan yang masih belum cukup. Ayah sedang bertukang sebenarnya, sibuk menyiapkan siling rumah kami. Mungkin sebagai persiapan untuk menyambut menantu baru, majlis perkahwinan adik lelaki keduaku telah dirancang akan diadakan pada penghujung bulan mei ini.

Mulanya emak agak keberatan untuk ikut serta ke pekan C, kerana memikirkan tidak ke mana-mana selain dari ke kedai kayu itu. Namun ayah memujuk, “jom lah, teman” lalu emak mengalah, mengubah fikiran dan ikut menemaninya. Namun, tidak pernah terlintas di fikiran emak bahawa itulah kali terakhir emak menemani ayah.

Sekembalinya mereka ke rumah, ayah tidak membuang waktu terus menyambung kerja menyiapkan siling rumah. Sebelum ini tabiat kerja ayah bila sudah berhenti solat zohor kerja-kerja hanya akan disambung selepas usainya solat asar. Namun tidak untuk beberapa hari kebelakangan ini, ayah seolah olah mahu menyiapkan kerjanya dengan sisa waktu yang masih ada. Seolah-olah ayah dapat merasakan bahawa tidak banyak lagi waktu yang berbekal untuknya. Emak pernah secara bergurau sebelum ini minta ayah jangan sakit dulu sehingga semua urusan kerja pengubahsuaian rumah selesai. Memandangkan usia sudah makin menginjak senja, penyakit mula lah datang menjenguk dan menyapa bagi kebanyakan orang seusia mereka lazimnya.

Ketika itu sebenarnya ayah sedang menyiapkan siling bilik pengantin. Apabila selesai, dengan penuh kepuasan ayah turun dari siling dan ke belakang rumah. Bersama ketiga-tiga anakku menjadi pengikut setianya memasang sarung buah cempedak. Nampaknya tahun ini buah cempedak agak menjadi, maka untuk mengelakkan ia buruk dan tidak dapat dimakan, ayah menganyam sarung dari daun kelapa. Seperti biasa sambil melakukan sesuatu perkara ayah tidak lokek bercerita, ada sahaja cerita lucu yang berpengajaran diungkapkan kepada anak cucu diselang-selikan dengan usikan gurau senda. Apabila cucunya digigit nyamuk, dengan pantas ayahlah yang akan menyapu ubat, katanya agar kurang rasa gatal di kulit.

Selesai itu, ayah mengambil buah kelapa untuk diminum. Ayah sangat suka minum air buah kelapa muda yang menurutnya mengandungi pelbagai zat selain dari rasanya yang enak. Sedang ayah mengopek kulit kelapa (tinggal untuk dicungkil bahagian atasnya sahaja untuk diminum) tiba-tiba emak kata ayah berlari mengaduh ke arah emak sambil memegang bahagian belakangnya. Lantas diminta emak menggosok bahagian tersebut yang dirasakan begitu sakit. Ubat yang disapu emak, seolah tidak terasa, ayah minta disapukan lebih banyak ubat lagi dan digosok dengan lebih kuat lagi. Sehinggalah adik lelaki pertamaku kembali dari kerja. Dilihatnya ayah meniarap di atas lantai menahan kesakitan. Hairan dengan keadaan itu, lalu adik bertanya kenapa begitu, ayah cakap ayah sakit belakang dan perut. Lalu adikku menggosok ayah. Badan ayah berpeluh-peluh ketika itu. Selah-olah ayah baru lepas mandi, punyalah banyak rembesan peluh yang membasahi badan ayah.

Sehinggalah aku pulang. Sedang aku di meja makan, ayah pula di atas buaian kegemarannya di luar. Keadaan ayah ketika ini nampak sudah mulai stabil, sambil itu ayah bertanya di mana emak. Kata anak-anakku “emak di depan(anak-anakku juga memanggil ibuku dengan panggilan emak)”, dengan nada berseloroh ayah berkata “buat apa p jauh-jauh. mai lah dok dekat-dekat sini, kot orang nak tinggai amanat ke apa”. Mengenangkan sepanjang hayatnya ayah lebih gemar berseloroh, aku pantas menjawab, “alah ayah, kalau amanat tak payah tunggu mak. Kak ada sini ni haa”. Lalu aku ketawa diikuti ayah, itu lah sikap ayah.

Ketika sudah mulai maghrib ayah kembali merasa kesakitan itu, lalu ayah meniarap di atas lantai di kawasan dapur. Emak mengarahkan aku mengambil bantal untuk melapik ayah, badan ayah digosok adik ap. Selesai mandi dan mengambil wuduk, ayah masih sempat bergurau dengan aku katanya “ayah nak ambil cuti dari solat boleh”. Aku seperti selalu akan tetap menjawab apa sahaja yang diseloroh ayah dengan mengatakan “solat tak boleh cuti yah, kalau ambil mc boleh..,”. Rupanya-rupanya itulah solat terakhir ayah, dan ayah bercuti selamanya dari melaksanakan perintah Allah yang merupakan tiang agama itu yang mana sebelum ini semasa hayatnya ayah merupakan seorang yang sangat menjaga solatnya. Kami adik-beradik sering dileteri kerana selalu melambatkan waktu solat. Kini leteran itu sudah tiada lagi, nah…bergantung kepada kalian lah anak-anak ku hendak solat di awal waktu kah, lambat kah…terpulang! Tidak ada sesiapa akan berleter lagi, puas…?

Selesai aku pula mengerjakan perintah Allah tersebut, kami berpakat membawa ayah ke klinik berhampiran. Sementara menantikan seorang lagi adik lelaki ku bersolat, ayah kelihatan amat gelisah. Berkemungkinan besar kerana menahan sakit yang teramat sangat. Kerana menurut adik ap yang berdiri di belakang, ayah hanya melaksanakan rukun yang wajib sahaja ketika mengerjakan solat maghribnya tadi. Oleh kerana adik atan yang sedikit kelewatan, ayah yang menunggu di dalam kereta masuk semula ke dalam rumah. Dengan keadaan kegelisahan yang amat sangat, kesian ayah. Bila semua sudah sedia kami bawa ayah ke klinik berhampiran. Ayah masih berpesan pada adikku supaya tidak melajukan kenderaan, “bcik, jangan bawak laju-laju, nanti takut ada lembu melintas tak nampak” katanya memandangkan jalan yang kami lalui adalah jalan kampung yang agak gelap.

Alhamdulillah, staf yang merawat ayah memberikan perkhidmatan yang terbaik. Walaupun dua kali tangan ayah dicucuk untuk dimasukkan drig gagal. Cubaan ketiga nampaknya membuahkan hasil. Akhirnya ayah dirujuk ke hospital berdekatan memandangkan sakit ayah itu merupakan tanda-tanda serangan jantung. Dengan menaiki ambulans aku menemani ayah. Sebelum itu, aku masih sempat bergurau mengatakan “haa padan muka ayah, kali ni ayah pulak kena naik ambulans, dulu ayah gelak sangat kat mak masa mak naik ambulans” , sebenarnya pada tanggal 1hb Januari 2011 emak dikejarkan ke HBSB dengan menaiki ambulans setelah disahkan ada masalah keretakan tulang belakang akibat dari terjatuh di rumah. Dan ayah yang sangat suka bergurau telah mencerikan suasana sedih kami dengan mentertawakan emak naik ambulans. Tidak pernah terfikir untuk melukakan hatinya dengan gurauan tersebut, sekadar ayat joke harian sepertimana ayah selalu lakukan, kini padanlah muka aku sebenarnya bila ayah terus tinggalkan kami.

Aku menggosok-gosok perlahan perut ayah yang dirungutnya sakit itu. Dalam hati “kecik saja rupanya ayahku” dengan ukuran diameter badannya itu. Inilah kali pertama aku menggosok badan ayah, seingat aku lah. Kerana ayah tidak sering sakit, sebelum ini kalau lenguh-lenguh pun tidak pernah ayah minta kami anak-anak yang menggosok sebaliknya hanya tangan emak yang diperlukan. Tapi ayah masih seorang ayah yang bertanggung jawab kepada aku sebagai anaknya. Dengan penuh rasa kasih sayang, ayah menegah aku dari terus menggosok perutnya itu. Mulanya aku fikir adakah aku menggosok tubuh tuanya dengan terlalu kuat sehingga ayah bersa lebih sakit,…tetapi rupa-rupanya ayah tidak mahu aku kelenguhan kerana berterusan menggosok-gosok tubuhnya…….Ayahhhhhhhhhhhhhhhhhhh (ketika ini kak terasa rindu sangat pada ayah). Ayah masih berkeadaan gelisah, sekejab berbaring, sekejab lagi mahu duduk.

Setibanya ayah di hospital, ayah ditolak ke lorong merah dan diberikan rawatan sesuai dengan apa yang didiagnos oleh doktor. Ketika kami tiba adik bongsu ku sudah tiba lebih awal. Bang cik dan atan pulang untuk mengambil emak. Di wad kecemasan itu, kami bergilir-gilir masuk untuk menjenguk ayah. Ayah masih berbual, bergurau seperti biasa walaupun di atas katil hospital dengan wayar-wayar dipasang berlirat untuk itu dan ini. Tekanan darah ayah nampaknya sudah sedikit menurun dari pemeriksaan awal, sempat lagi bergurau mengatakan penurunan itu disebabkan kelajuan ambulans yang dinaiki. Namun masih di bacaan tinggi. Tapi bagi ayah, itu perkara biasa, kerana memang bacaan darah ayah tidak pernah turun. Kata ayah, ayah berdarah panas.

Walaupun ayah seorang yang sangat pemalu untuk menayangkan kulit badannya yang cerah itu selama ini, malam itu ayah langsung tidak mahu mengenakan baju kerana menurut ayah, panas! Ayah juga beberapa kali membuang air kecil. Tetapi tabiat ayah biasanya mencangkung untuk membuang air, memaksa ayah mencangkung juga di atas katil hospital dalam kepayahan. “Ayah lapar”, rungut ayah. Kali terakhir ayah makan ialah tengahari tadi kat rumah kenduri, maklum emak. Ayah, tapi doktor tak bagi ayah makan lagi sehingga ubat habis dimasukkan ke dalam badan ayah. Kerana doktor mahu melihat hasil tindak balas ubat dulu dengan tubuh ayah. Sedihnya hari ini bila mengingatkan ayah pergi dengan kelaparan.

Ayah merungut lagi, kenapa masih terasa sakit ye walaupun doktor sudah bagi ayah ubat. Terdetik di dalam hati, “ayah ni doktor dah bagi ubat tu,. Sat lagi baik lah”. Berdosanya rasa aku sebagai anak, sanggup terlintas di hati kecil sedemikian rupa, padahal aku tidak merasai apa yang ayah rasa ketika itu. Maafkan kak ayah. Bila doktor tambahkan dos untuk ubat jantung, ayah rasa sakit di bahagian perut, bila doktor tambah pula ubat untuk perut, ayah ngadu dada pula yang terasa sakit. Ubat untuk mencairkan darah untuk dipam je jantung menyebabkan berlakunya pendarahan. Seluruh gusi ayah berdarah. Ayah meminta air kosong, habis gelas dipenuhi darah ayah selepas ayah minum. Jururawat memberikan ayah kapas untuk menghentikan pendarahan, apabila rasa tidak selesa lagi ayah buang kapas itu. Bising jururawat marah ayah, sebab katanya dikapas tersebut diletakkan ubat. “Kakak/makcik nurse, jangan marah orang tua, esok awak dah jadi tua kot lagi buruk perangai awak. Lagi pun ayah saya bukan ada pengetahuan tentang medical ni, orang kampung lah katakan”. Ngomel aku dalam hati.

Berulang kali ayah menyuruh aku balik, katanya “Esok kak kerja. Anak-anak pun sekolah, pi lah balik”. “Tak pa lah ayah, kalau kak balik pun hati kak tak tenang jugak”. Tapi tabiat tidur awal aku memang menyusahkan bila mata ini kian memberat. Aku masuk ke dalam kereta bangcik dan sempat terlelap, lantas terjaga bila dikejutkan emak bahawa doktor panggil. Jam ketika itu menunjukkan sudah lebih 1 pagi 17hb April 2011. Aku masuk mengadap doktor yang merawat ayah, katanya “Kak, pakcik ni dah stabil semuanya. Cuma tekanan darah masih tinggi. Tapi saya sudah bekalkan ubat. Kami akan tahan di wad 3-4 hari”. Aku dengan rasa ceria dan bersyukur kerana ayah telah melewati masa kritisnya mengucapkan terima kasih kepada doktor tersebut, seterusnya melaksanakan urusan pentadbiran untuk prosedur memasukkan ayah ke wad.

Tiba di wad lelaki, melewati jam 2 pagi, kami semua adik-beradik minta diri untuk pulang. Ayah sempat berpesan kepada adik ap supaya membawakan ayah air rebusan mahkota dewa esok. Aku tanya adakah ayah ingin bersolat isya’ memandangkan ayah belum laksanakan perintah Allah itu, tapi ayah kata ayah kotor. Ye lah beberapa kali ayah membuang air, lalu ayah ingin ke bilik air terlebih dahulu untuk membersihkan dirinya. Namun ditegah jururawat. Katanya atas arahan doktor, ayah tidak boleh turun dari katil. Ayah minta tidak ditutup langsir penghadang katil, panas katanya. Kami mohon beredar, seorang demi seorang kami menyalami ayah, tetapi bukan memohon ampun sekadar salaman biasa yang menjadi rutin kami sekeluarga ketika hendak bergerak ke mana-mana. Aku adalah orang kedua menyalami ayah sebelum emak, ayah sempat bergurau dengan emak sebelum kami berangkat pulang. Membuatkan emak menampar tangan ayah, manja! Apalah agaknya yang ayah tuturkan buat rakan karibnya itu, sehingga kini emak tidak dapat mengingatinya. Begitulah sikap ayah, dan itulah juga gurauan terakhirnya bersama isteri tercinta sebelum ayah diam kaku buat selamanya.

Bangcik menghantar aku terlebih dahulu sebelum bergerak pulang ke rumah. Selesai solat isya’ aku menyalin pakaian dan terus meletakkan kepala di sisi suami yang sudah mulai berdengkur. Tidak lama kemudian, sayup-sayup kedengaran di telingaku bunyi deringan telefon. Rupa-rupanya bangcik yang telefon. Ishhh, telefon bangang ni buat hal pulak, setelah aku menjawab tapi tiada suara kedengaran di sebelah sana. Lalu aku menelefon balik kepada adik ap, “Kak ayah dah tak sedar”…..bagaikan panahan halilintar membelah dada. Terjerit aku, sehingga membuatkan suamiku turut terjaga dari tidurnya. Aku lantas mengajak suamiku bergerak ke hospital semula. Keadaan rumah membuatkan pergerakan suami agak terbatas untuk menurunkan seorang demi seorang anak-anakku yang sedang lena diulit mimpi ke dalam kereta. Namun anak sulungku terjaga seketika kemudian. Sepanjang perjalanan yang aku rasakan amat perlahan sekali pemanduan suami ku hari ini, aku menangis semahu-mahuku dan tidak putus-putus berdoa “Ya Allah, Ya Tuhanku, panjangkanlah usia ayahku. Namun aku redha andai inilah takdirMu, cuma berikanlah aku kesempatan untuk bertemu dengannya”.

Tiba di hospital, aku berlari ke wad, sebaik sahaja suamiku memarkirkan kenderaan. Langsung aku tidak fikirkan tentang anak-anak mahupun suami. Apa yang aku tahu aku mahu tahu keadaan ayah tika itu. Ya Allah, Maha Mengetahui Engkau, betapa sedihnya tatkala tiba di wad. Katil ayahku dikelilingi oleh adik-adikku yang tidak putus-putus bersyahadah dengan ayah kaku di atas katil. Pihak hospital sedang bertungkus-lumus memberikan bantuan untuk menyelamatkan ayah. Tiada kata mampu terucap melihatkan ayah tercinta berada dalam keadaan sedemikian. Bila doktor memanggil emak untuk mengkhabarkan bahawa sedaya upaya telah diusahakan, namun ayah tidak memberikan tindak balas positif lagi, aku terpana dalam sendu yang teramat panjang. Dalam kepayahan yang teramat sangat kami redha ayah kembali mengadap Ilahi pada 17hb April 2011 jam 4.50 pagi waktu yang dicatatkan oleh doktor, walaupun waktu yang diberitahu kepada kami ialah jam 4.27pagi.

Di pagi yang hening tanpa sebarang kicauan burung mahupun unggas desa, ayah pergi meninggalkan kami buat selamanya, pergi yang tidak akan pernah kembali. Perginya seorang ayah yang sangat-sangat berjasa kepada aku dan adik-adik dalam membesarkan kami dengan seribu kepayahan dan mendidik kami menjadi ummat Nabi Muhammad yang sempurna. Dengan sangat mudah, ya benar sangat mudah ayah pergi mengadap Ilahi. Tanpa menyusahkan mana-mana pihak. Tanpa menyusahkan kami menjaganya tatkala sakit. Tanpa ayah menderita sakit yang panjang. Tapi ayah, amat sukar bagi kami menerima kenyataan ini, bahawa kami telah kehilangan ayah. Bererti hilangnya sumber kekuatan semangat kami, hilangnya tempat rujukan kami. Hilangnya tempat kami mengadu suka dan duka. Tiada lagi ketenangan yang engkau pamerkan. Tiada lagi gurau senda yang menghiasi hari-hari kami. Ya Allah, sesungguhnya kami akur dan redha dengan ketentuanMu tapi sangat berat untuk kami laluinya.

Hakikatnya, ayah telah TIADA LAGI di dunia ini, ayah telah kembali ke alam lain yang lebih kekal abadi, bertemu dengan Maha Penciptanya. Meninggalkan kami semua isteri yang dicintai, anak-anak yang dikasihi, menantu dan cucunya yang sangat disayangi. Al-Fatihah. Semoga roh ayah tenang dan tenteram di sana dan ditempatkan bersama dengan para ambiya’.

Usai semua urusan prosedur pentadbiran dengan pihak hospital, aku memegang tanggungjawab membawa ayah kembali ke rumah buat kali yang terakhir. Kerana aku yang membawa ayah datang ke hospital maka aku jualah yang paling berhak membawa ayah pulang, biarpun ketika datang ayah datang bersama jasad dan nyawa sebaliknya yang mampu berkata-kata dan bergurau senda, kembalinya sekadar sekujur tubuh yang sejuk kaku, namun sebagai tanda kasihku pada ayah aku laksanakan tanggungjawab ini dengan setulus hati.

Setibanya di rumah, halaman rumah telah dipenuhi dengan jiran tetangga yang telah menerima berita mengejutkan ini sebelum azan subuh berkumandang tadi. Suasana hiba tatkala jenazah ayah dibawa masuk ke rumah dan ditempatkan di bilik tidur utama seperti mana impiannya membina bilik luas untuknya dan ibu bila tua dan uzur. Adik-adik lelakiku memandikan ayah buat pertama kali dalam hidup mereka. Akur dengan permintaan saudara mara dan jiran, jenazah ayah di tempatkan di ruang tamu hadapan sesudah dimandikan supaya memudahkan sesiapa yang mengunjung untuk menatap wajah ayah buat kali yang terakhir. Wajah polos itu, ingin saja aku tatap tanpa rasa ingin berkedip walau sekelip mata pun, kerana selepas ini tiada lagi wajah itu dapat kami pandang, kecuali hanya dalam bayangan dan mimpi jika diizinkan. Ternyata wajah arwah ayah kelihatan seperti sedang lena diulit mimpi indah, tersenyum tanpa sebarang tanda beza. Ya Allah, runtunnya rasa hati, merindui mu ayah.

Jiran tetangga dan saudara mara silih berganti menziarah ayah begitu jua sahabat handai kami sekeluarga. Tiada ungkapan lain yang keluar dari mulut semua orang ketika itu, melainkan ucapan takziah, moga kami sekeluarga tabah menghadapi ketentuan Allah ini. Kami sedang diuji, dan kami perlu tabah. Kerana Allah telah menjanjikan tidak hambaNya diuji di luar batas kemampuan mereka.

Bangteh, adik ketigaku tiba tika matahari makin meninggi, tika jam menginjak ke lebih 11 pagi. Aku sambut kehadirannya dengan kepayahan, tiada sambutan seceria seperti mana dia pulang ke kampung setiap kali sebelum ini.Hanya esak tangis sahaja yang kedengaran. Dengan langkah yang longgai aku tahu adikku itu lebih terkilan berbanding kami kerana dia tiada di sisi ayah tatkala ayah menghembuskan nafas terakhirnya. Tiba di sisi jenazah ayah, bangteh tidak lagi dapat menahan air mata lelakinya dari tumpah membasahi bumi. Wajah ayah dicium dan didakap erat, kerana tiada lagi peluang untuk itu selepas ini. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul tika itu. Hanya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menjadi hadiah terakhir kami adik-beradik kepada arwah ayah. Begitu ramai juga para sahabat yang turut menghadiahkan bacaan buat arwah pada hari itu, terima kasih diucapkan bagi pihak keluarga.


Hami Asraff :

1. Aku adalah Bangteh dalam cerpen di atas. Cerpen ini akan diteruskan. Banyak lagi Part. Jika diizinkan olehNYA.

2. Dan jugak mahu menulis pengalaman memandikan dan mengkafankan arwah ayah dengan tangan sendiri. InsyaAllah. Doakan.



Monday, May 9, 2011

Rintihanku



Jauh perjalanan

Telah ku jelajahi

Membawa seribu impian

Berbekal pengalaman

Mampukah aku melangkah

Menuju satu daerah

Masihkah ada sinar yang menanti

Masa dijanji pasti tiba

Ku kan dijemput ke sana

Bimbang langkahku terhenti

Ku terpaut di persimpangan

Tak inginku mengingati

Detik hitam semalam

Tinggallah semua menjadi kenangan

Kerana MU kan ku gagahi

Untuk terus sisa hidup ini

Biar ku tebus segala dosa

Selagi jasad bernyawa

Leraikanlah resah hatiku

Padaku hanya ENGKAU yang Satu

Belum pernahku terasa hebatnya cintaMU

Sesungguhnya ENGKAU mengerti

Apa tersirat di dalam diri

Ku pohon rasa kasih yang abadi

Jujur ikhlaskah diri ini

MenyintaiMU sepenuh hati

Ataukah sekadar bila di uji

Rahmat dan kasih tiada sempadan

Biarpun jiwa dalam kelalaian

Dihasut dengan pelbagai godaan..




Hami Asraff : Lirik dan lagu yang bertepatan dengan apa yang dirasa sekarang ini.