Panas terik di tapak pembinaan Prima Saujana, Kajang. Aku mundar mandir memantau. Masing-masing sibuk dengan kerja mereka. Drawing plan kondominium 24 tingkat itu ditatap lama. Ini projek besar. Projek mega.
"Jom minum dulu!" Ajak Ah Seng, Site Supervisor. Aku memang banyak berurusan dengan Ah Seng.
"Jom!" Berjalan menuju ke kantin sementara yang dibina di tapak pembinaan. Pengusahanya warga negara Indonesia yang menetap lama di sini.
Memerhati gelagat Mat Bangla yang gigih bekerja. Terus bekerja di bawah bahang terik panas mentari. Sebuah gejala biasa bagi mereka. Jauh mereka datang mencari rezeki di negara orang. Usaha dan kerah keringat yang bukan sedikit.
Aku duduk sebelah seorang lelaki Melayu. Andaian aku agak umurnya dalam lingkungan 40-an. Beliau senyum. Aku membalas senyuman dan memulakan sapaan.
"Abang dah lama kerja dekat sini?" Permulaan ayat standard dari aku.
"Oh abe lamo dok keje sini. Lape tahun lebih dah!" Jawabnya dengan loqhat Kelantan yang pekat.
Sambil minum sambil berborak. Ramah abang ni. Dari satu topik ke satu topik yang lain. Topik semasa dan rumahtangga sehinggalah menceritakan keperitan dalam meneruskan hidup.
"Abe dulu hidop susah. Abe tinggal sekali dengan Mat Bangla dalam kontena ni. Bini abe kat kampung. Susah waktu tu."
Dia galak bercerita. Seperti terpendam dan terbuku lama. Dan mungkin aku tiba pada masa yang sesuai. Sesekali terlihat dua orang warga bangladesh yang begitu seronok bermain guli. Aku tersenyum. Mungkin ini sahajalah permainan mereka. Kita beruntung. Sangat beruntung.
"Tapi ada sorang Bangla ni bawa isteri dia yang sarat mengandung. Sampai beranak kat tapak pembinaan ni pun ada."
Terus tersentap aku dengar ayat dari abang ni. Terfikir aku dalam tentang ini. Kita hidup di bumi Malaysia yang mewah. Banyak kemakmuran. Banyak kemudahan. Banyak kesenangan. Tetapi berapa banyak kita tahu bersyukur dan tidak mengeluh tentang hidup kita?
Mungkin ada yang kata, "Alaa nama pun Bangla. Standard la hidup macam tu!"
Walaupun mereka warga Bangladesh, jangan kita lupa mereka juga manusia yang majoritinya adalah muslim. Hidup mereka memang naif. Bekerja kuat dari pagi sehingga malam. Bekerja bukan untuk simpanan di masa depan. Tetapi bekerja untuk makan pagi, petang dan malam.
Penyembangan dengan abang membawa folklift tadi memberi impak dan kesan tersendiri pada aku.
Kita mengeluh dengan apa yang kita miliki hari ini, sedangkan terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Kita mengeluh tentang pekerjaan kita tidak seronok dan sebagainya. Sedangkan beribu di luar sana yang masih tercari pekerjaan, malah lebih susah berbanding kita.
Aku teruskan kerja yang bersisa. Berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja.
Hami Asraff:
"Berhenti mengeluh. Bersyukurlah. Ucaplah alhamdulillah."