Rentetan Pemergian Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi [Part 2]

by - April 23, 2011


Assalamualaikum w.b.t


Seumur hidup ayah tak pernah sakit. Maksud aku sakit-sakit yang dianggap teruk. Alhamdulillah untuk itu. Sekadar demam, sakit kepala, selsema macam tu perkara biasalah. Apatah lagi sakit yang dimasukkan hospital, jauh sekali.

Sehinggalah hari itu.

16 April 2011 : (3.00 petang)

Ayah melakukan kerja-kerja hariannya seperti biasa. Ayah aku berusaha menyiapkan syiling rumah yang sedang disiapkan. Sangat tekun melakukan aktiviti berkenaan memandangkan kurang dari 2 minggu majlis perkahwinan abang keduaku. Masa yang semakin suntuk itulah dipergunakan sebaiknya. Rumah yang kami diami sekarang ini adalah hasil kerja tangan ayahku sendiri. Memang dari dulu ayah aku mahir bertukang.

16 April 2011 : (5.15 petang)

Ayah dan cucu-cucu kesayangannya di belakang rumah. Menganyam sarung cempedak atau lebih dikenali sebagai 'geruk'. Dan sempat disarungkan cempedak-cempedak di belakang rumah. Tujuan 'geruk' ini adalah untuk memastikan buah cempedak itu tidak rosak. Tak semua orang tahu membuat 'geruk' termasuk aku.

16 April 2011 : (6.20 petang)

Ayah mengait buah kelapa di belakang rumah. Air kelapa minuman kegemaran beliau yang ternyata banyak khasiatnya. Belum pun sempat minum air kelapa tadi, tiba-tiba ayah terasa panas badan. Beliau juga mengadu sakit belakang dan sakit perut. Semuanya secara tiba-tiba. Keadaan ini berlanjutan sehingga maghrib. Dalam tempoh berkenaan ayah berkeadaan rimas. Duduk tidak kena, meniarap tidak kena. Mungkin sedang menahan sakit yang amat sangat.

16 April 2011 : (7.30 malam)

Maghrib tiba. Ayah solat maghrib dengan keadaan yang amat sakit. Boleh nampak dari pergerakan solat ayah yang menyeksakan. Menurut kata abang. Sekejap lagi ayah akan dihantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan memandangkan sakitnya berterusan. Waktu ini tidak pernah memikirkan sebarang kemungkinan. Hanyalah telahan seperti biasa. Ayah sakit biasa-biasa sahaja.

16 April 2011 : (8.05 malam)

Abang menghantar ayah ke Pusat Kesihatan UUM yang jaraknya dekat dengan rumah. Hanya mengambil masa 10 minit untuk ke sana. Suntikan yang ketiga kali baru mendatangkan hasil setelah mencuba beberapa kali. Doktor mengambil keputusan untuk merujuk ayah ke Hospital Jitra memandangkan tiada tenaga pakar dan peralatan yang kurang mencukupi. Ayah dihantar ke Hospital Jitra menaiki ambulans diiringi kakak menemani di dalamnya. Abang, adik dan emak mengekori dari belakang.

16 April 2011 : (8.45 malam)

Sampai Hospital Jitra dengan keadaan tergesa-gesa. Kakitangan hospital membawa ayah terus ke wad kecemasan. Ayah diberi rawatan seperti biasa. Keadaan ayah nampak stabil. Ayah sempat berseloroh dengan Doktor. Itulah ayah. Senda gurauan adalah tabiat ayah. Dengan sesiapa sahaja. Ada sahaja lawak jenaka yang disajikan. Walaupun telah diberi ubat ayah masih mengadu yang ayah sakit sangat. Ubat jantung yang diberikan menyebabkan pendarahan di gusi ayah. Boleh bayangkan bagaimana keadaan ayah yang menyakitkan itu.

Tahap kesihatan ayah di pantau dari masa ke semasa.

17 April 2011 : (1.45 pagi)

Doktor memanggil kakak dan mengkhabari sebuah pesanan positif. Keadaan ayah stabil. Jantung ayah stabil. Alhamdulillah. Cuma tekanan darah ayah masih tinggi dan doktor perlu menahan ayah selama 3 hingga 4 hari supaya ayah dapat berehat dan diberi rawatan susulan. Seterusnya kakak, abang dan adik menguruskan ayah untuk pendaftaran ke wad. Seumur hidup ayah seorang yang susah untuk tanggal baju walaupun bersantai di rumah. Tetapi malam tu ayah langsung tidak mahu memakai baju dengan alasan badan ayah panas. Wajah ayah masih tenang. Raut wajah yang langsung tidak menunjukkan kesakitan. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir.

17 April 2011 : (2.15 pagi)

Di wad. Mulut ayah masih berdarah. Hasil suntikan 'ubat mencair darah' yang disuntik oleh Doktor. Banyak kali kapas ditukar di mulut. Darah keluar tidak henti-henti. Semua mengelilingi katil ayah ketika ini kecuali diriku. Terasa sedikit kelegaan memandangkan semuanya dalam keadaan stabil. Kelegaan itu menerusi kata-kata doktor yang mengkhabari semuanya tadi.

Ayah menyuruh mak, kakak, abang dan adik pulang. Cuma ditemani oleh adik aku yang sorang lagi. Dan tiada seorang pun yang menyangka ini adalah pertemuan terakhir antara ayah dengan emak, kakak, abang dan adik.

Mungkin ayah tak mahu isteri dan anak-anaknya meratapi pemergiannya di saat akhir. Kemungkinan itu kami sendiri yang tafsirkan. Langsung tiada pesanan. Tiada amanat terakhir dari ayah. Langsung tiada. Salam dengan ayah adalah seperti biasa. Seperti hari-hari yang lain.

17 April 2011 : (3.10 pagi)

Adik yang menunggu ayah di wad tadi telefon rumah. Suaranya menangis teresak-esak. Emak, kakak, abang dan adik yang baru sahaja sampai rumah, terpaksa bergegas kembali ke Hospital Jitra. Di Wad Melor. Pecutan Vios abangku mencecah 200 km/j. Matlamat hanya satu. Mahu segera sampai.

Sampai di wad. Inilah saat yang paling memilukan. Mak, kakak, abang dan adik mengelilingi ayah. Ucapan zikir meniti di bibir masing-masing. Disusuli dengan lafaz kalimah syahadah dari semua adik-beradik. Ya Allah aku boleh bayangkan betapa hibanya saat ini walaupun aku tiada pada lokasi dan situasi. Sampailah waktu yang sudah tertulis di Loh Mahfuz.

17 April 2011 : (4.27 pagi)

Ayah dijemput Ilahi.

Ya Allah fikiran sangat berkeceramuk. Satu persatu menyerbu masuk hingga tidak mampu difikirkan lagi. Pilu, hiba, rawan dan sebagainya. Waktu ini, pelbagai kesimpulan telah disertakan. Antaranya kalaulah tak bawak ayah pergi hospital, bolehlah emak, kakak, abang dan adik bersama-sama menjaga ayah sehingga hembusan nafas terakhir. Tapi sekiranya begitu, akan timbul pulak perasaan bersalah bersarang di dalam diri. Kalau tak bawak ayah pergi hospital, nescaya akan menyesal seumur hidup.

'Kalau' itu perkataan yang terlalu indah. Sekiranya ada 'kalau' ini semuanya boleh harungi, semuanya boleh diperbaiki, semuanya mampu ditakluki. Malahan tiada langsung tangisan, semuanya hanyalah senyuman melebar.

Suratan takdir. Makin dapat menerima dengan hati yang redha biar kesedihan ini langsung tidak mampu dibendung.

Wassalam.

Wad yang akan dikenang sampai bila-bila. Di sini ayah menghembuskan nafas terakhirnya.


(Akan diteruskan penceritaan ini. Mahu buat cerpen untuk ayah)

You May Also Like

41 comments