Sesi Monolog Dalaman

Tuesday, March 29, 2011

Ujian Dan Manusia Ibarat Satu



Assalamualaikum w.b.t


Entah apa yang bergelodak di hati sekarang ni. Fikiran menerawang jauh. Sejauh alam. Kenangan pula singgah di sini. Di layar memori. Di setiap lipatan relung masa. Terjebak dan terus terbenam di sudut dalam minda. Digam kuat. Memang tidak mampu melepaskan diri.

Keluhan demi keluhan dilepas. Aku tahu keluhan tidak mampu mengubah apa-apa. Mungkin meredakan sedikit ketegangan yang dirasa. Tetapi kadangkala langsung tidak membantu mana. Lebih kepada perlakuan spontan dalam merencana agenda.

Masih cuba berdiri gagah. Mempaling wajah pada mereka. Mereka terus mentertawa. Itu hak mereka. Ketawalah sepuasnya. Mungkin sampai masanya, keadaan kembali reda. Aku akan tunggu masa itu. Dan pada masa itu giliran aku ketawa. Ah, mungkin hanya menguntum sebuah senyuman mesra. 

Aku tak berjanji. Manusia mana berpegang pada janji. Tapi ada. Sesungguhnya aku tabik kepada manusia sebegitu. Tulus, luhur dalam mengotakan janji. Tetapi aku langsung tak rasa kagum pada manusia yang begitu bersemangat menabur janji-janji manis. Kalau sudah tahu kesudahannya, nescaya ia akan menjadi janji-janji pahit. Sepahit palitan di hati. Dapat rasa bukan?

Masa itu akan datang. Sabarlah hati. Sabarlah diri. Kenapa harus bimbang? Kita kan ada ALLAH? Lupakah yang ALLAH yang sedang menguji kamu sekarang ni? Lupakah yang perancangan ALLAH adalah paling sempurna? Lupakah keadilan itu milik ALLAH?

Jika engkau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pasti DIA akan damaikan hatimu kerana masakan ALLAH sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan ALLAH tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tetapi itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNYA.


Sabar. Redha. Tabah. 3 perkara penting yang ada dalam diri dan menjadi aku kuat. Lagu di bawah sentiasa beri kekuatan padaku untuk terus melangkah.


Pernah post lagu ini dalam entri ini

Wassalam.

Hami Asraff:

1. Sibuk dengan Final Year Project. Masa makin suntuk.
2. Tahniah kepada sahabat, Nur Azreezan, you are such a good presenter :)



Friday, March 25, 2011

Hentikan Trend 'I Follow You, You Follow Me Back' Sekiranya Mahu Berjaya Dalam Berblogging



Assalamualaikum w.b.t


Aku rindu. Aku rindu mahu membebel di blog. Seperti dulu dulu. Sewaktu aku mula-mula terjebak dalam arena blogging. Tiap-tiap hari ada saja titipan entri di sini. Ah, masa berlalu. Keadaan mengeliru. Suasana hilang satu persatu. Masa depan yang kita sendiri tidak tahu. Itu kehidupan.

Mungkin aku bukan blogger sejati? Mungkin. Apakah definisi seorang blogger sejati? Aku sendiri tak pasti. Adakah perlu sentiasa update blognya sehari 5 atau 6 kali? Aku sendiri tidak pasti. Adakah perlu blogwalking setiap hari dari blog ke blog? Aku sendiri tidak pasti. Adakah perlu turun padang dalam memeriahkan aktiviti bersama-sama blogger yang lain? Ah, serius aku sendiri tak pasti.

Kalau jawapannya adalah 'YA' untuk soalan-soalan di atas ni, maka aku bukanlah seorang blogger sejati. Eh hello kenapa timbul pasal blogger sejati ke tak sejati ni? Blogger, bloggerlah. Main sejati sejati la pulak.

Hahaha. Tidak. Aku cuma terfikir. Sebenarnya sudah lama terfikir akan hakikat ini. Dunia blogging makin dicemari. Seperti pernah aku cakap dalam entri-entri sebelum-sebelum ni. Dicemari yang bagaimana? Hurmmm, makin ramai manusia tidak mengaplikasikan 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Terlalu ramai. Khususnya untuk para blogger.

Terlalu banyak penambahan trend dalam berblogging kini. Menyusup dan terus memintas dengan laju. Blogger pulak seperti tumbuh bagai cendawan setelah hujan. Peribahasa acapkali digunakan. Terlalu banyak trend yang bagi aku tidak sihat yang telah diamalkan oleh para blogger. Terlalu banyak sekiranya mahu kupas satu persatu. Baik, aku kupaskan satu isu sajalah dulu.

Tajuk entri di atas sudah mampu membayangkan apa yang bakal aku canangkan. Mari mari sama kita lihat adakah perkara ini sesuatu yang tidak sihat atau sebaliknya.

Dah lama aku mahu bercerita perihal ini. Terlalu lama. Cuma masa tidak mengizinkan. Trend blogger kini yang mungkin sedang mendapat sambutan. Aku mungkin bukanlah blogger yang lahir dari zaman dahulu kala. Aku pun baru lagi dalam arena berblogging ini. Baru hampir 2 tahun. Mentah lagi. 

Para blogger termasuk diri ini,

Tak usahlah terlalu kejar followers. Tak usahlah terus mengamalkan trend 'I Follow You, You Follow Me Back'. Hentikanlah dengan kadar segera. Sekarang jugak! Sekiranya anda masih punya keinginan dan beretika dalam dunia blogging, janganlah dijadikan ini sebagai sumber utama. Perkara utama di dalam anda berblogging. Nescaya anda tak kemana.

Silalah kembali pada tujuan anda berblogging. Ikhlaskan diri. Tanya pada diri apa tujuan anda berblogging? Letakkan matlamat yang jelas. Jangan terlalu mahu mengikut arus blogging yang mengejar glamer kononya, mengetepikan segala hal-hal entri. Terlupa yang bahawasanya entri adalah perkara utama dalam berblogging. Ah, makin ramai yang lupa aku rasa.

Berbanggakah anda sekiranya anda copy bulat-bulat tajuk akhbar hari ini dengan harapan ramai orang akan masuk blog anda? Kalau itu yang anda bangga, maka anda memang tiada matlamat yang jelas. Pernah aku menulis dalam entri Perlu Tetapkan Matlamat Yang Jelas Dalam Berblogging. Bacalah sekiranya mahu.

Selama hampir dua tahun aku berblogging, hanya 4 blog saja yang aku betul-betul ikuti. Di bawah ni atau anda boleh klik di sini





Sebab apa? Sebab aku tak rasa dengan mengamalkan 'I Follow You, You Follow Me Back' dapat membantu menjadikan anda seorang blogger yang bermatlamat. Dan sekiranya mahu kata aku riak dengan menunjukkan begini, dipersilakanlah. Aku sudah lali dengan cakap-cakap manusia yang tak penting bagi aku.

Habis tu macam mana nak suruh orang follow dengan rela hati?

Dengan rela hati tidak perlu suruhan. Caranya, hanya hasilkan entri yang berkualiti. Entri yang memberi maklumat. Entri yang memberi manfaat. Entri yang dapat memberi apa-apa sahaja kesan kepada pembaca. Tak kisahlah. Ada yang tulis pasal peribadi pun ramai gila yang suka baca. Mungkin itu kelebihan anda. Ambillah itu sebagai sesuatu yang positif.
Apabila anda berkarya/menulis dari hati, pembaca dengan sendirinya akan follow blog anda. Semuanya terletak pada anda. Carilah idea bagaimana mahu menghasilkan entri-entri yang mampu memikat hati pembaca. Paling penting, jadilah diri sendiri.

Sekali lagi ingin aku bagitau di sini. Tiada langsung mahu berbangga. Aku cuma mahu para blogger sedar apa itu berblogging. Bermulalah dari bawah. Tak usahlah kejar followers, tak usahlah terlalu kejarkan trafik sehingga anda lupa banyak lagi perkara penting. Utamakan isi entri anda terlebih dahulu. Yang lain akan menyusul. Anda mahu kejar sampai ke mana? Nescaya memang tak terkejar.

Belajar dan terus belajar membaiki kelemahan diri. Untuk diri sendiri terlebih dahulu. Begitu jugak di Twitter. Aku pun tak mengamalkan 'I Follow You, You Follow Me Back'. Sekiranya anda suka, silalah follow, tak suka, tak usahlah follow. Konsep mudah yang semua orang kena faham.

Mari terus menjadi blogger yang beretika dan tak mudah lalai dengan arus trend yang terus menghasut.

Wassalam.

Hami Asraff:

1. Mungkin aku dulu pun macam tu. Tapi aku mula belajar dari hari ke hari :)
2. This is not the race dude.

Wednesday, March 16, 2011

Video Yang Sangat Menyentuh Kalbu. Tengok 80 Kali Pun Tak Jemu.

Assalamualaikum w.b.t


Jumpa lagi kita di waktu dan hari yang telah-telah bukan hari yang sama. Kegiatan untuk mengupdate blog kian hambar. Hambar sehingga aku membiarkan Blog Hami Asraff ini terdampar. Begitu sahaja. Tanpa belas kasihan. Ah, manusia makin tidak kasihan kepada manusia lain. Okey itu cerita lain.

Mahu berkongsi sesuatu lagi dengan anda. Biasalah aku apabila kesukaran untuk melelapkan mata dihabiskan dengan aktiviti merayap-rayap ke laman sesawang yang kian meningkat namanya di persada arus keinternetan. Iaitu Youtube. Err, semua orang tahu. Maka aku mendapat malu.

Video ni aku dah ushar lama dah. Tapi saja dok peram dalam genggaman. Memang aku tengok 80 kali aku langsung tak rasa jemu. Serius. (tapi tak cukup 80 kali lagi rasanya). Yang pastinya memang buat aku terhiba dengan sendiri. Mari mari ushar video di bawah. Kalau ada orang yang pernah ushar tu buat-buat seperti belum pernah ushar okey.





MasyaAllah memang tersangat 'speechless'. Intonasi dan gaya penyampaiannya yang sangat meruntun jiwa. Sangat menusuk kalbu. Memang kena sangatlah dengan nama program Sentuhan Qalbu. Program sebegini sangat sangat perlu wajib diteruskan. Tapi aku ni jarang tengok Telebisyen. Tengok telebisyen dekat Youtube je la.

Antara butir-butir sajak di atas yang paling menarik minat aku :


Tolong bayangkan siapa ikonmu Tuan Puan,
Siapa ikon anak-anakmu selama ini Tuan Puan,
Siapa idola saudara-saudara anak-anakmu saat ini,
Lihatlah bagaimana anak-anak kita yang sudah 
melupakan Baginda Nabi Muhammad,
Mereka lalai kepada Baginda Nabi Muhammad,
Mereka tak ada lagi rasa cinta kepada Baginda Nabi Muhammad,
Mereka bangga dengan ikon artis-artis mereka,
Mereka bangga dengan pemain bola sepak yang mereka banggakan,
Tolong katakan Tuan Puan,
Sudah berapa lama kita lalai hidup di dunia ini,
Sudah berapa lama kita tidak mendidik anak-anak kita,
Untuk mencintai baginda Nabi Muhammad SAW.

Terpana dan terkesima. Semua yang diperkatakan adalah betul sama sekali. Semuanya. MasyaAllah mari kita sedar hakikat yang penting ni. Sangat bahaya sekiranya kita mengangkat manusia lain sebagai idola kita. Mari terus awasi siapa idola kita dan anak-anak kita. Ops! Anak-anak hampa. (Yang sudah ada anak la)

Cepat ulang 80 kali video atas ni!

Itu saja buat masa ni. Memang banyak mahu dikongsi. Tapi masa membatasi. InsyaAllah akan terus mengisi ruangan ini. Dan terus ingatkan diri sendiri.

Wassalam.

Hami Asraff:

1. Malam ni ada kelas ganti.
2. Masa makin hari makin suntuk.


Saturday, March 12, 2011

Kembali Kepada Akar Umbi



Assalamualaikum w.b.t


Bukan semua yang kita impikan mampu menjadi milik kita. Perlu disemat kemas di dada. Juga kewarasan minda dipengaruhi bersama. Berwaspada dengan setiap langkah. Bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Belajar mencari jalan penyelesaian.

Inilah kehidupan yang harus kita jalani dan fahami. Manusia tidak akan senantiasa berada di atas. Di bawah juga. Sampai suatu ketika akan jatuh terjelepuk dan sukar untuk bangun lagi. Juga tanpa disangka kita bakal diangkat dengan jayanya. Siapa tahu. Kuasa Allah itu nyata. Mari terus berdoa.

Harus lihat dari akar umbi kembali. Kembali kepada jalanNya. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Biar pun diuji berkali-kali, teruskanlah memujuk hati. Alhamdulillah kita masih punya sekeping hati untuk dijaga. Sabar dan redha. Gabungkan keduanya.

Mungkin ini yang kita perlu cari. Mari bertaubat dan muhasabah diri.  

Wassalam.

Hami Asraff:

1. Dunia blogging makin dicemari.
2. Terlalu banyak kemungkaran yang dilakukan manusia di dunia ini. Bencana alam adalah bala dari Allah S.W.T
3. Moga taubat kita diterima.


Monday, March 7, 2011

Kita Tak Mampu Puaskan Hati Semua Orang. (Nukilan Di Malam Sepi)





Buat itu salah. Buat ini tidak kena. Bercakap ini dikatakan bongkak. Berkata begitu dicakap riak. Tulis begini dikritik. Tulis itu dihentam. Apa lagi tidak kena wahai sang manusia?

Manusia. Makhluk yang mempunyai akal budi. Makhluk yang tersangat aneh. Makhluk yang tidak pernah puas. Makhluk yang misteri. Makhluk yang unik. Makhluk yang terlalu banyak ragam. Makhluk yang baik. Makhluk yang jahat. Makhluk yang kejam. Makhluk yang sopan santun. Makhluk yang penyayang. Makhluk yang dengki.

Terlalu banyak untuk aku bentangkan satu persatu. Memang tidak pernah habis akan kriteria untuk seorang insan yang bergelar makhluk Allah S.W.T. Tidak pernah cukup dengan sehelai kertas. Tidak pernah lengkap dengan sebuah kiasan bermadah. Tidak pernah.

Meniti penghidupan bergelar manusia, aku belajar banyak benda. Terlalu banyak perkara yang dikutip. Mengenal manusia membuatkan aku lebih kenal Sang Pencipta. Membuatkan aku mengagumi kebesaranNYA. Juga membuatkan aku lebih kental dalam meneruskan perjalanan. Berliku mungkin. Masakan perjalanan kamu lurus. Tidak mungkin.

Kita senantiasa berusaha memperbaiki diri. Memperbaiki kelemahan diri seadanya. Mencuba dan terus mencuba melakukan yang terbaik. Bukankah itu diperlukan sebagai sang manusia? Kalau jawapan ya kenapa masih perlu ada sengketa? Kenapa perlu tanamkan perasaan hasad dengki dalam darah daging kamu? Kenapa biarkan darah daging itu membusuk? Kenapa? Tiada jawapan bukan?

Masa depan adalah sinar baru bagi setiap orang. Kenapa perlu memilih jalan yang kelam sekiranya sinar halus masih kelihatan? Tahu. Kadangkala kita tidak nampak jalan walaupun haluannya terbentang luas. Kadangkala kita memilih jalan yang salah walaupun jalan yang betul telah sedia terhidang. Kadangkala kita sudah pun memilih jalan yang sepatutnya, tetapi terhenti di pertengahan.

Manusia dikurniakan dengan kesabaran. Tetapi janganlah diuji kesabaran itu berkali-kali. Nescaya, meledak jua. Manusia dikurniakan dengan akal yang sihat lagi waras. Jangan meletakkan kewarasan itu pada tempat yang tidak sepatutnya. Manusia juga punya hati dan perasaan. Jangan sesekali lukakan sekeping hati yang penuh rasa kasih sayang atas alasan yang tidak masuk akal. Manusia juga dianugerahkan dengan maruah untuk dijaga. Janganlah biarkan maruah disepak terajang oleh manusia. Jangan.

Tiada manusia yang sempurna. Jangan salahkan orang lain atas sebab yang berpunca dari diri sendiri. Kita berusaha menjalani kehidupan yang lebih baik hari demi hari. Tetapi mungkin ada manusia yang lebih suka memilih masa silam untuk teruskan kehidupan. Terpulanglah. Semoga kita semua berjaya harunginya.



Hami Asraff:
Aku dah delete entri bergambar sebelum ni. Puas hati kamu?