Nukilan Insan Ini ( 2009 )

January 02, 2010







Assalamualaikum w.b.t

Hidup ini kadang-kadang tak seperti direncanakan. Begitu banyak halangan dan ranjau berduri mendatang. Hidup ini kadang-kadang perlu pengorbanan. Kerana di situ bakal terbitnya kegembiraan. Hidup ini kadang-kadang suatu penyeksaan. Tetapi ALLAH tidak pernah zalim akan hambaNYA. Hidup ini kadang-kadang membawa seribu satu kemanisan. Lazat nikmatnya tidak berkekalan.

Walaupun apa jua taksiran anda dan saya tentang kehidupan, hakikat yang tidak akan berubah, hidup ini adalah rahmat dariNYA. Memberi kita mengecapi segala kenikmatan. Memberi kita merasai lelahnya perjuangan. Memberi kita menghargai sebuah kehidupan.


Mengejar cinta ILLAHI itu memenatkan. Kadang kala mengundang putus asa. Tetapi percayalah kelazatan dan kenikmatan yang bakal kita kecapi tak kan terlintas di tubir minda sebelum ni. Hanya Dia sahaja yang berhak untuk segala. Maha Suci ALLAH. Tidaklah Engkau menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Masa melewati hari-hari tanpa disedari. Singgahnya ibarat dedaun kering yang ditiup sang bayu dinihari. Kalau dapat diundurkan putaran pada paksinya, ramai yang berebut-rebut menggagahi barangkali.

2009. Begitu banyak episod yang singgah untuk tahun masihi ini. Episod yang akan terus dikenang di layar memori. Tak kurang juga episod yang langsung ditinggali. Apa jua episod hidup ini, ianya telah berlalu pergi dan berjaya diharungi.

Alam berubah kerana manusia. Manusia berubah kerana manusia. Alangkah baiknya kalau manusia berubah kerana penciptaNya. Aku jua insan yang telah mengalami perubahan diri. Insan ini masih mencari identiti. Mencari sinar yang masih dalam kesamaran. Insan ini jua jahil dalam pelbagai perkara. Insan ini masih belajar dan belajar membaiki kelemahan diri.




Orang di luar sana menilai diri ini dari sudut dan perspektif yang berbeda. Insan ini selalu menunjukkan kegembiraannya. Adakah insan ini tiada kesedihan menyelubungi diri? Insan ini selalu memperlihatkan ketabahan yang digagahi. Adakah insan ini tiada dugaan atau cabaran dalam hidupnya sehari-hari?

Telah tertulis suratan hidup ini. Walau cuba menempis ia datang tanpa berlapis-lapis. Tapi apakan daya untuk bertempis. Ia singgah jua walau secebis. Hanya iman dan takwa menjadi sandaran. Menjadi hamparan untuk segala persinggahan.


2010. Mungkin azam diperbaharui. Jika ditanya, jawapan menjadi lebih baik menjadi majoriti. Sifat lahiriah manusia sendiri. Mengejar kesempurnaan yang tak berbelah-bagi. Hanya harapan dan doa mengiringi. Menjadi senjata untuk menempis segala dugaan yang bakal menghujani.

Sama-samalah kita mencari hakikat sebuah kehidupan. Jadikan yang lalu sejarah dan panduan. Iktibar dan pengajaran terus digenggami. Yang bakal mendatang sebagai persediaan untuk bertemu Ya Rabul Izzati.

Wassalam ~



You Might Also Like

8 Comments

  1. Hidup ini satu penilaian
    tiap bicara, biar senyap mana pun ia dalam kelonsong hati, ada penilaiannya
    pada laku kita, pada manisnya senyum mahupun hitamnya amarah, ada penilaiannya
    jadilah permata sebolehnya
    berbisiklah pada Allah dengan zikir
    bisik yang tak pernah putus

    esok hari baru
    lusa lagi hari baru
    tapi sebaru mana kita mampu jadi, kalau yang menanti cuma gelapnya hati
    tapi sebaru mana kita mampu tunggu, kalau esok pun bernafas belum tentu

    berazamalah sedetik ini
    azam yang satu
    hidup dan matiku, untuk Pencipta.. Allah-hu

    ReplyDelete
  2. saya suker hayati lagu blog tuan... dalam kehidupan ini yang perlu di ingati ialah kita sejak lahir hanya menuju mati. cuma perjalan menuju mati itu akan berlaku secara dramati mengikut sunnah dan al quran ataupun mengikuti nafsu dan syaitan. percalah cinta allah itu tidak memenatkan mencintai allah itu tiada putus asanya kerana kita adalah alam yang baharu kelak allah akan menghiburkan hati kita dengan pelbagai ilmu yang baharu bagi kita. sesungguhnya selagi kita berpakaian sebagai manusia putus asa itu sentiasa berbisik pada hati kerana manusia itu dibaluti oleh nafsu mazmumah yang mudah bosan. jika hati terbiar kekosongan tak berteman jangan sekali di pandang kekosongan itu pada orang yang banyak tetapi kekosongan itu biarlah meresap ke dalam jiwa hayati kesunyian yang tiada berteman itu seperti kita telah terbenam di dalam liang lahad keseorangan. bersabarlah selagi kita berada di atas dunia kita perlu dan wajib berpakaian iaitu mengikuti mazhab mayat iaitu walau apa jua allah lakukan pada kita sama ada yang bertepatan pada kehendak atau bertentangan redhaoilah senyumlah dan carilah DIA dalam senyuman dan ketika terasa kosong dan sunyi tangisilah menangislah biar seluruh dunia tenggelam dalam kesyahduan rindu cinta hamba yang tiada nilai kelak cinta itu akan di nilai di hadapan seluruh kaum dari bani adam hingga ke akhir zaman menyaksikan cinta ya allah hu ya rabbi.....

    ReplyDelete
  3. salam bro..menusuk ke hati en3 ko ni..tq2..moge Allah perkenankn ape2 yg ko hajatkan aminnnnnnnnn

    ReplyDelete
  4. herm..dunia ni hnye persinggahan yg smentara untuk kita.dunia ni seperti sebuah pelayarn sementara dan kita xbleh nk ptus asa sebab kita takkan dpt ape yg kita inginkan dlm hidup ni.btul x??name pn smntara..so kita knelah manfaatkan masa yg ade dgn melakukn perkara2 yg berfaedah dn diredhai Allah..semoga hidup kita sntiasa diredhai oleh-NYA...amin~

    ReplyDelete
  5. Kita hanya menumpang di sini. Semoga persinggahan ini diberkati ...

    ReplyDelete
  6. salam. segalanya bergantung kepada hati kita. insya'Allah, semoga tahun 2010 menjadi tahun yang lebih baik. :)

    ReplyDelete
  7. semua yang komen --> terima kasih atas nasihat dan pandangan. saya hargai! :-)

    ReplyDelete

Setiap komen anda akan diapprove dengan senyuman :)

Subscribe