Monday, January 2, 2017

Hati-Hati Dengan Permainan Hati



"Hati manusia boleh berubah."

Seringkali ungkapan ini diungkapkan merata-rata. Disebar seluruh pelosok dunia. Sehingga sampai kepada semua manusia.

Hati, bahagian paling rumit untuk dirungkaikan. Dalamnya ada seribu satu rasa. Dan rasa-rasa itu kadangkala boleh bertukar sekelip mata. Mahu tidaknya, kadangkala sedang bergelak ketawa bertukar menjadi hiba. Seperti kebahagiaan itu direntap dengan tiba-tiba tanpa ada sebab yang munasabah. Kadangkala ada juga menangis kecewa, tetapi dengan tidak semena-mena hadir perasaan yang berbunga-bunga, hadiah dari Dia.

Rungkaian hati ini tidak pernah ada penamatnya. Keresahan pada hati ini kadang membuak-buak. Kita mahu itu, diberi ini. Kita mahu ini, diberi itu. Entah bagaimana lagi mahu memberi kebahagiaan pada hati. Entah kegembiraan yang bagaimana lagi ingin dikecapi. 

Andai hati ini mampu meluahkan kata-kata, pasti panjang lebar luahannya. Tetapi luahan itu seakan tersekat. Ada sesuatu yang menampan supaya tidak tersembur keluar. Ditahan-tahan seksanya. Tidak dapat bayang natijahnya bila makin ditahan. Takut yang keluar nanti hanya amarah. Takut yang tersembur itu dari kata-kata yang membinasa.

Hati-hati dengan permainan hati.
Jangan sampai disakiti.
Jangan sampai menyakiti.

2 comments:

PeRdU cINta said...

Hati itu mampu berbicara,bicara yang adakala luar jangka itu yang berbahaya..cantik hati ikut cantik keseluruhan lainnya.

Cik Itah said...

disakiti takpa..jangan sampai menyakiti sudah huhu