Assalamualaikum w.b.t
Ada tanda soalan di hujung tajuk entri. Bermaksud ianya adalah sebuah persoalan umum. Persoalan demi persoalan. Sama ada bakal terjawab atau tidak masih belum pasti. Mencari akan sebuah kepastian dan kebenaran memang mengundang seribu satu halangan. Tetapi aku seorang yang mencari akan sebuah kepastian dan kebenaran.
Entri yang lebih kepada perkongsian buah fikiran. Berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman. Mari kita cuba merungkai sebuah persoalan di sini.
Bulan Syaaban. Begitu banyak fadhilat dan kelebihannya. Terutama sekali dalam mengerjakan puasa sunat. Alhamdulillah ramai yang berpusu-pusu mengerjakannya. Takkan lepas peluang. Merebut selagi mampu dan terdaya. Alhamdulillah.
Tapi perkara ini dah lama terfikir di benak fikiran. Memang sangat lama. Ini apa yang aku lihat dari kaca mata aku. Orang kita banyak melakukan perkara sunat berbanding wajib. Aku bagi dua contoh sudahlah. Dua contoh yang cukup untuk menghubungkaitkan dengan persoalan.
BERPUASA SUNAT DI BULAN SYAABAN/REJAB TETAPI TIDAK SOLAT
Ada bukan? Cuba mengejar sesuatu yang sunat sehingga terlupa yang wajib. Betulkah caranya begitu? Memang bagus kita mengerjakan amalan-amalan sunat. Sangat-sangat dituntut syariat. Tetapi perlulah seiring dan sejajar. Utamakan yang mana perlu diutamakan. Wajib dan Sunat. Semestinya didahulukan dengan perkara Wajib. Ah, semua orang tahu. Tapi kenapa tak buat? Telah ada persoalan di situ.
BERPUASA SUNAT DI BULAN SYAABAN/REJAB TETAPI TIDAK MENUTUP AURAT
Ini pun satu hal. Umur baru 40-an. Ala, muda lagi beb! Kalau itu jawapan anda, maka anda tidak akan berjaya menjadi seorang insan yang bertakwa padaNya. Aku pun tak faham dengan segelintir manusia sebegini. Terus-terusan menayang aurat tanpa rasa bersalah walaupun sekelumit kuman singgah di hati sanubari. Bukankah menutup aurat itu WAJIB ke atas kamu? Susah sangat ke kak nak tutup aurat? Tapi kakak rajin pulak ye berpuasa. Bagus dan tidak bagus. Satu lagi persoalan yang timbul.
Bila aku bercakap begini, pasti akan ada yang mengata, 'Biarlah itu urusan mereka dengan Allah S.W.T". Aku sangat pasti ramai akan kata begitu. Aku dah terang panjang lebar dalam entri Mamat Dan Rakan-Rakannya. Sila klik dan beri pendapat anda.
Itu bukan jawapan sang pemikir dalam mencari aras kematangan dan kebenaran. Sebaliknya lebih kepada alasan lepas tangan. Dah acapkali aku uar-uarkan perihal ini. Banyak kali.
Dan ramai jugak yang beranggapan barangkali aku nak tunjuk bagus. Sila teruskan anggapan anda. Hidup di dunia ni sementara sahaja. Kalau anda terus-terusan mengejar dunia, akhirat akan terus-terusan meninggalkan anda. Sila percaya dengan 100%!
Aku menasihati diriku yang khilaf ini terlebih dahulu. Mari kita cuba memberi jawapan bagi setiap persoalan yang diutarakan. Tiada usaha tiada jawapan!
"Sesungguhnya bagi Allah ada kaum yang diberikan kepada mereka nikmat untuk menolong hamba-hamba Allah, ia akan berkekalan di tangan mereka selama mereka menggunakannya untuk membantu orang lain kalau tidak ia akan ditarik semula dari tangan mereka akan diberikan kepada orang lain." {Riwayat al-Tabrani}
Wassalam.