Sesi Monolog Dalaman

Sunday, July 31, 2011

Tidak Terungkap Dengan Kata-Kata. Maka, Aku Luahkan Segalanya Di Sini.











Assalamualaikum w.b.t

AMARAN! : Entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa pun. Apa yang dirasakan hati dan dialami diri sekarang ni. Kalau ianya ada kena mengena dengan kejadian kehidupan anda, anggaplah ianya kebetulan semata-mata. Dan sekiranya anda terasa, maka memang ditujukan kepada anda. Tiada tajuk spesifik. Aku rangkumkan semua sekali.

Aku mulakan dengan sikap manusia. Ya termasuk diri aku sendiri. Manusia adalah makhluk yang terlalu rumit. Sukar dijangka dan diramal. Boleh berubah bila-bila masa sahaja. Tak kisahlah apa bentuk perubahan sekali pun. Dari baik ke jahat atau sebaliknya. Hanya tunggu masa dan tika sahaja. Manusia mampu mengubah manusia. Keadaan mampu mengubah manusia. Situasi mampu mengubah manusia. Masa mampu mengubah manusia. Anda yang mana satu?

Tak kisah la yang mana satu kan? Yang dikisahnya kadangkala perubahan manusia memang melibatkan manusia lain. Kalau berubah tidak mengganggu kehidupan orang lain, teruskanlah. Tetapi janganlah sesekali mengganggu manusia lain dengan perubahan anda. Kalau perubahan anda ke arah kebaikan, maka pandulah kebaikan itu sebaiknya. Jangan pernah menyusahkan hidup orang lain. Sedangkan manusia lain tidak pernah pun menyusahkan hidup anda. Tidak adil bukan? Ah! Manusia kan sukar dijangka.

Dalam dunia blogging jugak ada risiko tersendiri yang kita tidak pernah sedari. Blog sebuah medium yang menjadi tatapan manusia. Tak kisah la ada orang baca blog dia atau tidak yang penting blog adalah medium yang terdedah. Sesiapa sahaja boleh masuk secara tak sengaja dan disengajakan. Membaca, membelek dan melihat. Tetapi biasalah manusia bukannya boleh diramal. Manusia adalah makhluk yang kreatif. Tak sah kalau tidak menilai. Maka penilaian pun berlaku. Menilai, menilai dan menilai. Seterusnya tersembullah jawapannya. Jawapannya cuma dua. Positif atau negatif.



Baik, aku bercakap mengenai positif terlebih dahulu. Perkara biasa apabila dalam dunia blogging. Sekiranya blog anda bagus (tak kisah la blog dia bagus dari segi penulisan, rupa paras, atau sebagainya) pasti ada yang mahu memuji. Oh pujian manusia kadangkala buat manusia sendiri hanyut. Terbuai-buai di awang-awangan. Rasa indahnya. Dan kalau boleh mahu suruh puji lagi. Ah, manusia kan sukar dijangka. Tetapi awas, pujian boleh membutakan manusia.

Kalau ada yang puji blog anda bagus, mesti rasa kembang setaman. Sampai mahu tulis di entri. Ini aku bercakap pada diri sendiri. Sebab aku pernah menulis di entri-entri sebelum ni. Dan secara pantasnya terus manusia menilai. Oh manusia terlalu mudah mencari kesalahan dan kesilapan manusia. Terus canang satu dunia. Jahat jahat jahat. Keji keji keji. Negatif negatif negatif. Penuhi dengan perasaan hasad dengki. Terus mahu puaskan hati dan diri. Emosi terus menguasai. Rasa segalanya telah ditaluki. Kasihan betul pada manusia begini.

Dan negatif pula. Orang sekarang kata dunia blogging adalah dunia mencari populariti. Buat aku rasa mahu tergelak sendiri. Dan tak disangkal pun memang ada blogger meraih populariti hanya dengan berblogging. Tapi bila aku kata aku tidak mencari populariti dalam blogging, maka ada lagi ayat manusia-manusia yang di luar sana terus memberi penilaian. "Eleh, mahu terus-terusan tunjuk bagus!". Habis mahu cakap apa lagi? Cakap ini salah, cakap itu tidak kena. Semuanya salah di mata. Memang aku tak faham dan taknak faham sebenarnya. Kalau betul-betul mahu cari populariti, baik aku masuk rancangan realiti TV. Walaupun aku tahu langsung tiada bakat ke arah tu. Tapi sekurang-kurangnya aku berusaha keras mencari populariti tu.





Senang sahaja dalam dunia blogging ni. Dah ramai yang sering mengeluarkan ayat sebegini, "Kalau tak suka baca blog ini, tak usahlah masuk dan baca." Memang ada kebenaran pun. Perkara yang paling mudah. Kalau degil nak masuk dan baca jugak. Baca sahaja. Kalau tak senang komen dan kritik. Supaya sama-sama dapat perbaiki kesilapan. Bukan mengkeji. Menghabur kata nista yang tiada kesudahan.

Biarlah seburuk-buruknya manusia, janganlah mengkeji manusia lain. Kita tetap sama di sisi Ilahi. Mengkeji orang lain, nanti terpaling pada diri sendiri. Tak semua manusia suka apa yang kita lakukan. Terserahlah. Bukan hak kita untuk memaksa orang menyukai apa yang kita lakukan. Dan kalau mahu mengkeji jugak, kejilah. Anda fikir sendiri. Ada seseorang komen di status Facebookku. Ayatnya berbunyi begini: "Ada 1 hadis, jangan mencela jika kamu tidak mahu memujinya. Simple dan fullpack." Ada yang tak bersetuju?

Benar kata seorang sahabat. Dalam hidup ni kita kena ingat dua perkara. Pertama, perkara yang kita boleh kawal. Dan kedua perkara yang kita tidak boleh kawal.



Semua orang tahu apa yang sewajarnya dilakukan oleh insan manusia. Dalam menempuh kehidupan nak tak nak kita perlu majukan diri sendiri. Dengan cara tersendiri. Terus melakukan yang terbaik. Tapi biasalah, sebaik mana pun anda, pasti ada yang tak suka. Pasti ada manusia yang membenci. Pasti ada manusia yang terus menilai. Pasti terus ada manusia yang sebegini, "Eleh nak tunjuk bagus la tu!" So perkara ini anda tidak boleh kawal. Dan sekiranya anda tidak boleh kawal, biarlah. Biarlah manusia itu terus dan terusan berkata-kata. Bila dah tak ada isu nanti lama-lama diamlah.



Selagi anda boleh kawal kehidupan anda, kawallah sebaiknya. Selebihnya tak usah langsung perlu gusar. Contohnya begini. Katakan anda melukis seekor keldai. Ya memang jadi rupa seekor keldai pun. Tetapi ada yang melihat keldai tu persis seperti kuda. Puas anda terangkan pada manusia itu bahawasanya anda melukis seekor keldai, tapi terus-terusan orang tu menganggap ianya seekor kuda. Salah andakah? Anda dah buat apa yang anda perlu buat. Selebihnya itu bukan urusan anda. Tanggapan manusia perkara yang anda boleh kawal? Tidak bukan. Maka biarlah manusia begini terus beranggapan. Halang pun tiada makna.

Ada sesetengah manusia terus hidup dengan dunia masa silam. Tak habis-habis mengungkit perkara-perkara yang lepas. Ada sahaja perkara yang ingin dibahas supaya ianya dijadikan isu hangat yang boleh menjadi pertengkaran. Mungkin lebih seronok begini. Seronok sekiranya ada hati yang disakiti. Seronok sekiranya manusia lain terus memandang serong pada kita. Dan perkara ini mana boleh kita kawal. Hanya individu yang terlibat itu sendiri yang mampu kawal. Kalau tak tahu jugak, maka natijahnya bakal diterima.

Mungkin ada manusia yang suka melihat orang lain sengsara. Entah. Sekiranya ada orang yang memperoleh kebahagiaan, gembirakanlah untuk mereka. Senang saja bukan? Mengapa mahu terus lahirkan sengketa? Mahu puaskan hati? Dan sebenarnya tidak pernah puas bukan? Semua orang dah tahu pun jawapannya. Tetapi hati dan diri masih degil. Degil untuk memberi kebahagiaan pada diri sendiri. Dan terus semakkan diri dengan perasaan hasad dengki. Sematlah perasaan itu lama-lama. Nanti kamu jugak yang merana.


Haruslah diingat pada diri. Kita hidup memang akan mempengaruhi kehidupan orang lain. Maka jangan lakukan sebarang tindakan dengan hanya memikirkan perasaan diri sahaja. Selalu rasa diri dilukai. Tetapi adakah anda sedar yang anda juga telah lukakan hati orang lain dengan tindakan anda? Kalau anda tak fikir begitu, anda memang pentingkan diri sendiri. Fikir, fikir dan fikir. Sekiranya kamu bertindak mengikut emosi pasti akan menyesal kelak. Percayalah.

Dah aku tulis panjang berjela-jela ni pasti ada yang akan terus menilai. "Ah nak berceramah la dia ni. Nak tunjuk bagus la tu. Padahal entah apa-apa. Pui!!" Anda nak buat penilaian, menilailah. Mana aku boleh kawal tafsiran dan tanggapan anda. Memang aku tak boleh. So aku tak kisah akan segala penilaian anda tu. Selagi aku rasa apa yang aku perlu bercakap perkara yang betul akan aku cuba sampaikan. Dan sekiranya tidak betul, maka aku mohon tolong perbetulkan.



"Diam Adalah Senjata Terhebat Untuk Memulih Hati Yang Rawan". Pernah dijadikan tajuk entri kata-kata ini. Tetapi memang berkesan. Tak percaya, sila cuba. Berdiam bukan bererti anda mengalah. Tetapi diam menunjukkan anda seorang yang bijak. Jangan api dibalas dengan api. Memang tidak terlawan. Anda melawan bermaksud terpampang kejahilan anda. Biarlah, terus redha dan berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja.

Aku tak pernah rasa untuk mencari pasal dengan sesiapa. Sekiranya ada yang tak berpuas hati baik di dunia maya atau nyata, dengan rendah diri aku pohon kemaafan. Aku insan biasa yang terlalu naif dan jahil dan sentiasa melakukan kesilapan. Pimpinlah aku ke arah kebenaran sekiranya aku tersilap jalan.

Dan bersempena Ramadhan pada esok hari, mari kita luruskan niat dan leraikan segala dendam. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci manusia lain. Dengan memohon kemaafan pada orang lain, insyaALLAH ketenangan hati pasti akan dirasai. Jadikanlah Ramadhan ini titik tolak kita dalam meraih kehidupan yang lebih baik. Memperbaiki amalan. Memperbanyakkan amalan. Dan kembali kepada jalan Yang Maha Esa. Dan kita tak tahu akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Ianya telah dibuktikan oleh arwah ayah aku. Ramadhan yang lepas adalah Ramadhan terakhirnya. Dan mungkin Ramadhan ini bakal Ramadhan terakhir kita. Siapa tahu.

Ujian hidup akan terus datang dan terus datang. Ketahuilah ujian hidup sedang hebat melanda diri. Mahu tidak mahu kena berusaha untuk teruskan kehidupan. Berusaha meraih kekuatan walaupun kadangkala kesamaran. Kegusaran hati pasti tenggelam sekiranya kita berserah bulat-bulat padaNYA. Redha, sabar, tabah, usaha, doa dan tawakal. Jalan itu pasti akan terbentang untuk kita kelak. InsyaALLAH.

Wassalam.



Hami Asraff:

"Sentiasalah muhasabah diri. Cari kesilapan diri. Ceritakan kebaikan orang. Sentiasalah beranggapan baik pada ALLAH. Sentiasalah beranggapan baik sesama manusia. Dan terus menjadi manusia positif"


Wednesday, July 27, 2011

Wordless Wednesday #3 : Bersama Tuan Puteri Kecil :)




On Wednesdays all over the internet, bloggers post a photograph with no words to explain it on their blog. Hence the ‘wordless’ title. The idea is that the photo itself says so much that it doesn’t need any description. 




Friday, July 22, 2011

Terima Kasih Meluangkan Masa Mengkhatam Semua Entri Blog Hampesku Ini :)









Assalamualaikum w.b.t

Kepala tengah ting-tong. Ketidakcukupan ketiduran barangkali. Kalau dah dasar Kelawar Man begitulah. Rasa macam mahu tukar profession sebagai Kelawar Man ni. Sedang mencari-cari pengganti yang dirasakan sesuai. Kamu mahu? Sila hubungi saya dengan kadar yang tak seberapa segera.

Ingat lagi entri ini? - Terima Kasih Atas Pengakuan Jujur Anda Walaupun Tanpa Dipinta. Ah, bajet macam ada yang baca. Okeylah aku tahulah blog ni bukan ada sapa nak baca pun. Terima kasih sebab ingatkan. So apa lagi hampa klik link tu cepat. Dan baca cepat-cepat. Baru boleh proceed untuk next story di bawah.

Jalan ceritanya hampir sama. Cuma penghantarnya adalah orang lain. Medium yang digunakan jugak adalah sama. Melalui inbox facebook aku. Di bawah. Lantas bacalah. Mari baca secara beriringan.




assalamualaikum...

ya bro hami...akhirnya selesai sudah saya membaca semua entri di blog bro yang hampeh nie.....(bukan saya kata bro yang kata sendiri dalam blog)....*jangan marah nanti cepat muda*

pertama sekali saya dapat tahu blog nie dari page fb im asyraf....saya trylah bukak.....bila buke telopong kejap sebab terkejut ni blog pelakon dari seberang ke (GUNAWAN) alah yang berlakon dalam drama isteri untk suami ku tu...rupa2nya tidak....adalah ckit2...

tapi selepas di baca selama 2 week (continue perenggan 1)...tang mana hampehnye tu pon tak jupe....sebaliknye sangat menarik tertarik blog nie memang dboom (macam lagu plak), dan apa yang penting sangat memanfaat dan berilmu....

untuk dijadikan cerita sebelum ni pon saya memang tak suka baca blog terutama yang merepek tu..entah ape2 je kan...saye pon merepek jugak sekarang ni..(merepek perkara betul)

saya follow pon yang rakan-rakan tu pon entah ape2....sekadar megambil hati mereka...tapi blog bro bila bace, nak bace lagi...blog dia orang lain bila bace comform tak boh bace dohhh..(menyekitkan je mata yang membaca ni) jangan habaq kat depo nahh

kadang-kadang rase mcm bace buku motivasi pon hade...kalau bro buku kan pasti ramai yang belinya...(harga pon berpatutan lah yo)....quote tu pun tersangat lah interesting...

seperti orang lain jugaklahh saye pon akan cakap tolong jgn berhenti menulis kerana mase belum tamat..aik ....sebab sangat memanfaat untuk semua...di samping memplus+.. ilmu pengetahuan dalam agama

jadi



TERUSKANLAH MENGUPDATE BLOG...

*motif utama*
nok ucap terima kasih kat hang jo..sebab appove jadi kawan kat fb...hehehe..tapi dah terlebih sudahhh berjele2 macam nie..

tapi yang di atas tu memang ikhlas dan jujur dari hati....TERIMA KASIH KERANA MENULIS BLOG YG BERGUNA....
tapi kawe masih dok pehe loghat kedoh ( tak pe belajaq slow2) sebab kawe orang pantai east..

untuk pengetahuan saya silent reader...dulu ada tulis blog jugak tu pon untuk assigment applikasi komputer...tp sekarang dah tinggal sejarah dah pon blog tu. sebab tak leh buke *password tak ingat*

syukran kerana meluangkan mase bace mesej ni..hehehehehe
:- )


Hahahahaha. Okey kesorianlah sebab aku gelak dulu. Sebab? Ayat dia ni boleh tahan lawak. Haih, membagi mengantuk aku hilang dengan tiba-tiba sungguh. Err, okey let's menjawab kembali pernyataan anda di atas.

Waalaikumussalam bro,

Terima kasih la sudi mengkhatam a.k.a membaca semua entri di blog hampes gua ni. (see gua yang kata blog gua hampes). Tarak tarak nak marah lu jugak. *serangan balas*

Sungguh tragis cara hang jumpa blog aku ni. Takpa-takpa aku consider. (Tadi gua, lani aku pulak. Layan layan). Hang tak payah nak telopong sangatlah. Ni bukan blog GUNAWAN. Ni blog MAISECAWAN :). Eh sapa dia GUNAWAN tu? *okey dengan pantas gua menggoogle*. Oooo mamat tu. Ramai orang kata muka dia macam aku. Hahaha. (Ambik! Sapa suruh bagi aku perasan sangat. Aku menokok tambah lagi la weh)

Mai ai ni nak terharu berlebihan ni. Sanggup hang menyelami setiap entri aku selama 2 minggu. Haih, taktau la nak cakap apa. Kalau dekat confirm aku bagi kat hang choki-choki. Sebagai tanda penghargaan. Serius la. Aku tak main-main. Tak jumpa hampehnya dalam blog aku ni? Hanya aku saja yang tahu dimana kehampesannya. *senyum sambil memintal kumis*

Habih la hang aku dah pecah temberang hang kat sini. Aku kasi tau semua kawan-kawan hang. Hahahaha. (Almasalahnya kawan-kawan dia kenai ka dia? Eh kawan-kawan dia baca ka blog aku? Dan yang paling penting dia ni sapa dia? Jeng jeng jeng!)

Aku memang kuat berangan. Ada la cita-cita mahu jadi pakar motivasi tu. Tapi segalanya aku mengadaptasikan di sini sajalah. Tudiaa suruh aku buat buku. InsyaALLAH kalau diizinkan olehNYA mahu jugak ke arah tu. Tapi kat hang aku jual mahal sikit. Baru untung. Dan barulah nama tolong kawan-kawan :)

Oh segala macam quote tu semuanya secara spontan dikeluarkan. Ikut situasi gua time tu. Dan aku yakin hang pun secara spontan je kan suka? *cari pasal* Terima kasih atas nasihat berguna. Akan aku sematkan kemas di celah minda dan hati sanubari.

Punya berjela-jela hang tulis sampai ke motif utama. Haha. Okey okey diterima. Sama-sama (sebab hang kata terima kasih approve hang kat facebook). Dan bidasan dilakukan : TERIMA KASIH SEBAB SUDI BACA BLOGKU INI :)

Takpo takpo mu kecek slow-slow. Nanti mu pahe la. (Gua boleh je kecek. Saja takmau tunjuk). Hasil luangan masaku telah terreply di sini. Harap tak kisah ye. Ala aku tak habaq kat orang haih hang sapa. Tak payah bimbang.



************


Memang rasa terharu apabila ada yang sudi luangkan masa membaca hasil karya kita. Semua pulak tu. Itu adalah sesuatu perkara yang menggembirakan bagi seorang blogger picisan macam aku. Terima kasih kepada semua yang sudi bertandang dan membaca, terima kasih kepada silent reader, terima kasih kepada yang sudi komen, terima kasih kepada yang sudi memberi pendapat mahupun kritikan. Terima kasih membangunkan saya dalam industri blogging ni. Errr.... *off the record*

*feeling ucapan terima award

Wassalam.


Hami Asraff:

"Cubalah beri kegembiraan kepada orang lain, insyaALLAH kegembiraan itu akan terbias padamu kelak."



Thursday, July 14, 2011

ALLAH Berhak Memberi Hidayah Ke Atas Sesiapa Sahaja




Assalamualaikum w.b.t

Biarpun sejahat dan seteruk mana kita di masa silam, kita tetap insan manusia. Insan biasa. Yang tetap kerdil di sisi Sang Pencipta. Yang sentiasa mengharap pengampunan dariNYA. Biarpun pada dulunya kita masih di awang-awangan. Masa diperguna hanya untuk keseronokan semata-mata. Langsung tidak terlintas di benak fikiran kita mampu mendapat Nur Ilahi. Langsung tidak pernah.

Mungkin tak berapa banyak mahu huraikan. Mungkin penceritaan boleh menerusi dari video-video di bawah.

1. Ustaz Azmil Mustapha

Siapa sangka Ustaz Azmil yang lebih sinonim dengan Ali Setan mampu berubah seperti sekarang. MasyaALLAH. Kuasa ALLAH itu nyata. Banyak video-video ceramah beliau di Youtube. Tetapi aku pilih video yang di bawah ni sajalah. Mari dengar tazkirah beliau di bawah.




2. Bob Lokman

Beliau ada buat kejutan pada Program Raja Lawak yang bahawasanya beliau mahu mengundur dari menjadi juri untuk program itu. Pada mulanya ingatkan hanyalah gimik semata-mata. Ternyata tidak. Beliau mahu berhijrah ke arah yang lebih baik. Subhanallah. Video di bawah tiada unsur politik. Dengar pengisian yang beliau sampaikan. Itu lebih penting.




3. Sham Kamikaze

Agak terkejut juga bila mula-mula tengok video ni dulu. MasyaALLAH sungguh kelu lidah. Dan rasa tenang je dengar penceritaan pengalaman beliau dalam mencari dan mendapat hidayah ALLAH itu. Mengagumkan. ALLAH telah aturkan segala dengan teliti sekali.




4. Kumpulan Ruffedge, Innuendo dan V.E

Kini mereka dikenali sebagai Kumpulan Al Mawlid. Memperjuangkan lagu-lagu berunsur ketuhanan. Aku baru jugaklah tahu pasal Kumpulan Al Mawlid ni. Bawah ni ada lagu 'Cahaya Seluruh Alam'. Memperingati Nabi junjungan kita. Nabi Muhammad SAW. Bersih saja wajah-wajah mereka. MasyaALLAH :)




5. Amer Munawer

Bekas anggota Kumpulan Ruffedge muncul juga dengan single terbaru yang berunsur ketuhanan. 'Seluruh Mahabbah'. Lirik lagu yang sangat bagus. 




Artis-artis wanita lain tak kurang hebatnya mengalami penghijrahan seperti Wardina Saffiyah, Irma Hasmie dan lain-lain. Berasa sungguh gembira melihat perubahan mereka. Tetapi aku begitu tertarik dengan seorang artis wanita yang mencerita bagaimana beliau mendapat hidayah untuk memakai tudung.


6. Catriona Bahrin Ross

Aku terjumpa video ni dekat youtube. Kali kedua buka dah ada yang remove. Nasib baik aku sempat download. Dengarlah ulasan pendek beliau bagaimana beliau boleh mendapat hidayah untuk memakai tudung, tetapi begitu utuh dan meyakinkan. ALLAH Maha Besar :)




Kepada wanita-wanita yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna diluar sana, hentikanlah memberi alasan belum sampai seru. Bukankah seruan Islam meWAJIBkan untuk menutup aurat. Itulah serunya.

Tidak melabelkan siapa jahat dan siapa baik. Hakikatnya kita semua mampu berubah ke arah yang lebih baik. Hidayah itu perlu dicari bukan dinanti. Dan ini hanyalah beberapa contoh yang aku kemukakan. Minta maaf kalau ada yang terlepas pandang untuk beri ulasan. Sekiranya ada yang mahu berkongsi, silalah nyatakan di ruangan komen.

Kenapa aku mengfokuskan kepada artis? Sebab artis adalah public figure. Sekali mereka berubah, mereka boleh membawa perubahan kepada masyarakat. Maka janganlah sesekali mengutuk mereka. Sebaliknya teruskan berdoa supaya mereka terus diberi hidayah. Dan sesungguhnya untuk kita jua.

Itu sahaja. Moga ada manfaat bersama. Wallahu'alam.

Wassalam.

Hami Asraff:

1. Semoga kita terus istiqamah dalam mempertingkatkan amalan. InsyaALLAH.
2. Jangan pernah putus asa dengan rahmat ALLAH. Terus berusaha dan berdoa.


Sunday, July 3, 2011

Kesedihan Hanya Melumpuhkan Anda. Berhentilah Menangis Dan Terus Melangkah Gagah.









Assalamualaikum w.b.t

Asyik terpospone nak publish entri. Padahal dah habis dah tulis semua. Biasalah. Gejala biasa apabila di rumah. Ada saja perkara tak rasmi mengganggu diri. Tak ganggu sangat pun. Kadang-kadang sengaja menginvolvekan diri dalam acara yang mengganggu diri tu. Tak faham? Bagus. (Dah lama tak merepek)

Manusia biasa. Acapkali diuji dengan segala macam dugaan. Dugaan yang kadangkala langsung tidak mampu berkata apa-apa. Terasa berat ditanggung. Terasa langsung tiada jalan keluar. Terasa seperti tidak dipeduli. Terasa luluh hati. Hiba dan kesedihan yang terlalu menggunung tinggi.

Akhirnya kita kembali kepada fitrah manusia. Kembali pada Yang Maha Esa. Hanya Dia yang memahami segala isi hati. Bertepatan dengan apa yang aku sedang lakukan. Sedang membaca buku yang memberi inspirasi pada diri. BILA ALLAH MENDUGA KITA, karya Syed Alwi Alatas. Aku taip semula satu bahagian di dalam buku ini yang dirasakan harus dikongsi. Nanti aku ulas. Bacalah di bawah dulu.



Apa yang biasanya terjadi ketika seseorang mendapat dugaan atau kehilangan sesuatu? Bukankah dia akan merasa sedih? Bayangkan ada seseorang yang sedang meratap sedih di hadapan sebuah rumah. Kemudian dia bertanya kepadanya, "Apa yang telah membuat anda sedih?" Terus dia menjawab, "Saya baru saja kehilangan isteri saya, dia telah meninggal dunia."

Demikianlah kesan dari kehilangan pada jiwa seseorang, ianya akan menimbulkan rasa kesedihan, bahkan rasa berputus-asa. Pada situasi yang lain anda mendapati sahabat anda tertunduk lesu. "Ada apa?" Anda bertanya kepadanya. "Saya baru saja diberhentikan kerja." Demikian jawapan sahabat anda itu. Dia baru saja mendapat satu dugaan yang berat dan menjelaskan sesuatu bentuk kehilangan. Ya, teman anda telah kehilangan pekerjaan dan bererti kehilangan pendapatan harian yang selama ini dinikmatinya setiap bulan dari tempatnya berkerja.

Dugaan boleh juga diterjemahkan sebagai satu kehilangan dan biasanya menimbulkan rasa sedih pada diri seseorang. Kesedihan sebenarnya perkara yang wajar dirasakan oleh seorang yang kehilangan sesuatu. Yang harus dielakkan, sebagaimana yang diisyaratkan oleh surah al-Hadid. Kesedihan yang berlebihan dan berpanjangan atau berterusan pada akhirnya akan menggandakan dugaan yang menimpa kita. Surah al-Hadid ayat 23 menjelaskan bahawa Allah menetapkan segala sesuatu bagi kita antara lainnya supaya kita tidak terlalu bersedih atas apa-apa yang hilang dari diri kita.

Tetapi bagaimana ini boleh terjadi? Adakah seseorang yang menyedari bahawa segala sesuatunya sudah ditentukan oleh Allah mampu untuk memendam rasa sedihnya? Tentu boleh! Sekiranya seseorang mengetahui apa yang dialaminya telah ditetapkan sebelumnya oleh Allah, sekiranya dia beriman pada Allah dan merasa reda terhadapNya, maka mengapa dia harus bersedih atas sesuatu kehilangan. Bukankah itu memang sudah digariskan olehNya? Bukankah itu tetap akan terjadi walaupun kita sedaya upaya cuba menghindarinya? Jadi mengapa kita perlu hanyut dalam kesedihan?



Apakah kesedihan kita akan menyebabkan apa yang hilang itu kembali pada kita? Tentu tidak! Malah kesedihan itu menyebabkan diri kita semakin susah dan tertekan. Jadi relakan saja dan katakan, "Segalanya berasal dari Allah dan akan kembali kepadaNya." Bukankah dengan demikian perasaan kita akan menjadi tenteram? Kita tidak perlu menyibukkan diri dengan apa yang sudah berlalu dan kita boleh fokuskan perhatian pada apa yang ada di hadapan kita. Life must go on.

Sudahkah anda memahami rahsia ini? Al-Quran menyatakan bahawa Allah telah menetapkan itu semua supaya kita tidak bersedih hati terhadap apa yang menimpa. Semua itu sudah digariskan olehNya, tidak perlu terbawa-bawa dalam kesedihan dan berputus asa. Sekiranya orang yang sangat kita cintai meninggal dunia, wajar kita bersedih kemudian katakanlah, Inna lillahi wa inna ilahi raji'un, segalanya berasal dari Allah dan akan kembali kepadaNya! Semua ini berada dalam wilayah kekuasaan Allah. Apa yang sudah terjadi biarlah terjadi dan kembalikan segala urusannya kepadaNya kerana Allah lebih mengetahui sebab dan hikmah berbagai peristiwa di sekitar kita. Jadi berhentilah menangis, relakan apa yang baru saja menimpa dan beramallah untuk waktu-waktu yang ada terbentang di depan kita.

Ulasan dari aku.

Yeah, berhentilah menangis wahai sahabat-sahabat sekalian. Semua yang bergelar insan manusia pasti akan pernah merasai kehilangan. Kehilangan harta benda ataupun insan tersayang. Keperitan yang ditanggung pasti tidak tertanggung jiwa nurani. Hanya diri yang alami pasti mengerti. Sarat menanggung beban. Sehingga tertekan. Semua urusan terganggu. Kemurungan yang amat sangat.

Ada yang terlalu sedih apabila putus cinta. Lumrah sebagai insan manusia yang punya hati dan perasaan. Menangis semahu-mahu. Meronta, meraung malah merayu pada sang kekasih yang sudah berpaling agar kembali pada diri. Natijahnya, memakan diri. Apabila sudah tiada erti, manusia akan buat apa sahaja. Janji dapat memuaskan perasaan dan gelodak hati. Merana dan terus merana.


Kembali pada dunia nyata. Kesedihan yang berpanjangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Malahan diri terus terjerumus dalam lembah kemurungan. Buat apa mensia-siakan terlalu banyak perkara yang jauh lebih penting yang sedang menanti di hadapan. Kadang-kadang kita terlupa akan hakikat yang sangat menguntungkan ini. Terlalu memikirkan perkara yang sudah berlalu sehingga tidak mahu berusaha mencari jalan keluar.

Aku mengfokus pada kehilangan kekasih kerana rata-rata manusia terlalu bersedih hati disebabkan perkara ini. Ingatlah, inilah proses kehidupan yang kita semua harus fahami. Ianya datang untuk mencantikkan perjalanan hidup ini. Supaya kita lebih kental dan tahu selok belok dalam meneroka dunia luar lagi. Lihatlah sekeliling. Sekurang-kurangnya kita masih punya keluarga yang sentiasa menyokong. Sekurang-kurangnya kita masih punya kawan-kawan yang tak pernah putus memberi dorongan. Dan yakinlah anda masih beruntung berbanding orang lain.

Semua orang mengharapkan kebahagiaan dalam hidup. Sekiranya masih belum ketemu bahagia itu, janganlah berputus asa. Teruskanlah berusaha dan merencanakan kehidupan. Masa silam adalah sejarah tinggalan yang seharusnya dijadikan pedoman. Gapailah peluang yang ada pada hari ini. Dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan di masa akan datang. Wallahu'alam.

Wassalam.



Hami Asraff:

1. Jangan terlaku leka dengan apa yang kita ada. Allah boleh tarik nikmat itu dengan sekelip mata.
2. Gembirakan orang tuamu terlebih dahulu sebelum berusaha menggembirakan kekasih yang tidak halal bagi kamu.