Thursday, January 31, 2013

Hidup Adalah Sebuah Pilihan. Tetapi Kadang-Kadang Kita Tiada Pilihan.






Assalamualaikum w.b.t

Kekok. Dah lama tak bertandang ke sini. 2013 pun makin menjengah ke tengah. Pantasnya masa berlalu. Aku masih termanggu. Tergaru-garu. Maaf jikalau ada yang menunggu hasil nukilan picisanku. Jikalau tiada yang menunggu, biarlah aku malu.

Seperti biasa, terlalu banyak coretan yang ingin dimadahkan. Terlalu banyak sorotan kehidupan mahu di hamparkan. Satu persatu episod dan sirah hidup yang mahu dikupaskan. Ya terlalu banyak. Sehingga kadangkala menyesak fikiran dan minda. Tidak terluah dengan kata-kata. Tidak tersembul dengan nada.

Aku teruskan hidup. Kamu teruskan hidup. Mereka juga teruskan hidup. Selagi kita hidup, pilihan kita adalah meneruskan hidup. Hidup, terlalu banyak perkara kompleks terkandung di dalamnya. Kadang-kadang serabut memikirkan tentang masalah hidup. Ah, bukan kadang-kadang. Tetapi selalu. Selalu pening memikirkan masalah hidup yang tidak jemu melanda manusia. Lemah. Tidak berdaya.




Nak tak nak, mahu tidak mahu, best atau tidak best, hidup perlu diteruskan. Itulah tetapan hidup menjadi seorang manusia. Sepanjang meneruskan hidup, kita sering berhadapan dengan pilihan. Terkadang kita sendiri tidak pasti akan pilihan yang kita tentukan. Selalunya ia akan berakhir dengan kegusaran.

Hidup adalah sebuah pilihan. Semua orang tahu tentang cabang hidup ini. Tetapi kadang-kadang untuk melayari hidup seharian, kita terperangkap dan tidak menemui jalan. Kita memaksa diri mengharungi jalan di hadapan dek kerana kita tidak punya hak dan bisa memilih. Natijahnya, matlamat hidup goyah. Terumbang-ambing tidak bertepi. Andai bernasib baik, semuanya akan baik-baik sahaja. Jika sebaliknya, stress akan menguasai jiwa.


Buat masa ini, ketika ini, aku berhadapan dengan pilihan. Walaupun telah banyak pilihan telah dilakukan sepanjang melalui hidup, hati tetap gusar apabila berhadapan dengan sebuah pilihan. Ada dua perkara apabila kita berhadapan dengan pilihan. Pertama kita takut memilih. Takut-takut pilihan kita tidak tepat, dan merana akhirnya. Kedua, kita telah memilih. Kita telah berada di dalamnya. Kita tidak mampu keluar lagi. Jadi kita terus berhadapan dengan kekangan pilihan yang menyesakkan atau menggembirakan.

Hmmm... 

Tarik nafas. Hembus. Lihat awan berarak. Terus bergerak mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh penciptaNya. Sesekali ke kiri, sesekali ke kanan, sesekali bergabung melebar, sesekali berpecah dek ditiup angin. Tetapi tetap terus bergerak menjalankan tugasnya. Begitulah juga manusia. Kita perlu terus melangkah, melangkah dan melangkah. Andai goyah dan rebah, bangun dan melangkah semula. Melangkah meneruskan perjuangan hidup yang bersisa. Andai gusar, pejamkan mata dan yakinlah Allah tahu apa yang terbaik buatmu. InsyaAllah. Subhanallah.

Istikarah. Buat pilihan. Redha dengan pilihan. Senyumlah. Terus melangkah dengan gagah.

Wassalam.


Hami Asraff:

"Kita tidak pernah tahu rancangan Allah. Andai kita tahu, pasti kita tidak mengeluh dan terus bersyukur."