Sesi Monolog Dalaman

Thursday, November 21, 2013

Manusia


Kadang-kadang...
Manusia itu terlalu kompleks,
Semuanya salah di setiap aspek,
Salah sendiri disimpan dalam poket,
Salah manusia lain dirobek-robek.

Kadang-kadang...
Manusia itu tidak bersyukur,
Mengeluh sana-sini berhambur-hambur,
Lupa pada nikmat pandangan kabur,
Yang ada cuma nafsu berbaur-baur.

Kadang-kadang...
Manusia itu sibuk mencanang,
Mencanang keburukan supaya rasa senang,
Walhal sebenarnya mengundang tidak tenang,
Apatah lagi belas ihsan orang.

Kadang-kadang...
Manusia itu jiwanya tidak dibajai,
Hatinya itu tidak dicuci,
Makin hari titik hitam sebati,
Cepat cuci hati sebelum titik hitam meliputi.

Kadang-kadang...
Kita kena belajar menyayangi,
Jangan hanya belajar menghukumi,
Kita kena belajar memahami,
Selebihnya biar Allah urusi.

Hami Asraff
03:04:05
21 November 2013
UPM, Serdang
Selangor

Sunday, November 3, 2013

Lari

Kadang-kadang,
Mahu sahaja aku berlari,
Berlari tanpa destinasi.
Mengejar bayang-bayang sendiri.

Kadang-kadang,
Mahu sahaja aku pergi,
Pergi jauh dari ruang dimensi,
Agar yang tinggal cebisan kenangan untuk diingati.

Kadang-kadang,
Aku tidak peduli,
Cakap manusia di sana-sini,
Bila penat mereka berhenti.

Kadang-kadang,
Lari itu bukan solusi,
Larilah hingga hujung dunia sekali,
Masalah tetap hinggapi.

Jangan lari,
Duduk di sini,
Muhasabah diri,
Mohon bantuan Ilahi.



Hami Asraff
02:05 pagi
3 November 2013,
Kamar Dingin,
Bangi, Selangor.

Wednesday, October 30, 2013

Kita Sering Terlupa Pada Yang Satu








Assalamualaikum w.b.t

Fuh fuh!

Bersawang.

Pandang skrin laptop dengan perasaan pending. Tenung lama. Jari lambat-lambat menari di papan kekunci. Cernaan idea datang samar-samar. Deria rasa kian direnjat.

Apa khabar pembaca blog (jika yang masih membaca) budiman sekalian? Harap sentiasa awesome dengan amalan. Harap sentiasa upgrade iman. Harap sentiasa kacak dengan solat. Harap sentiasa cantik dengan akhlak. Ya harap-harap.

Ada benda nak berkongsi dengan anda.

Teruskan.

Membaca.

Sejak akhir-akhir ini, sebelum tidur pasti banyak perkara berlegar di minda. Satu persatu menerjah saraf otak. Memaksa keras untuk berfikir dan berfikir. Satu persatu permasalahan dunia dibentang.
Satu persatu rencana kehidupan dunia dihidang. Banyak. Terlalu banyak.

Serabut. Kusut. Tidak gembira. Hati tidak tenang. Semuanya bergaul sesedap rasa.

Kenapa?

Mesti ada yang tak kena. Mesti!

Merebahkan kepala di bantal. Earphone disumbat ke telinga. Tangan memegang telefon bimbit. Ligat mencari lagu kegemaran hati. Sehingga terjumpa sebuah lagu yang sudah lama tidak didengari. Butang play ditekan. Lagu dimainkan.


Afgan - PadaMu Ku Bersujud

Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat 
Selain hanya namaMu ya Allah 
Esok ataukah nanti 
Ampuni semua salahku 
Lindungi aku dari segala fitnah 
Kau tempatku meminta 
Kau beriku bahagia 
Jadikan aku selamanya 
HambaMu yang selalu bertakwa 
Ampuniku ya Allah 
Yang sering melupakanMu 
Saat Kau limpahkan karuniaMu 
Dalam sunyi aku bersujud 
Esok ataukah nanti 
Ampuni semua salahku 
Lindungi aku dari segala fitnah 
Kau tempatku meminta 
Kau beriku bahagia 
Jadikan aku selamanya 
HambaMu yang selalu bertakwa 
Ampuniku ya Allah Yang sering melupakanMu 
Saat Kau limpahkan karuniaMu 
Dalam sunyi aku bersujud 
Kau tempatku meminta 
Kau beriku bahagia 
Jadikan aku selamanya 
HambaMu yang selalu bertakwa 
Ampuniku ya Allah 
Yang sering melupakanMu 
Saat Kau limpahkan karuniaMu 
Dalam sunyi aku bersujud
Padamu




Peh! Bagaikan tertusuk di jantung. Padu. Sedar tidak sedar kerunsingan kita semua tentang hal-hal dunia. Ya 100%. Tidak mampu disangkal. Tidak mampu menipu diri. MasyaAllah, terkadang hambaMu ini leka. Terkadang hambaMu ni lupa. Terkadang hambaMu ini alpa.

Tanya pada diri,
Bilakah kali terakhir kita bangun sepertiga malam untuk solat tahajud mohon keampunan padaNya?

Tanya pada diri,
Bilakah kali terakhir kita menunaikan solat taubat?

Tanya pada diri,
Bilakah kali terakhir kita membuka dan membaca kitab suci Al-Quran?

Tanya pada diri,
Bilakah kali terakhir kita menangis kerana Allah?

Subhanallah. Itulah penawarnya. Penawar dari segala keresahan hati. Penawar dari segala gundah gulana jiwa. Penawar dari segala kedukaan.

Kita lemah. Kita lupa. Kita alpa. Kita leka. Moga Allah masih terima taubat kita.





Hami Asraff:

"Jangan alpa pada keseronokan dunia. Keseronokan dunia itu menghanyutkan manusia."


Wednesday, September 4, 2013

Kembali


Cuba untuk kembali.
Melakar sesuatu di sini.
5 tahun lalu medan ini,
sungguh meriah mewarnai.
Biasalah mana boleh samakan dulu dan kini.

Tetap mengejar destinasi.
Sama saja seperti kalian, bezanya cuma kita berlainan dimensi.
Jatuh bangun berdiri.
Bukan semua orang tahu kisah hidup ini.

Teruskan sisa hidup berbaki.
Teruskan memberi.
Teruskan sebar inspirasi.
Teruskan menulis, jangan berhenti.

Hidup, perjuangan kita menuju Ilahi.



Hami Asraff
Kamar sepi
00:43
04.09.13
Bangi, Selangor

Tuesday, May 14, 2013

Semuanya Akan Berakhir





Assalamualaikum w.b.t

Tak tahu nak mula dari mana. 52 hari tak buka blog. Terus rasa suram dan muram. Jadi di kesempatan yang ada ni aku trylah update apa yang patut. Untuk mereka yang bertanya "Bila nak update blog?" tu terima kasih. Sesungguhnya soalan simple itu memberi kesan besar pada diri ini.

Sebenarnya entri kat bawah ni dah ditaip lama. Cuma dibiarkan tersimpan rapi di dalam draft. Jadi jangan terkejut dengan tajuk entri tu. Okey mari teruskan pembacaan.



***********



Suatu petang yang damai. Mengambil angin petang. Nyaman. Tiba-tiba telefon bimbit berdering. Tertera nama sahabat lama dari skrin telefon bimbit. Sahabat yang berada di bumi Pulau Pinang.

Sahabat: Assalamualaikum bro. Busy dak?

Aku: Waalaikumussalam. Kalau aku boleh mengangkat telefon dengan jayanya ni makna aku tak busy la. Pasaipa weh?

Sahabat: Aku tension la weh!

Aku: Ala, standard manusia biasalah beb kalau tension. Tapi hang tension pasai apa ni?

Sahabat: Macam-macam. Tension dengan kerja la, tension dengan masalah kewangan la, tension dengan masalah family la. Serabut!

Aku: Hmmm... Hidup kita memang macam tu bro. Ada saja masalah akan mai kat kita ni. Kita takdak pilihan pun. Kenapa hadapi jugak walaupun payah. Takpa, hang cerita satu persatu. Mana tau kot kot boleh mereleasekan ketensionan hang tu.

Sahabat: Macam ni aku baru dapat kerja baru. Masalahnya tak ngam la dengan aku. Tak best. Kawan-kawan tak best. Kerja tak best. Persekitaran tak best. Aku pi kerja macam dalam keadaan terpaksa je. Tak rela hati. Ikutkan hati nak berhenti je rasa.

Aku: Rilekslah. Kerja memang macam tu. Hang pi kerja kat tempat mana pun sama. Ada pro dan kontranya. Tekanan kat tempat kerja tu perkara biasa la. Paling penting macam mana kita nak bawak diri kita. Nak handle situasi tu. Jangan berhenti lagi. Kerja dulu, at the same time hang try cari kerja lain.

Sahabat: Hang tak faham sebab hang tak dok situasi aku ni. 

Aku: Aku memang takkan faham 100% situasi hang. Tapi percayalah, sedikit sebanyak aku faham tekanan yang hang hadapi.

Sang sahabat terus meluahkan apa yang terbuku di hati. Mungkin itu salah satu cara untuk melepaskan ketensionan yang dihadapi. Kadang-kadang kita memang tidak mampu nak menolong. Tetapi kita boleh jadi pendengar yang baik, di samping cuba beri pandangan sewajarnya. Masalah manusia ini tak akan sama. Tetapi manusia mana yang tidak akan ditimpa masalah? Tak ada punya. Selagi kita bernama manusia, masalah akan terus datang dan datang menghampiri. Kadang-kadang memang kita tak mampu lari. Yang kita mampu lakukan adalah hadapi. Pernah menulis mengenai ujian hidup di ENTRI INI.


Jadi aku reflect permasalahan yang dialami sahabat kepada diri aku. Aku pun pernah alami situasi begini. Bila di tempat kerja sudah mula menunjuk tanda-tanda tidak seronok untuk bekerja, ianya akan mula effect pada keseluruhannya. Bermula dengan bangun pagi untuk ke tempat kerja. Muka masam mencuka. Liat sahaja untuk melangkah ke bilik air untuk persiapkan diri. Lepas tu meredah kesesakan lalulintas. Stress. Sampai tempat kerja, tengok muka bos, stress. Kerja berlambak-lambak, stress. Member tempat kerja tak ngam, stress. Persekitaran kerja tak best, stress. Balik kerja nak kena redah jammed lagi, stress.

See... Semua stress stress dan stress. Dan kestressan itu berulang untuk keesokkan hari dan hari seterusnya. Tapi pernahkah kita terfikir yang stress itu adalah salah satu ujian dari Allah? Ya benar. Ujian. Jadi, jika kita hanya memikirkan stress tanpa mencari jalan penyelesaian, sampai bila-bila pun stress akan membelenggu jiwa. Jadi apakah jalan penyelesaiannya?

Ini yang selalu aku amalkan apabila mengalami sesuatu atau keadaan yang tidak menyeronokkan dan stress adalah, aku berpegang pada konsep SEMUANYA AKAN BERAKHIR. Masih blur dan tak faham dengan apa yang aku cuba sampaikan? Baiklah mari aku bagi contoh.



Pagi-pagi drive pergi kerja. Terperangkap dalam jammed. Memang stress. Tambah-tambah naik kereta manual. Memang azab la. Tapi pujuk hati, semuanya akan berakhir. Habis kuat jammed pun sejam atau dua jam sahaja. Ye dak? Jadi dalam tempoh tu sabar dan bertahan. Sampai tempat kerja pun sama juga. Stress dengan segalanya. Jadi gunalah kaedah pujuk hati, semuanya akan berakhir. Habis lama pun sampai pukul 6 je kerja. Kalau tak pun sampai malam (untuk yang ada OT). Jadi dalam tempoh tu, sabar dan bertahan.

Faham? Itu yang aku sering lakukan. Alhamdulillah berkesan. Memang kalau berada dalam situasi tidak menyeronokkan tu, jam seakan lambat berjalan. Normal. Jadi, SABAR DAN BERTAHAN. InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja. Dalam sehari kita ada 24 jam. Jika kita stress sebanyak 8 jam, sekurang-kurangnya kita ada 16 jam lagi untuk tidak stress. Ya kan? Jadi carilah jalan untuk lakukan sesuatu menghilangkan rasa stress itu. Ambil air sembahyang dan sembahyang. InsyaAllah ubat paling mujarab hilangkan stress.

Dan jika dihimpit ujian dunia, sedarkan akan suatu hakikat ini, semuanya akan berakhir. Kita tidak kekal. Tiada satu pun makhluk di dunia ini akan kekal selain Allah. Jadi kita stress dengan segala macam di dunia, sedangkan segala segenap inci yang ada di dalam dunia ini adalah pinjaman semata-mata. Jadikanlah ini motivasi diri buat kita untuk terus melangkah gagah.


Itu sahaja kot kemerepekanku kali ini. Ada benda baik kita sama-sama amalkan. Aku tinggalkan kalian dengan lagu yang buat kita berfikir sejenak akan hakikat hidup ini. Mari berfikir sejenak.


 


Hami Asraff:

"Ujian Allah untuk menguji kesabaran kita. Kita sabar, ada sesuatu yang hebat menanti di hadapan."


Saturday, March 9, 2013

Beranak Di Tapak Pembinaan


Panas terik di tapak pembinaan Prima Saujana, Kajang. Aku mundar mandir memantau. Masing-masing sibuk dengan kerja mereka. Drawing plan kondominium 24 tingkat itu ditatap lama. Ini projek besar. Projek mega.

"Jom minum dulu!" Ajak Ah Seng, Site Supervisor. Aku memang banyak berurusan dengan Ah Seng.

"Jom!" Berjalan menuju ke kantin sementara yang dibina di tapak pembinaan. Pengusahanya warga negara Indonesia yang menetap lama di sini.

Memerhati gelagat Mat Bangla yang gigih bekerja. Terus bekerja di bawah bahang terik panas mentari. Sebuah gejala biasa bagi mereka. Jauh mereka datang mencari rezeki di negara orang. Usaha dan kerah keringat yang bukan sedikit.

Aku duduk sebelah seorang lelaki Melayu. Andaian aku agak umurnya dalam lingkungan 40-an. Beliau senyum. Aku membalas senyuman dan memulakan sapaan.

"Abang dah lama kerja dekat sini?" Permulaan ayat standard dari aku.

"Oh abe lamo dok keje sini. Lape tahun lebih dah!" Jawabnya dengan loqhat Kelantan yang pekat.

Sambil minum sambil berborak. Ramah abang ni. Dari satu topik ke satu topik yang lain. Topik semasa dan rumahtangga sehinggalah menceritakan keperitan dalam meneruskan hidup.

"Abe dulu hidop susah. Abe tinggal sekali dengan Mat Bangla dalam kontena ni. Bini abe kat kampung. Susah waktu tu."

Dia galak bercerita. Seperti terpendam dan terbuku lama. Dan mungkin aku tiba pada masa yang sesuai. Sesekali terlihat dua orang warga bangladesh yang begitu seronok bermain guli. Aku tersenyum. Mungkin ini sahajalah permainan mereka. Kita beruntung. Sangat beruntung.

"Tapi ada sorang Bangla ni bawa isteri dia yang sarat mengandung. Sampai beranak kat tapak pembinaan ni pun ada."

Terus tersentap aku dengar ayat dari abang ni. Terfikir aku dalam tentang ini. Kita hidup di bumi Malaysia yang mewah. Banyak kemakmuran. Banyak kemudahan. Banyak kesenangan. Tetapi berapa banyak kita tahu bersyukur dan tidak mengeluh tentang hidup kita?

Mungkin ada yang kata, "Alaa nama pun Bangla. Standard la hidup macam tu!"

Walaupun mereka warga Bangladesh, jangan kita lupa mereka juga manusia yang majoritinya adalah muslim. Hidup mereka memang naif. Bekerja kuat dari pagi sehingga malam. Bekerja bukan untuk simpanan di masa depan. Tetapi bekerja untuk makan pagi, petang dan malam.

Penyembangan dengan abang membawa folklift tadi memberi impak dan kesan tersendiri pada aku.

Kita mengeluh dengan apa yang kita miliki hari ini, sedangkan terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Kita mengeluh tentang pekerjaan kita tidak seronok dan sebagainya. Sedangkan beribu di luar sana yang masih tercari pekerjaan, malah lebih susah berbanding kita.

Aku teruskan kerja yang bersisa. Berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja.


Hami Asraff:

"Berhenti mengeluh. Bersyukurlah. Ucaplah alhamdulillah."

Thursday, January 31, 2013

Hidup Adalah Sebuah Pilihan. Tetapi Kadang-Kadang Kita Tiada Pilihan.






Assalamualaikum w.b.t

Kekok. Dah lama tak bertandang ke sini. 2013 pun makin menjengah ke tengah. Pantasnya masa berlalu. Aku masih termanggu. Tergaru-garu. Maaf jikalau ada yang menunggu hasil nukilan picisanku. Jikalau tiada yang menunggu, biarlah aku malu.

Seperti biasa, terlalu banyak coretan yang ingin dimadahkan. Terlalu banyak sorotan kehidupan mahu di hamparkan. Satu persatu episod dan sirah hidup yang mahu dikupaskan. Ya terlalu banyak. Sehingga kadangkala menyesak fikiran dan minda. Tidak terluah dengan kata-kata. Tidak tersembul dengan nada.

Aku teruskan hidup. Kamu teruskan hidup. Mereka juga teruskan hidup. Selagi kita hidup, pilihan kita adalah meneruskan hidup. Hidup, terlalu banyak perkara kompleks terkandung di dalamnya. Kadang-kadang serabut memikirkan tentang masalah hidup. Ah, bukan kadang-kadang. Tetapi selalu. Selalu pening memikirkan masalah hidup yang tidak jemu melanda manusia. Lemah. Tidak berdaya.




Nak tak nak, mahu tidak mahu, best atau tidak best, hidup perlu diteruskan. Itulah tetapan hidup menjadi seorang manusia. Sepanjang meneruskan hidup, kita sering berhadapan dengan pilihan. Terkadang kita sendiri tidak pasti akan pilihan yang kita tentukan. Selalunya ia akan berakhir dengan kegusaran.

Hidup adalah sebuah pilihan. Semua orang tahu tentang cabang hidup ini. Tetapi kadang-kadang untuk melayari hidup seharian, kita terperangkap dan tidak menemui jalan. Kita memaksa diri mengharungi jalan di hadapan dek kerana kita tidak punya hak dan bisa memilih. Natijahnya, matlamat hidup goyah. Terumbang-ambing tidak bertepi. Andai bernasib baik, semuanya akan baik-baik sahaja. Jika sebaliknya, stress akan menguasai jiwa.


Buat masa ini, ketika ini, aku berhadapan dengan pilihan. Walaupun telah banyak pilihan telah dilakukan sepanjang melalui hidup, hati tetap gusar apabila berhadapan dengan sebuah pilihan. Ada dua perkara apabila kita berhadapan dengan pilihan. Pertama kita takut memilih. Takut-takut pilihan kita tidak tepat, dan merana akhirnya. Kedua, kita telah memilih. Kita telah berada di dalamnya. Kita tidak mampu keluar lagi. Jadi kita terus berhadapan dengan kekangan pilihan yang menyesakkan atau menggembirakan.

Hmmm... 

Tarik nafas. Hembus. Lihat awan berarak. Terus bergerak mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh penciptaNya. Sesekali ke kiri, sesekali ke kanan, sesekali bergabung melebar, sesekali berpecah dek ditiup angin. Tetapi tetap terus bergerak menjalankan tugasnya. Begitulah juga manusia. Kita perlu terus melangkah, melangkah dan melangkah. Andai goyah dan rebah, bangun dan melangkah semula. Melangkah meneruskan perjuangan hidup yang bersisa. Andai gusar, pejamkan mata dan yakinlah Allah tahu apa yang terbaik buatmu. InsyaAllah. Subhanallah.

Istikarah. Buat pilihan. Redha dengan pilihan. Senyumlah. Terus melangkah dengan gagah.

Wassalam.


Hami Asraff:

"Kita tidak pernah tahu rancangan Allah. Andai kita tahu, pasti kita tidak mengeluh dan terus bersyukur."