Terlalu Rindu Ayah. Hargai Ayah Anda Selagi Mereka Masih Ada.

by - October 11, 2011




Assalamualaikum w.b.t

Idea spontan itu yang terbaik sebenarnya. Bertambah baik sekiranya capai apa sahaja objek berdekatan dan segera catit. Catit ke catat? Aku rasa catat. Dan sekarang ni laptop yang paling berdekatan dengan diri. Lantas tanpa perlu cakap banyak (memang tak perlu cakap pun) aku taip terus. Menaip juga perlu kerajinan. Ternyata kerajinan itu menjelma di saat ini. Syukur.

Terus terang aku sangat merindui arwah ayah. Bila aku bangun pagi, terdetik di hati dan sejurusnya di proses di minda, tersembul sebuah persoalan yang aku sendiri sudah tahu jawapannya. 

"Betul ke ayah aku dah tak ada di dunia ni?"

Astaghfirullahazim.

Bukan aku tak terima hakikat. Tidak. Aku terima semuanya. Aku redha. Aku bulatkan hati terima hamparan takdir ini. Cuma terkadang, terkilas di lubuk hati dan sanubari. Rasa ini hadir tanpa dipinta. Meronta-ronta. Rindu yang bukan kepalang. Hanya ALLAH jua mengetahui betapa gulamnya perasaan hati aku di kala ini.

Senyuman yang mesra itu selalu hadir dalam minda. Sentiasa. Rindu betah bicara ayah dalam memecah kesunyian dalam memberi keceriaan pada kami sekeluarga. Ayah selalu bercerita apabila aku dan ayah di dalam kereta. Seronok. Ada saja cerita yang membuatkan aku gelak tak henti-henti. Itulah ayah. Tidak pernah gagal dalam memberi kegembiraan.


Di mana akan cari
Aku menangis seorang diri
Hatiku selalu ingin bertemu
Untukmu aku bernyanyi

Untuk ayah tercinta
Aku ingin bernyanyi
Walau air mata di pipiku
Ayah dengarkanlah 
Aku ingin berjumpa
Walau hanya dalam mimpi

Lihatlah hari berganti
Namun tiada seindah dahulu
Datanglah aku ingin bertemu
Denganmu aku bernyanyi


Lagu yang selalu diperdendangkan apabila kerinduan bertandang. Benar. Aku ingin berjumpa walau hanya dalam mimpi. Rasanya dulu pernah termimpi arwah ayah. Cuma tak ingat akan situasi yang dialami. Kabur. Lebih kepada arwah ayah ada bersama kami. Seperti imbauan kenangan sahaja.

Kebetulan aku terjumpa sebuah video yang sangat memberi pedoman. Tentang ayah juga. Cukup tersentuh. Besar sungguh pengorbanan seorang insan yang bergelar ayah. Cuba hayati mesej yang ingin disampaikan di dalam video di bawah. Moga ada pengajaran yang berguna.



"There are no perfect fathers. But a father will always love perfectly. Remember to care for those who care for you."

Hari ini genap 177 hari pemergian ayahanda tercinta. Ayah adalah yang terbaik di dunia. Dan aku yakin ayah anda jugak yang terbaik di dunia. Doa kudusku sentiasa dititipkan untukmu ayah. Moga ayah terus diberi ketenangan di alam barzakh sana. 

Al-fatihah untuk arwah ayah, AB HALIM BIN MD. DIAH.

Segala catatan mengenai arwah ayah, aku sematkan di side bar blog ini. Di ruangan BELASUNGKAWA AYAHANDA. 

Wassalam.

Hami Asraff:

"Hargai dan berbaktilah sebaik-baiknya selagi ibubapa anda masih ada di dunia ini. Jangan leka walaupun seketika."


You May Also Like

42 comments