Sesi Monolog Dalaman

Friday, April 29, 2011

Manusia Hidup Dalam Kenangan




Kenangan pasti datang dan terus datang menerjah.

Tempislah sebanyak mana pun.

Nescaya tidak mampu ditangkis.

Ia terus menyinggah tanpa dipinta.

Hati, diri dan minda terpaksa turut serta.

Masakan mampu melawan apabila hati sudah dirajai.

Akur dan pasrah menjadi sandaran. Pada hamparan sebuah kenyataan.

Tiada sesiapa di dunia ini pinta untuk bersedih.

Aku, kamu dan mereka juga.

ALLAH itu Maha Mengetahui.




Hami Asraff
3.05 pagi
28/4/2011
Di kamar sepi


Saturday, April 23, 2011

Rentetan Pemergian Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi [Part 2]


Assalamualaikum w.b.t


Seumur hidup ayah tak pernah sakit. Maksud aku sakit-sakit yang dianggap teruk. Alhamdulillah untuk itu. Sekadar demam, sakit kepala, selsema macam tu perkara biasalah. Apatah lagi sakit yang dimasukkan hospital, jauh sekali.

Sehinggalah hari itu.

16 April 2011 : (3.00 petang)

Ayah melakukan kerja-kerja hariannya seperti biasa. Ayah aku berusaha menyiapkan syiling rumah yang sedang disiapkan. Sangat tekun melakukan aktiviti berkenaan memandangkan kurang dari 2 minggu majlis perkahwinan abang keduaku. Masa yang semakin suntuk itulah dipergunakan sebaiknya. Rumah yang kami diami sekarang ini adalah hasil kerja tangan ayahku sendiri. Memang dari dulu ayah aku mahir bertukang.

16 April 2011 : (5.15 petang)

Ayah dan cucu-cucu kesayangannya di belakang rumah. Menganyam sarung cempedak atau lebih dikenali sebagai 'geruk'. Dan sempat disarungkan cempedak-cempedak di belakang rumah. Tujuan 'geruk' ini adalah untuk memastikan buah cempedak itu tidak rosak. Tak semua orang tahu membuat 'geruk' termasuk aku.

16 April 2011 : (6.20 petang)

Ayah mengait buah kelapa di belakang rumah. Air kelapa minuman kegemaran beliau yang ternyata banyak khasiatnya. Belum pun sempat minum air kelapa tadi, tiba-tiba ayah terasa panas badan. Beliau juga mengadu sakit belakang dan sakit perut. Semuanya secara tiba-tiba. Keadaan ini berlanjutan sehingga maghrib. Dalam tempoh berkenaan ayah berkeadaan rimas. Duduk tidak kena, meniarap tidak kena. Mungkin sedang menahan sakit yang amat sangat.

16 April 2011 : (7.30 malam)

Maghrib tiba. Ayah solat maghrib dengan keadaan yang amat sakit. Boleh nampak dari pergerakan solat ayah yang menyeksakan. Menurut kata abang. Sekejap lagi ayah akan dihantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan memandangkan sakitnya berterusan. Waktu ini tidak pernah memikirkan sebarang kemungkinan. Hanyalah telahan seperti biasa. Ayah sakit biasa-biasa sahaja.

16 April 2011 : (8.05 malam)

Abang menghantar ayah ke Pusat Kesihatan UUM yang jaraknya dekat dengan rumah. Hanya mengambil masa 10 minit untuk ke sana. Suntikan yang ketiga kali baru mendatangkan hasil setelah mencuba beberapa kali. Doktor mengambil keputusan untuk merujuk ayah ke Hospital Jitra memandangkan tiada tenaga pakar dan peralatan yang kurang mencukupi. Ayah dihantar ke Hospital Jitra menaiki ambulans diiringi kakak menemani di dalamnya. Abang, adik dan emak mengekori dari belakang.

16 April 2011 : (8.45 malam)

Sampai Hospital Jitra dengan keadaan tergesa-gesa. Kakitangan hospital membawa ayah terus ke wad kecemasan. Ayah diberi rawatan seperti biasa. Keadaan ayah nampak stabil. Ayah sempat berseloroh dengan Doktor. Itulah ayah. Senda gurauan adalah tabiat ayah. Dengan sesiapa sahaja. Ada sahaja lawak jenaka yang disajikan. Walaupun telah diberi ubat ayah masih mengadu yang ayah sakit sangat. Ubat jantung yang diberikan menyebabkan pendarahan di gusi ayah. Boleh bayangkan bagaimana keadaan ayah yang menyakitkan itu.

Tahap kesihatan ayah di pantau dari masa ke semasa.

17 April 2011 : (1.45 pagi)

Doktor memanggil kakak dan mengkhabari sebuah pesanan positif. Keadaan ayah stabil. Jantung ayah stabil. Alhamdulillah. Cuma tekanan darah ayah masih tinggi dan doktor perlu menahan ayah selama 3 hingga 4 hari supaya ayah dapat berehat dan diberi rawatan susulan. Seterusnya kakak, abang dan adik menguruskan ayah untuk pendaftaran ke wad. Seumur hidup ayah seorang yang susah untuk tanggal baju walaupun bersantai di rumah. Tetapi malam tu ayah langsung tidak mahu memakai baju dengan alasan badan ayah panas. Wajah ayah masih tenang. Raut wajah yang langsung tidak menunjukkan kesakitan. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir.

17 April 2011 : (2.15 pagi)

Di wad. Mulut ayah masih berdarah. Hasil suntikan 'ubat mencair darah' yang disuntik oleh Doktor. Banyak kali kapas ditukar di mulut. Darah keluar tidak henti-henti. Semua mengelilingi katil ayah ketika ini kecuali diriku. Terasa sedikit kelegaan memandangkan semuanya dalam keadaan stabil. Kelegaan itu menerusi kata-kata doktor yang mengkhabari semuanya tadi.

Ayah menyuruh mak, kakak, abang dan adik pulang. Cuma ditemani oleh adik aku yang sorang lagi. Dan tiada seorang pun yang menyangka ini adalah pertemuan terakhir antara ayah dengan emak, kakak, abang dan adik.

Mungkin ayah tak mahu isteri dan anak-anaknya meratapi pemergiannya di saat akhir. Kemungkinan itu kami sendiri yang tafsirkan. Langsung tiada pesanan. Tiada amanat terakhir dari ayah. Langsung tiada. Salam dengan ayah adalah seperti biasa. Seperti hari-hari yang lain.

17 April 2011 : (3.10 pagi)

Adik yang menunggu ayah di wad tadi telefon rumah. Suaranya menangis teresak-esak. Emak, kakak, abang dan adik yang baru sahaja sampai rumah, terpaksa bergegas kembali ke Hospital Jitra. Di Wad Melor. Pecutan Vios abangku mencecah 200 km/j. Matlamat hanya satu. Mahu segera sampai.

Sampai di wad. Inilah saat yang paling memilukan. Mak, kakak, abang dan adik mengelilingi ayah. Ucapan zikir meniti di bibir masing-masing. Disusuli dengan lafaz kalimah syahadah dari semua adik-beradik. Ya Allah aku boleh bayangkan betapa hibanya saat ini walaupun aku tiada pada lokasi dan situasi. Sampailah waktu yang sudah tertulis di Loh Mahfuz.

17 April 2011 : (4.27 pagi)

Ayah dijemput Ilahi.

Ya Allah fikiran sangat berkeceramuk. Satu persatu menyerbu masuk hingga tidak mampu difikirkan lagi. Pilu, hiba, rawan dan sebagainya. Waktu ini, pelbagai kesimpulan telah disertakan. Antaranya kalaulah tak bawak ayah pergi hospital, bolehlah emak, kakak, abang dan adik bersama-sama menjaga ayah sehingga hembusan nafas terakhir. Tapi sekiranya begitu, akan timbul pulak perasaan bersalah bersarang di dalam diri. Kalau tak bawak ayah pergi hospital, nescaya akan menyesal seumur hidup.

'Kalau' itu perkataan yang terlalu indah. Sekiranya ada 'kalau' ini semuanya boleh harungi, semuanya boleh diperbaiki, semuanya mampu ditakluki. Malahan tiada langsung tangisan, semuanya hanyalah senyuman melebar.

Suratan takdir. Makin dapat menerima dengan hati yang redha biar kesedihan ini langsung tidak mampu dibendung.

Wassalam.

Wad yang akan dikenang sampai bila-bila. Di sini ayah menghembuskan nafas terakhirnya.


(Akan diteruskan penceritaan ini. Mahu buat cerpen untuk ayah)

Wednesday, April 20, 2011

Tanda-Tanda Saat Kematian



Assalamualaikum w.b.t

Mahu sambung Rentetan Pemergian Ayanda Tercinta untuk Part 2. Tapi mahu berkongsi sesuatu dengan pembaca semua dan diri sendiri terlebih dahulu.


Tanda-Tanda Saat Kematian

100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.

60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.

40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan kelihatan seperti sedang rungsing.

7 hari : Mengidam makanan.

5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.

3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.

2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.

1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh dan asar.

Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan).

Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam dan jangan lagi bercakap-cakap.


*******Bila Malaikat Mencabut Nyawa*******

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:

"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dia telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masyk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W lagi :

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dan sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seseorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut orang orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan : Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata :

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila malaikat maut gagal mencabut roh orang mukmin dari arah kaku, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata :

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba menghampiri mata berkata mata :

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dar jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A : "Roh itu menuju ke tujuh tempat :-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W : Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.

Sumber : Di sini.

Moga ada pedoman bersama. Wassalam.

Monday, April 18, 2011

Rentetan Pemergian Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi [Part 1]


Assalamualaikum w.b.t

Keresahan. Kerunsingan. Hati tidak tenang. Jiwa tidak tenteram. Aku akui perasaan ini hadir seminggu yang lepas. Pada minggu-minggu terakhir semester. Terlalu banyak perkara perlu diselesaikan. Mengejar masa. Tekanan berada di puncak.

16 April 2011 : (8.15 malam)

Menerima panggilan telefon daripada kakakku di kampung.

"Ayah masuk hospital."

"Eh, sebab apa kak?"

"Tadi ayah merungut sakit dada, sakit perut. Jadi kak bawak pi klinik UUM. Tapi klinik bawak ayah naik ambulans pi Hospital Jitra. Serangan jantung."

"MasyaAllah. Lepas tu macam mana? Semua okey ka? Serius ka?"

"InsyaAllah okey. Tak serius sangat. Jangan risau."

Perbualan dengan kakakku berakhir di situ. Memang menambah kerisauan yang telah sedia ada. Sangat. Di samping berdoa di dalam hati yang semuanya baik sahaja. InsyaAllah sangat berharap begitu.

Meneruskan Final Year Project aku yang terbengkalai. Meneruskan tugasan yang bersisa tanpa memikirkan sebarang kemungkinan yang berlaku. Lagipun perbualan dengan kakakku tadi hanyalah perbualan biasa. Perbualan yang ada nada gurauan. Ah, kami terlalu faham ayah kami. Tidak pernah merungut. Tidak pernah mengeluh. Kalau sakit, "tak ada apa-apa ni." Begitulah yang selalu dipertuturkan. Maka, aku anggap ayah aku hanya sakit sakit biasa walaupun serangan jantung.

Harap semuanya baik-baik sahaja. InsyaAllah.

17 April 2011 : (3.05 pagi)

Badan terasa sangat letih. Tetapi keletihan otak tetap merajai. Mungkin perlu merebahkan badan setelah hampir 30 jam tidak tidur. Siapkan tugasan di fakulti semalaman. Berada di fakulti dari pukul 9.00 malam hingga 6.30 pagi. Alhamdulillah berjaya juga siapkan. Rebahkan diri. Rehatkan mata. Badan jugak perlu rehat yang cukup.


17 April 2011 : (4.00 pagi)

Memang aku tidak duga panggilan ini. Aku jawab antara sedar dan tidak. Suara emak aku dari corong telefon. Sebuah ayat yang buat aku menggeletar. Seluruh jiwa.

"Ayah dah tenat."

MasyaAllah. Aku terpana. Dalam hati tidak putus-putus berdoa. Semuanya akan seperti sediakala. Ayah akan sembuh. Ayah tak ada apa-apa. Ayah sakit sikit je tu. Ayah sihat. Nanti ayah keluar dari hospital la tu.

Harapan demi harapan positif terus dihamburkan. Hati makin resah. Aku bukak lampu bilik. Aku keluar bilik. Aku masuk kembali. Semuanya serba tidak kena. Tidak menentu. Sebu. Bagaikan orang kena sawan. Tidak tentu arah.


17 April 2011 : (4.27 pagi)

Mendapat panggilan telefon. Tertera nama kakakku di telefon bimbit. Sebuah ungkapan keramat yang aku akan ingat sampai bila-bila. Yang akan aku kenang hingga akhir hayat. Dan sebuah ungkapan ngeri yang aku langsung tidak mahu mendengar.

"Ayah dah tak ada..................."






*hilang kata-kata*




*****************************************





Suara menggeletar dan tangisan yang sangat esak. Masa seakan terhenti. Telefon bimbit jatuh dari genggaman. Degupan jantung juga semakin laju. Selaju air mata yang mengalir. Tumpah sederasnya. Masakan tidak percaya. Serius aku memang tak dapat terima hakikat yang perit ini. Ketika ini. Di saat ungkapan keramat itu meniti dan menusup di telinga. Sejurusnya sebuah panahan tertusuk ke dalam jantungku.

Aku terpaku dan dah tak mampu kata apa-apa lagi. Dalam kepala, aku kena pulang dengan kadar segera. Lantas, aku hubungi sahabat-sahabat yang terdekat denganku. Seorang sahabat datang mententeramkan aku dan seorang sahabat lagi dalam perjalanan. Tiada lain, aku perlu naik kapal terbang walaupun aku tahu kewangan sangat tidak stabil. Tapi aku harus cepat.


17 April 2011 : (8.30 pagi)

Di Lapangan Terbang Subang. Aku berlepas 8.30 pagi. Dijangka sampai Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pukul 9.40 pagi. Melihat gumpalan awan merentasi dada langit, menyedarkan aku akan kekuasaan Allah SWT. Subhanallah. Betapa kerdilnya hambaMu ini. Betapa lemahnya hambamu ini. Kau berhak menentukan apa sahaja Ya Allah. Perancangan Engkau adalah terlalu sempurna walaupun hakikatnya sukar diterima. Antara tidak sedar, air mata merembes keluar lagi.


17 April 2011 : (10.00 pagi)

Adik aku datang menjemput. Dalam kepala mahu segera sampai rumah. Kali terakhir aku jumpa ayah 2 bulan yang lalu. Ya Allah, aku mahu tatap wajah manusia yang sangat berbakti pada diri. Tapi harus uruskan sijil kematian dahulu. Bergegas ke Jabatan Pendaftaran Negara. Sebagai jasa terakhir aku kepada arwah ayah.


17 April 2011 : (10.30 pagi)

Saat yang begitu sukar dalam hidup. Sampai rumah. Halaman rumah sudah dipenuhi manusia. Melangkah longlai menuju pintu utama rumah. Ramai mata memandang. Aku adalah adik-beradik terakhir yang tiba. Aku seperti tidak berpijak pada bumi yang nyata. Di awang-awangan. Disambut dengan wajah sebam kakakku. Abang aku sambut beg aku yang entah aku campakkan di mana. Dan di saat ini jugak emosi meruntun dengan terlalu drastik. Ya Allah, hiba dan pilu itu tertaut dengan sangat kuat. Sukar lagi mahu memperlihatkan ketabahan. Aku insan yang lemah. Ketabahan memang dicalar waktu itu jugak. Cuba ditenteramkan oleh abang dan kakak.

Masih belum melihat jenazah. Arwah ayah yang terbujur kaku di ruangan dalam. Kurang dari 10 langkah. MasyaAllah sesungguhnya aku tidak berdaya untuk ke sana. Sungguh. Rebah tidak terkata.





Terkilan.







*********************************


(Terpaksa berhenti menaip. Meraih kekuatan. InsyaAllah bakal disambungkan)



Sunday, April 17, 2011

Pemergian Ayahanda Tercinta Buat Selama-lamanya



Tepat pukul 4.27 pagi 17 April 2011 bersamaan 13 Rabiulawwal 1432H, insan yang paling dikasihi mengadap Illahi. Serangan mengejut sakit jantung. Tidak pernah di duga akan ujian hebat ini. Aku terdampar kelemasan. Aku jatuh dan jatuh lagi. Bertimpa-timpa ujian ini. Aku sedar, aku insan terpilih untuk diuji. Doakan aku mampu bangun kembali dengan harapan yang kian pudar.



AB HALIM BIN MD. DIAH (16/12/1949 - 17/4/2011)

Moga ayah aman di sana. Moga roh ayah dicucuri di bawah lembayung rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Al-fatihah.


Monday, April 11, 2011

[Entri Penghargaan] : Terima Kasih Sudi Baca Blog Yang Jarang Update Ini


Assalamualaikum w.b.t



Berkali-kali aku bukak ruangan 'New Post' ini dan berkali-kali juga terhenti tiada noktah. Terbengkalai tiada sisa. Dibiarkan pudar dan malap dan sejurusnya hilang. Idea masih bertahan di minda. Cuma komited terhadap kerja lain terlebih dahulu perlu diisi. Maka, tiada madahan disisipkan. Redha.

Utamakan yang mana perlu diutamakan.

Itulah yang cuba dilakukan. Minggu-minggu sibuk di penghujung semester masih belum berlalu pergi. Banyak perkara kena selenggara. Selaras dengan kewajiban dan tuntutan. Nama pun pelajar kan? Biasalah. Semua manusia yang bernama pelajar sedang melalui hari-hari sukar. Aku turut tidak terkecuali. Hari-hari sukar untuk bertemu kesenangan di hadapan. InsyaAllah.

Tapi tak baik kalau biar orang terus menanti. Eh ada ke yang menanti akan kehadiran entri terbaru aku? Apa? Takdak pun? Err, okey aku perasan. Terima kasih sebab beritahu perkara sebenar.

Cukup. Ini mungkin entri pendek sahaja. Mencuri-curi update pada selang masa. Tiada apa sangat mahu dicerita dalam entri ini. Cuma, semasa aku sedang mengoogle untuk mencari bahan Final Year Project aku, aku sempat mengoogle tentang 'Blog Hami Asraff'. Saja gatai tangan.

Rupa-rupanya ada perkara yang aku taktau sebelum ni. Ish ish ish *geleng kepala*

Apakah? Mari mari terus ushar di bawah. Ada blogger yang menulis mengenaiku. Memang kebanyakkannya aku taktau. Mereka tak maklumkan kepada aku. Ada jugak yang diberitahu dulu. Jom lihat satu persatu.


http://www.dauspozi.com

Ingat Hijau, Ingat Daus dan Daun (tambahan). Blogger termuda yang pernah aku kenali dalam dunia maya ni. 16 tahun. Memang muda lagi. Tengkiu la sudi meletakkan senarai 5 blog yang paling dilawati 2011. Dia kata mak dia suka baca blog aku. Eh?! Klik la banner dia tu kalau nak tau.



http://www.edrienahazelina.com



Aku rasa gadis yang bernama Edriena Hazelina ni buat review blog dah lama dah. Terima kasih untuk anda. Serius hargai. Tahu ianya adalah ayat conventional. Tapi itulah perkataan yang sesuai. (klik banner untuk ke blog beliau)








Segalanya Tentang Budak Perempuan Bernama Popolita. Nama blog beliau. Yang ni terharu kuasa 8. Oh pasal makan malam tu memang plan kawan dia. Gua hanya cuba menurut perintah je. Makan malam pedia pulak ni? Nak tau kliklah banner blog beliau di atas tu. Terima kasih banyak-banyak :)



http://bungalullaby.blogspot.com


Blog Fatin Syahira atau bungalullaby. Preview blog jugak. Tanpa dipinta. Eh! Tapi tu la. Mengreview blog gua yang banyak cacat cela. Terima kasih jugaklah. Terharu lagi. Orang Kedah jugak noh. (klik banner untuk ke blog beliau)




http://nooneknowzz.blogspot.com/


No One Knowzz. Yes I'm the one don't know yang kamu tulis ini pasal diriku. Ayoyo! Tak layak kot. Yang best sempat update dalam kelas lagi. Hebat! Klik banner nak tau pedia dia tulis. Terima kasih.



http://www.bubbles182.com

Okey yang ni memang aku baru tau. Hasil bantuan Encik Google yang disayangi. Siap ada ranking lagi. Hahaha. Dari pandangan mata beliau barangkali. Pasal Imam Muda tu tak sempat nak pergi. Hehehe. Ranking apakah dan Imam Muda? Klik banner dia la apa lagi kalau nak tau.



http://duniakucikgu.blogspot.com


Blog seorang cikgu. Confirm. Dari url blog beliau pun dah dapat tau. Beliau beritahu aku di kamar inbox facebookku. Haish, memang nak kata apa lagi kan? Samalah macam di atas semua. Terharu dan terima kasih. Suka lagu sentimental 'Ketika Cinta Bertasbih' dalam blog kamu :) (klik banner untuk ke blog beliau)

Itu yang aku dapat dari enjin carian. Tak tahu ungkapan apa yang lebih sesuai daripada terima kasih untuk menggambarkan betapa terharunya aku. Terharu sebab masih ada yang sudi bertandang walaupun aku seorang yang amat jarang update kini. Hampir 2 minggu jugaklah selang masa di antaranya.

Tidak pulak mahu riak atau berbangga. Cuma mahu berkongsi rasa dengan anda semua. Pembaca yang budiman. Mari terus berkarya. Mari terus sampaikan ilmu yang ada. Mari terus sumbangkan idea dan buah fikiran. InsyaAllah moga ada keberkatan dan manfaat bersama.

Wassalam.

Hami Asraff:
1. Selagi hayat dikandung badan, perjuangan mesti diteruskan.
2. Kehidupan adalah seperti mana yang kita tentukan. Keluar dan carilah kehidupan itu.