Sesi Monolog Dalaman

Tuesday, September 27, 2011

Empat Golongan Lelaki Yang Akan Ditarik Masuk Ke Neraka Oleh Wanita




Assalamualaikum w.b.t

Ini entri copy paste. Terjumpa di notes rakan di Facebook. Jadi perkara yang baik perlu dikongsi. Supaya semua orang dapat input berguna. Supaya semua orang mempunyai tanggungjawab untuk menjadi manusia yang sentiasa mempertingkatkan amalan padaNYA. Sekiranya yang sudah tahu, jadikanlah ini sebagai peringatan. Yang belum tahu jadikanlah ini sebagai pedoman. InsyaALLAH.




Empat Golongan Lelaki Yang Akan Ditarik Masuk Ke Neraka Oleh Wanita

1. AYAH

Seorang lelaki yang telah memberikan segala keperluan agama seperti didikan solat, menutup aurat dan sebagainya kepada anak perempuannya. Berusaha keras agar anak perempuannya hidup selesa dan berjaya dalam apa jua yang mereka lakukan. Tapi sayang anak-anak perempuannya pula tidak menutup aurat serta melakukan maksiat diluar pengetahuannya. Walaupun lelaki ini telah menunaikan segala tanggungjawabnya terhadap agama, lelaki berjasa ini tetap bakal bersama anak perempuannya ke NERAKA!

2. SUAMI 

Seorang lelaki yang bersusah payah mencari sesuap nasi buat wanita kesayangan yang dikahwininya. Sebaliknya, isteri bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami serta tidak menutup aurat ketika keluar dari rumah. Ada juga isteri yang menutup aurat, tetapi keluar rumah diluar pengetahuan suami. Sekalipun lelaki bergelar suami ini soleh, dia tetap bersama isterinya ke NERAKA!

3. ADIK BERADIK LELAKI

Seorang lelaki yang kakak atau adik perempuannya yang belum berkahwin dijaga, dibantu serta dilindungi dari segala mara bahaya yang mendatang.. Kakak dan adik perempuannya pula tidak menutup aurat, keluar bermaksiat bersama bukan mahram, serta tidak menunakan solat. Lelaki ini bukan sahaja tidak mampu melindungi kakak dan adik perempuannya, bahkan akan turut menemani mereka di NERAKA!

4. ANAK LELAKI

Seorang lelaki yang menjaga ibunya, menunaikan segala suruhan serta taat kepada ibubapa dan agama. Malangnya si ibu tidak menutup aurat, tidak menjaga maruah diri dan agama. Ketahuilah bahawa anak lelaki kesayangan ini akhirnya besama-sama dengan ibu mereka di NERAKA!


Firman Allah S.W.T;

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." ... { Al-Tahrim 66:6 }


Pesan Nabi: "Sampaikan walaupun satu ayat." Sebarkanlah segala kebaikan yang kamu tahu, yang kamu pelajari. Jangan takut ilmumu berkurang. Malahan, makin bertambah dan berkembang. Sentiasalah berpesan-pesan pada kebaikan. Ingat, hidup kita tak lama. Bila-bila masa ajal boleh menjemput. Tiada cara lain, tanya pada diri, apakah persediaan yang telah dibuat untuk menghadapi mati?



Wallahualam. Wassalam.

Hami Asraff:


"Bila ditanya, kamu memilih syurga atau neraka? Semua orang memilih syurga. Jadi mari perlengkapkan amalan untuk ke syurga."

Wednesday, September 21, 2011

Belajar Dari Kehidupan Orang Lain. Aku Belajar Sesuatu Daripada Insan Itu.





Assalamualaikum w.b.t

Mula tersengih sorang-sorang. Diikuti dengan gelak tawa kecil. Semuanya gara-gara aku membaca kembali entri-entri blog aku terdahulu. Masa mula-mula involve dalam dunia blogging ni. Ayat kelakar. Geli pun ada. Hahaha. Aku gelak lagi. Biasalah, ini yang dinamakan proses pembelajaran. Setiap orang jalani. Lama-lama alami peningkatanlah. Tak kisah apa jua bentuk kehidupan. Semua boleh diguna pakai.

Aku menulis pelbagai. Ikut sesedap rasa. Kadang-kadang ayat dalam entri nampak berfalsafah kononnya. Kadang-kadang cuba mengolah ayat sesantai mungkin. Dan kadangkala cuba buat kelakar. Tapi tak pasti sama ada kelakar atau tidak. Bergantung pada jenis entri yang ditulis. Bergantung pada keadaan yang dialami ketika itu. Dan anda pembaca yang mentafsirkan bagaimana. Jadi terserah pada anda semua. Senyum.

Di luar hujan lebat. Sangat lebat. Pelbagai perkara berlegar di minda sekarang ni. Ikutkan hati mahu saja berkongsi semuanya. Tapi biasalah, berblogging kini tidak dijadikan priority. Maksudnya tidak menjadi keutamaan. Telah diberitahu di dalam entri "Kenapa tak rajin update blog?". Menulis sekiranya ada sesuatu yang mahu berkongsi bersama. Sekiranya ada kelapangan masa. Jadi sekarang terasa kelapangan masa itu. Dan cuba melakar sesuatu.


Aku teringat seorang insan ini. Aku gelarnya sahabat. Seorang sahabat yang aku rasa sungguh mulia. Baik hatinya. Tidak lekang dengan senyuman walaupun aku tahu hidupnya sederhana. Sering dilanda badai. Aku namakan sahabat aku sebagai Iskandar (bukan nama sebenar). Hari tu aku ada berjumpa dengan Iskandar.

"Amacam kehidupan la ni bro?" soalan acapkali aku untuk sesiapa sahaja.

"Macam ni la. Macam hang tengok ni." balasnya ringkas.

"Aku tau la. Maksud aku dah ada buah hati ka beb?" soalan provokasi diajukan.

"Buah hati? Siapa la nak kat aku ni Hami. Rupa tak ada, harta toksah dok cakap la. Lagipun aku lepasan SPM je." kata-kata Iskandar ikhlas.

"Dia mula dah buat ayat cliche dia. Alaa, hang toksah dok buat ayat sedih la. Ada la rezeki hang nanti tu. Yang penting hang kena terus berusaha." aku cuba memberi semangat.

"Aku tau. Tapi biasalah lepasan SPM macam aku ni apa la sangat kerja yang boleh buat. Aku jaga kedai ni je la."

Aku terdiam. Ayat-ayat Iskandar buat aku rasa speechless. Memang ada kebenarannya. Aku cuba faham keadaan itu walaupun sebenarnya aku dah tahu akan hakikatnya. Dunia pekerjaan sangat mencabar di luar sana. Graduan Universiti merebut-rebut mencari pekerjaan. Aku cukup mengerti dengan keadaan ini. Tapi aku tak boleh lunturkan semangatnya.

"Dah dah. Jom aku belanja hang makan jom!" aku tukar topik. Tak mahu terus mengheret rasa bersalah.


Iskandar berkerja sebagai jurujual di sebuah kedai ubat-ubatan seorang kenalannya. Dia kata setimpal dengan kelulusannya. Tiap-tiap hari dia buat kerja yang sama. Buka kedai dalam pukul 9:30 pagi dan tutup pukul 10:00 malam. Dalam seminggu beliau diberi cuti sehari. Beliau tidur di situ. Ada bilik dan segala kelengkapan di ruangan belakang kedai. Dia sorang-sorang. Kesunyian dan kesepian menjadi peneman hari-hari. Beliau tidak pernah merungut. Bahkan bersyukur. Masih punya rezeki dari Ilahi untuknya.

Aku membawa kisah sahabat aku ini untuk menjadi pedoman bersama. Kadangkala kita terlalu berasa yang kita kurang dari yang lain. Tanpa kita sedar yang sebenarnya ramai lagi yang hidup serba kekurangan. Ramai lagi yang tak dapat kecapi seperti mana yang kita dapat sekarang ni. Dengan kata lain kita sangat beruntung. Beruntung dari yang lain. Akhirnya, bersyukur juga yang menjadi keutamaan.

Aku cuba membuat perbandingan dengan Iskandar. Bercakap mengenai kesunyian, ternyata beliau lagi sunyi dari aku. Bercakap mengenai kehilangan ayahanda tercinta, dia jugak kehilangan ibu. Sudah lama ibunya tiada. Bercakap mengenai tiada rakan-rakan. Ternyata aku lebih beruntung daripada beliau. Sekurang-kurangnya aku masih punya sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong. Dan sahabat beliau terhad. Hanya beberapa orang. Dan terlalu banyak perbandingan lain yang aku menang awal-awal. MasyaAllah.

Melihat kehidupan insan lain, boleh menjadi pedoman dan iktibar pada diri. Ternyata aku belajar sesuatu daripada insan yang aku gelar sahabat itu.

Justeru, aku melahirkan rasa penuh syukur dengan segala kurniaan ALLAH yang diberikan pada aku. Sekiranya aku fikir aku kurang dari yang lain. Ternyata Iskandar lebih kurang daripada aku. Sekiranya Iskandar fikir yang beliau lebih kurang dari yang lain, ada yang lebih kurang daripada Iskandar. Lihatlah percaturan yang sudah ditetapkan. Pernah menulis entri yang berkaitan di Jangan Mengeluh Dengan Apa Yang Ditimpa. Ramai Lagi Lebih Susah Dari Kamu. Bersyukurlah!



Perkongsian kecil kali ini. Moga membawa pengertian besar untuk semua. InsyaALLAH.

Wassalam.

Hami Asraff:

"Syukur kita masih punya harapan dan semangat untuk terus berusaha jalani hidup. Tiada cara lain, usaha mesti terus. Jangan sesekali putus harap padaNYA. Sentiasa bersangka baik pada ALLAH. Kejayaan pasti milik kita kelak."

Thursday, September 15, 2011

Belajar Menerima Hamparan Kenyataan Dengan Baik





Assalamualaikum w.b.t

Bebola mata kian mengecil. Menunggu masa untuk merebahkan kepala. Merehatkan minda. Jam biologi tidur makin tidak normal. Tidak sekata. Terdorong kuat dengan faktor insomnia. Kadang-kadang berusaha keras untuk tidur. Kena paksa. Tapi masih tidak berjaya. Makanya, aku cuba mencoret sesuatu di sini.

Tetap meneruskan perjalanan hidup seperti biasa. Tebas dah redah apa jua onak mendatang. Sukar. Adakalanya senang. Tetapi kesukaran melebihi kesenangan. Mana boleh dapat sesuatu kesenangan tanpa melalui kesukaran bukan? Jadi, kesukaran demi kesukaran dihadapi demi merebut sebuah kesenangan di hadapan. Lelah juga. Tapi masih bertahan. Harap dapat terus bertahan.

Hakikat.

Cuba semak definisi sebuah hakikat.

"Sesuatu yang nyata dan tidak dapat dinafikan lagi. Kebenaran. Kenyataan."

Pelbagai rentetan peristiwa yang nyata berlaku dalam menjalani kehidupan ini. Kadang-kadang mungkin kita tidak pernah sedari. Apatah lagi mahu memahami seluruh intipati. Memang benar. Hidup ini penuh dengan misteri. Perlu terokai bagi menyingkap pelbagai misteri yang terselindung. Kadangkala kita tidak pernah mahu ambil peduli dengan segala misteri ini. Jalani dan terus jalani. Gapai apa sahaja yang didatangi.

Ujian hinggap dan pergi. Proses ini akan berulang sehingga dimamah usia. Sehingga hayat dikandung badan. Cubalah elak jika boleh. Memang tak boleh. Jadi terima dan terima saja. Dalam proses mengenal kehidupan, jatuh bangun itu adalah perkara biasa. Rentetan daripada itu kita akan mengenal apa itu sebuah hakikat. Hakikat adalah kebenaran. Kebenaran adalah kenyataan.




Mengetahui sebuah kebenaran kadangkala amat menyakitkan.

Sukar untuk berlapang dada jika mendapat perkhabaran pertama tentang kebenaran yang menyakitkan. Berusaha menidakkan kenyataan seboleh-bolehnya. Tidak betul. Semua ini tidak pernah terjadi. Ini semua mimpi. Katakan ianya tidak benar. Dan pelbagai lagi alasan yang diutarakan. Tujuan cuma satu. Cuma mahu menyedapkan hati. Supaya semuanya baik-baik sahaja.

Apabila kehidupan makin pincang, mulalah menyedari keperitan hidup. Dan setelah mengalami fasa keperitan, muncul kebahagiaan juga di hujungnya. Pada masa itu baru tersedar yang bahawasanya tatacara hidup memang sebegitu. Percaturan yang telah ditetapkan Ilahi. Begitu cantik dan sempurna sekali. Dan akhirnya mengucapkan syukur atas dikurniakan kehidupan sebegini. Maha Suci Allah. Tidak Dia menjadikan sesuatu itu untuk sia-sia.

Aku pernah tweet:

"Jangan mencampuri kehidupan orang lain. Biar mereka dengan kehidupan mereka. Kita dengan kehidupan kita."

Ada yang salah faham rupanya dengan tweet di atas. Maksud aku bukan kita tidak boleh mengamalkan untuk saling tegur menegur antara satu sama lain. Tidak sama sekali. Tegur menegur harus diteruskan selagi bernama insan manusia. Mahu terima teguran atau tidak itu cerita lain. Tetapi maksud aku adalah kita punya kehidupan sendiri untuk dijaga. Maka, jagalah kehidupan kita dengan sebaiknya. Tak perlu rasanya mencampuri hal kehidupan orang lain. Mencampuri dalam kes mahu merosakkan keharmonian kehidupan orang lain. Atau bahasa yang lebih sinonimnya, busy body. Jangan. Biar mereka peroleh rasa kehidupan itu dengan cara mereka tersendiri. Faham kan?

Terjumpa sebuah video yang rasanya sangat bagus untuk dikongsi bersama.




Jadi teruskan belajar dan belajar memperbaiki keadaan hidup. Hari demi hari. Setiap masa. Kita mengharapkan semua bakal baik-baik sahaja dengan semua rencana dunia. Jika mendapat sebaliknya redhakanlah hati. Ingat, Allah punya perancangan lebih baik. Teruskan usaha ke mercu jaya dan belajar menerima hamparan kenyataan dengan baik.

Wassalam.


Hami Asraff:

"Manusia berubah. Keadaan berubah. Cara hidup berubah. Alangkah indahnya jika manusia berubah kerana Sang Penciptanya."


Wednesday, September 7, 2011

Tragedi Dan Rahmat Syawal




Assalamualaikum w.b.t

Ramadhan berlalu pergi dengan membawa seribu satu cerita. Cerita suka, duka, kenangan manis, pengalaman menarik dan pelbagai lagi rentetan rona kehidupan. Dalam mengejar kehidupan yang penuh berliku di hadapan. Hunus jua satu persatu untuk meneroka jalan. Adakalanya jalan itu mudah saja tersedia. Adakalanya terlalu sukar. Masih samar bayangan. Mahu tak mahu harus tekad berjuang. Terus melangkah gagah.

Hari ni sudah pun 8 Syawal 4132 Hijrah. Masa terus berlalu. Berlalu meninggalkan kita yang masih terpinga-pinga dan ternganga. Ada orang kata masa itu emas. Tak kurang jugak masa itu berlian. Tapi bagi aku masa itu ibarat nyawa. Hilang nyawa tiada ganti. Hilang masa juga tiada ganti. Lagi-lagi mahu dibeli. Kalau boleh, silalah beli. Mahu jugak aku membeli. Mahu ganti masa-masa yang terbuang begitu sahaja.

Kedatangan Syawal kali ini agak berbeza. Telah di ceritakan di dalam entri Cerita 1 Syawal 1432 Hijrah. Dan itu permulaan untuk bulan Syawal. Ada lagi peristiwa yang berlaku dalam bulan ini. Peristiwa yang membawa kepada pedoman hidup.


1 September 2011 (3 Syawal 4132 Hijrah)

Tragedi Syawal



Tepat pukul 1:30 pagi abang aku dengan tiba-tiba mengajak aku keluar.

"Jom keluaq sat!", ajaknya.

"Pi mana malam-malam buta ni?", tanya aku kebingungan.

"Jom la...", beliau terus mengajak tanpa menjawab soalan aku.

Tanpa bercakap banyak, aku mencapai wallet dan menghidupkan enjin kereta. Dalam perjalanan, aku bertanya lagi. Kali ni baru abang aku bersuara.

"Adik accident.", jawapnya ringkas.

Jawapan padat yang buat aku rasa tersentap seketika.

"MasyaALLAH, accident dekat mana?", tanya aku dengan rasa ingin tahu.

"Jalan belakang UUM. Cepat sikit bawak.", jawapan dan arahan padaku.

Aku menambahkan pecutan kereta. Agar cepat sampai. Kawasan berkenaan gelap. Sampai-sampai ada sebilangan orang mengerumuni adik aku. Dialek percakapan mereka seperti warga Indonesia. Kepala adik berdarah. Tangan kirinya tidak mampu diangkat.

"Bangteh, bawak adik pi hospital cepat. Bangcik bawak balik moto.", arah abang padaku.

Tanpa perlu berfikir banyak, pecutan terus dilakukan. Menuju terus ke Hospital Jitra. Setengah jam jugak jarak perjalanan. Perjalanan dirasakan lambat sampai. Sambil itu aku telefon ibu di rumah. Ibu terkejut bukan kepalang. Bukan apa, tadi aku ada saja di rumah. Aku keluar dengan abang aku tanpa memberitahu sesiapa. Alasan abang aku adalah mahu siasat dulu. Mana tahu kot kot tak teruk accident tu. Aku cakap pada ibu pergi terus ke Hospital Jitra. 

Sampai di Hospital Jitra, aku terus ke wad kecemasan. Tergesa-gesa mengambil wheel chair. Bawak adik dan masuk ke dalam wad terus. Alhamdulillah tak ramai pesakit ketika ini. Sekurang-kurangnya tak tunggu lama untuk mengubati luka-luka adik aku. Pemeriksaan pertama. Adik terpaksa dijahit di kepala. Garisan luka yang agak panjang. Bahu kiri terpaksa di X-Ray terlebih dahulu. Dan keputusannya, bahu adik patah.

Di luar hospital. Ibu, abang-abang dan adik sudah sampai. Juga saudara mara turut serta. Kebetulan adik-adik ibu datang beraya di rumah. Maka ramai jugak yang bertandang ke hospital malam tu. Tunggu sampai ke pagi jugak. Sampai ke rumah dalam pukul 5:30 pagi. Rawatan susulan hanya perlu di rumah. Dua, tiga hari terbaring saja di rumah. Dan alhamdulillah kesihatannya makin baik. Cuma bahu kiri yang patah itu perlu mengambil sedikit masa untuk sembuh. Moga cepat sembuh.


Wajah motosikal adik selepas kejadian. Adik tak mahu gambarnya dimasukkan di sini. Menurut perintah.


3 September 2011 (5 Syawal 1432 Hijrah)

Rahmat Syawal




Malam tu aku online seperti biasa. Ibu aku baru hendak masuk tidur. Dalam pukul 11:30 malam macam tu. Sebelum ibu tidur, beliau sempat pesan padaku sesuatu.

"Bangteh, jangan tidoq sangat. Tidoq tidoq ayam sudah la. Takut-takut kakak Fatin kamu tu dah tiba masanya.", pesan ibu.

"Oh baik, no hal.", jawab aku ringkas.

Kakak ipar aku memang sudah cukup masa untuk bersalin. Memang menunggu masa dan ketika. Abang aku pun selalu ingat supaya berjaga-jaga. Yer la anak sulung abang aku. Mesti teruja yang amat sangat. Aku juga turut serta teruja. Yer la bakal dapat anak buah yang keempat :)

Dalam pukul 12:00 malam abang datang ke bilik ibu. Menurut abang, kakak Fatin dah menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin. Juga sempat memberitahu aku. Lantas, aku terus menghidupkan enjin kereta. Aku perlu menemani abang, kakak ipar dan ibu ke hospital. Adik yang terlantar sakit bersama adik aku sorang lagi di rumah.

Kami mengambil keputusan mahu ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar Perlis walaupun sebenarnya Hospital Jitra lagi dekat. Alasan abang Hospital Kangar lebih ramai orang. Lebih ramai doktor dan peralatan mengcukupi. Akur sahaja kehendak abang. Masih bertindak menjadi pemandu kereta. Sampai di hospital terus ke wad bersalin. Ramai jugak orang. Biasalah orang sakit memang tidak pernah surut. Waktu ni dalam pukul 1:30 pagi. Tunggu punya tunggu dan tunggu kakak ipar baru disahkan boleh masuk wad. Pukul 5:00 pagi kami pulang ke rumah. Esok pagi pulak datang semula.

Esok paginya aku, abang dan ibu sampai hospital dalam pukul 9:30 pagi. Abang nampak gelisah. Mestilah gelisah. Bakal jadi bapa. Abang cuba hubungi isterinya tak dapat. Difahamkan isterinya sudah dimasukkan ke dalam delivery room. Moga selamat semuanya. Berdoa dalam hati. Tepat pukul 10:00 pagi abang dapat panggilan daripada nurse. Alhamdulillah berita gembira. Selamat dilahirkan. Bayi lelaki.

(Anak kepada abang dan kakak iparku. Ada tulis di entri Majlis Perkahwinan Braderku Selamat Dijalankan & Diriku Sebagai Pengapit Pengantin)







Ahmad Harith Amsyar. Nama yang dicadangkan oleh abang. Tak tahu kemungkinan tukar lain atau tidak. Tapi bagi aku sudah sedap dah :)

Alhamdulillah. Begitulah kisah dan ragam kehidupan. Di sebalik setiap kejadian yang berlaku, ada rahmat yang terselindung. Kita tidak pernah nampak sehinggalah kita akan temuinya sendiri suatu hari nanti. Jadi mahu tak mahu kita teruskan hidup dan tempuh hidup ini dengan sebaiknya. Rancangan kehidupan dengan terbaik. Tidak mengapa jika perancangan selalu tersasar. Yakinlah perancangan ALLAH itu yang terbaik. Terlalu sempurna sehingga tidak mampu dibayang dek akal fikiran.

Itu sahaja perkongsian kali ni. Moga kita terus semangat dan tabah menjalani hari-hari yang mendatang.

Wassalam.

Hami Asraff:


"Di saat membuka mata, di saat itu sebuah amanah tercipta. Di saat itu juga harapan digalas bersama. Di sebalik semua kedukaan yang ditimpa, ALLAH akan hadiahkan sebutir sinar kebahagiaan."