Sampai suatu ketika aku mula bosan dengan semua social media. Masuk Facebook, asyik tengok orang sana kutuk orang sini. Orang sini balas kutukan orang di sana. Dua-dua sama. Dua kali lima. Itu tak cerita lagi bab gosip para artisan. Dari Siakap3Rasa, PenBiru, OhMatahari, semua berlumba-lumba memburu gosip. Memburu berita-berita viral. Ah, tak kisahlah betul atau tidak, yang penting share weh share. Nanti orang banyak masuk page aku. Then aku glamour. Like aku yang paling tinggi. Yihaaa!
Beralih pulak pada Instagram. Oh sama jugak naiknya. Upload gambar selfie 45 keping tanpa sekelumit perasaan bersalah. Upload gambar seksi dengan kapsyen "Bilalah I nak kurus ni? Menciklah!" walhal dah kurus bak Didie Alias dah pun. Entah kekurusan seperti mana lagi yang diimpikan. Tak kurang juga para kaum Adam dengan gambar possing di gym. "Main gym 5 minit, selfie 50 minit". Kepsyen kelihatan macho, tetapi masih punya unsur kegedikan di situ. Itu belum sembang pasal hashtag yang entah apa-apa. #semuabendakalaunakletakhashtagpunpayahjugak
Tweet tweet. Hat ni aku boleh terima lagi. Sebab dari dulu lagi aku memang suka Twitter. Tapi keseronokan itu dah pun lenyap sama sekali. Dah tak rasa fun. Mungkin budak-budak sekarang ke arah nak kejar populariti. Tweet siapa paling banyak retweet. Siapa paling banyak followers. Siapa boleh jadi tweetfamous. Populariti atasi segalanya. Paling penting orang nampak aku wow. Gila tak wow. Aku ramai followers kot. And then, wajib tweet isu-isu viral ni. Tweet dan sebarkan selaju mungkin. Jadi yang terawal, supaya aku nampak lebih berilmu dari yang lain. Hoyeah!
Hmmmm....
Entah. Itu yang aku rasa. Atau adakah aku sorang je yang rasa macam tu? Orang lain rasa okey je? Atau aku yang mandai-mandai, orang lain have fun je. Atau adakah sebab faktor usia jugak mempengaruhi semua rasa-rasa aku? Boleh jadi. Sebab bila kau menginjak dewasa, semua benda kau dah rasa tak best. Kau nak fokus dekat apa yang ada depan mata je. Bab lain kau nak tolak tepi. Begitu juga dengan social media. Dulu kalau berkongsi dekat social media rasa best gila kot. Tak ada orang nak judge apa-apa. Dulu kau nak upload gambar, rasa seronok je sebab kau memang nak berkongsi dan berkarya. Tapi sekarang semua tu macam dah tak beri apa-apa makna. Entah mana silapnya.
Sebab tu aku kembali menulis di sini. Sebab di sini aku lebih rasa tenang dan bebas. Aku suka membebel dan berkarya sesedap rasa. Aku bebas melontar rasa, melontar buah fikiran tanpa ada orang judge apa-apa. Dan di sini juga bermula semua episod-episod hidup ini. Allah, aku rindu semua saat-saat lalu. Jujur aku terlalu rindu. Dulu dan kini itu dah terlalu jauh bezanya. Tak boleh salahkan sesiapa. Mungkin fitrah dunia begitu. Akan hilang bila sesuatu benda yang baru muncul. Akan tenggelam bila yang lebih laju mula menguasai.
Aku akur sahaja. Cuma jika boleh diundurkan putaran dunia, aku mahu zaman di mana internet kurang berleluasa. Biar dikejar-kejar internet. Biar ada excitement bila melayari internet. Biar layari internet itu di komputer yang besar gedabak itu sahaja. Ah, aku bukan menghalang kemajuan. Cuma aku rindu keinginan-keinginan manusia yang lalu.
Tapi bila aku berkata begini, entah siapa yang peduli.
Silap hari bulan post ini pun tiada yang dibaca.
Tidak mengapa.
Selagi terdaya, aku akan terus berkarya.
Selagi mampu, aku akan teruskan bebelanku.
Biar tiada yang baca.
Paling utama, aku gembira.