Sesi Monolog Dalaman

Friday, December 31, 2010

Nukilan 365 Hari








Alunan azan sayup-sayup kedengaran. Sayup jugak hati ini. Jiwa meruntun. Satu persatu kenangan terterbit di layar minda. Imaginasi yang tidak kekal lama. Mengecil, makin kecil dan terus hilang dalam lipatan relung masa. Menyusuri sebuah perjalanan dalam mencari sinar. Sinar tu tampak kelam. Hanya sesekali cahaya halus menyinari. Tidak lama. Kembali suram dan kelam. Mengakhiri perjalanan dengan longlai. Tidak bersemangat.
Hidup ini kadang-kadang tidak seperti direncanakan. Terlalu banyak halangan dan ranjau berduri mendatang. Yang kita sendiri tidak pernah tahu. Tidak pernah terlintas di fikiran. Sebuah hakikat yang tidak akan berubah, hidup ini adalah rahmat dariNYA. Memberi kita mengecapi segala kenikmatan. Memberi kita merasai lelahnya perjuangan. Memberi kita menghargai sebuah kehidupan. Kehidupan yang kita sendiri tidak dapat pastikan.

Masa melewati hari-hari tanpa disedari. Singgahnya ibarat dedaun kering yang ditiup sang bayu dinihari. Kalau dapat diundurkan putaran pada paksinya, ramai yang berebut-rebut menggagahi barangkali.


2010.
Begitu banyak episod yang singgah untuk tahun masihi ini. Episod yang akan terus dikenang di layar memori. Tak kurang juga episod yang langsung ditinggali. Apa jua episod hidup ini, ianya telah berlalu pergi. Episod kegembiraan, kepedihan, kekecewaan, kesedihan yang semuanya diguling sekali.
Alam berubah kerana manusia. Manusia berubah kerana manusia. Alangkah baiknya kalau manusia berubah kerana penciptaNya. Aku jua insan yang telah mengalami perubahan diri. Insan yang masih mencari sinar. Insan ini masih belajar membaiki diri.

Orang di luar sana menilai diri ini dari sudut dan perspektif yang berbeda. Insan ini selalu menunjukkan kegembiraannya. Adakah insan ini tiada kesedihan menyelubungi diri? Insan ini selalu memperlihatkan ketabahan yang digagahi. Adakah insan ini tiada dugaan atau cabaran dalam hidupnya sehari-hari?
Telah tertulis suratan hidup ini. Walau cuba menempis ia datang tanpa berlapis-lapis. Tapi apakan daya untuk bertempis. Ia singgah jua walau secebis. Hanya iman dan takwa menjadi sandaran. Menjadi hamparan untuk segala persinggahan.




2011.
Mungkin azam diperbaharui. Jika ditanya, jawapan menjadi lebih baik menjadi majoriti. Sifat lahiriah manusia sendiri. Mengejar kesempurnaan yang tak berbelah-bagi. Hanya harapan dan doa mengiringi. Menjadi senjata untuk menempis segala dugaan yang bakal menghujani.
Sama-samalah kita mencari hakikat sebuah kehidupan. Jadikan yang lalu sejarah dan panduan. Iktibar dan pengajaran terus digenggami. Yang bakal mendatang sebagai persediaan untuk bertemu Ya Rabul Izzati.





Hami Asraff:

1. Berat kaki melangkah.
2. Perjuangan harus diteruskan.
3. Selamat Tahun Baru 2011 semua.

Tuesday, December 28, 2010

Langkahan




Kekuasaan Allah itu pasti
Terbentang luas segala bukti
Perlu teliti dengan mata hati
Supaya sebati pada diri

Langkahan terus disemarakkan
Mencari sebuah Nur Keimanan
Tidak semudah ungkapan
Apatah lagi perjuangan

Jihad pada diri sendiri disulam
Yang tidak pernah tenggelam
Sampai masanya akan padam




Hami Asraff:

1. Nukilan rasa di kamar. 12:23
2. Meletakkan kembali lagu di blog. Lagu yang memberi kekuatan.

Saturday, December 25, 2010

Haram Berpakaian Serupai Santa Claus Apatah Lagi Menyambut Hari Krismas


Assalamualaikum w.b.t



Gambar Hiasan.



Aku pernah menulis mengenai ini di dalam entri Sedarlah! Ya perlu menulis lagi supaya kita terus ingat akan sesuatu. Sesuatu yang salah. Dan yang salah untuk diperbetulkan.

Straight to the point.




Umat Islam dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut menyambut perayaan Krismas hingga sanggup memakai pakaian atau perhiasan menyerupai Santa Claus kerana ia bertentangan dengan ajaran agama.
Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin berkata, umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas disambut masyarakat yang menganut Kristian.

“Kerana ingin bersama-sama meraikan perayaan itu menjelang 25 Disember, ada orang Islam yang memakai pakaian seperti Santa Claus bagi saya, hukumnya adalah haram.
“Tanpa disedari, perbuatan itu secara tidak langsung boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang umat Islam,” katanya, semalam.

Beliau sendiri ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara itu dan meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus semata-mata kerana diarahkan majikan berbuat demikian.

Tahrir berkata, pihak atasan sesebuah organisasi seharusnya sedar dan maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
“Memang tidak dinafikan sesetengah individu yang bekerja di pusat membeli- belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan itu atas kehendak tugas.

“Majikan sebenarnya boleh mengarahkan pekerja bukan Islam berpakaian sedemikian sebaliknya memilih individu beragama Kristian untuk memakai pakaian itu,” katanya.



Sumber dipetik: Harian Metro

Janganlah berbangga dengan memakai topi Santa Claus tu. Memang ada yang berbangga. Siap tangkap tayang seantero dunia. Yang bukan Islam lantak pi la kan. Ni yang dah sah sah Islam ni. Mungkin alasan tak tahu. Okey diterima. Sekarang dah tahu?

Aku copy beberapa contoh entri untuk anda lebih fahami.



KRISMAS DI MALAYSIA

Saya jelek melihat warga kota di KL menyibukkan diri dengan Krismas. Wajah cekodok pisang bertopi Santa. Mata kecil Timur ber’ho ho ho’ di pasar-pasar raya. Apa yang diimport ke masyarakat kita sempena Krismas, bukanlah kesedaran untuk menghayati agama, tetapi kemiskinan jati diri warga kita yang terlalu kemaruk untuk menjadi Barat.
Apabila menonton NTV7 dan 8TV, saya semakin jelek dengan gelagat ‘orang-orang urban‘ yang terdesak untuk menjadi Barat. Desperado!
Inilah hasil didikan Barat, seperti yang dimahukan oleh Thomas Babington Macaulay, pegawai pendidikan British yang merangka sistem pendidikan untuk negara-negara jajahan seperti India. Apa yang beliau mahukan ialah “Indian in blood and colour, with English in taste“.
Di Malaysia, kita ada ramai Melayu yang berdarah dan warna Melayu, Cina yang berdarah cina dan warna Cina, serta India yang berdarah India dan berwarna India, tetapi mempunyai selera pemikiran dan perasaan Barat. Golongan ini, sama ada yang mem’perang’kan rambut atau tidak, tidak pernah diterima sebagai Barat oleh Barat. Hanya mereka sahaja yang tergila-gilakan Barat. Membodohkan diri seolah-olah malu dirujuk sebagai Timur, sebagai Islam.
Malah saya fikir, keghairahan orang Malaysia hari ini untuk meninggalkan Islam dan beralih kepada agama Kristian, bukanlah kerana yakin dan penuh iman kepada syariat Bible. Tetapi gejala murtad yang berlaku adalah berpunca daripada usaha melepaskan diri dari ikatan agama, agar tidak dihukum dosa ketika menjamah arak dan zina. Mengapa? Kerana agama Kristian didakyahkan sebagai agama accomodative yang menawarkan pengampunan, yang memberikan ‘harapan’, sedangkan pelaku dosa itu, misalnya penzina, di mata Islam, adalah sasaran lontaran rejam batu dan sebatan.


Sumber dipetik daripada blog Saifulislam: Tragedi Emosi Krismas. Dan juga entri Kad Krismas Saya Untuk 'Anda' mungkin dapat menambah pemahaman anda. Klik pada link tersebut dan baca dengan teliti serta buat penilaian yang seharusnya.


Jelas bukan kenapa kita kita ditegah untuk tidak menyambut perayaan beragama ini. Diharap pihak-pihak tertentu dan majikan alert tentang isu ini. Jangan terlalu mengaut keuntungan sampai ketepikan segala yang dituntut agama.


Perayaan budaya melibatkan perayaan bangsa seperti Tahun Baru Cina langsung tak ada kaitan dengan agama yang menjurus kita melakukan sesuatu yang ditegah agama. Tetapi perayaan beragama sah-sah salah di sisi agama. Ulama memperakui. Perayaan agama menentang hukum dan sekaligus menentang ALLAH. Ini hanya pandangan dek cetek akal fikiran saya melalui pembacaan dan pembelajaran. Sila rujuk kepada yang lebih arif tentang ini. Wallahu'alam.


Pesan Nabi "Sampaikan Walaupun Satu Ayat".

Wassalam.

Thursday, December 23, 2010

Perlu Tetapkan Matlamat Yang Jelas Dalam Berblogging



Assalamualaikum w.b.t





Betullah kata orang. Buat sesuatu perkara tu kena fokus. Fokus ni buat sesuatu benda tu sampai setel dan jangan peduli yang lain lagi. Menulis blog pun macam tu jugak. Macam aku tengah buat sekarang ni. Tutup semua laman-laman web dan buka ruangan New Post ni saja. Baru kelancaran menaip dengan jayanya.


Aku akuinya memang semakin tidak rancak dalam berblogging. Tengok sajalah jarak hari yang diambil untuk nak update the next entry. Dengan kata lain seminggu 1 entri sahaja yang berjaya diupdatekan. Tapi Twitterku memang sehari tak update tak sah. Heran pulak yang Twitter memang tersangat rajin update. Maybe sebab simple dan cepat. Kalaulah dicompile semua tweet aku memang boleh dijadikan entri ni.


Ada banyak sebab boleh jadikan pemangkin kita untuk terus menulis dan berblogging. Paling ketara adalah kata-kata semangat dari pembaca. Perghh kalau kata-kata positif dari pembaca memang hati ini berbunga rianglah. Di bawah antara kata-kata positif dari anda yang di kotak shoutbox aku.











Tiada tujuan untuk berbangga. Cuma terasa gembira dengan komen dan pesanan yang dilampirkan. Kagum? Haish, tak ada benda apa yang nak dikagumkan pun wahai Cik Kiera dan Cik Amal. Dan kepada 'Hamba Allah' waalaikumussalam. Ish ish ceq bukan sapa-sapa untuk diminati.


Lately, ada la 2, 3 orang bertanyakan perihal macam mana nak buat blog kat aku ni. Teringin nak ketengahkan bakat-bakat tersembunyi barangkali. Baguih baguih. Ada bakat tu jangan pendam saja. Kata aku buat blog ini mudah. Yang aku tau blogspot je la. Domain, hosting semua tu memang aku taktau.


Kalau blogspot, registerlah di http://www.blogger.com/ dan registerlah seperti biasa. Macam register e-mel. So simple. Tetapi yang aku nak ketengahkan kat sini ialah Matlamat Berblogging. Yup semua harus sematkan matlamat ini terlebih dahulu.


Apa itu matlamat berblogging?


Aku tanya korang balik. Apa tujuan korang menulis blog? Jawapan yang paling majoriti. Tentulah mahu berkongsi apa sahaja dengan pembaca. Coretan idea, pendapat spontan, bangkitkan sesuatu isu, pengalaman hidup dan macam-macam lagi. Dengan kata lain permulaan untuk anda menulis, kena sematkan matlamat anda berblogging. Biar nampak jelas.


Macam mana nak tetapkan matlamat berblogging?


Jawapan untuk soalan ini anda sendiri yang kena fikirkan. Mungkin ada yang mahu berblogging untuk dapatkan pendapatan sampingan. Bagus. Sebab ianya mampu jadikan pemangkin semangat untuk anda terus menulis. Tetapi pesan aku, janganlah jadikan pendapatan sampingan itu perkara pertama untuk berblogging. Sebab? Anda pasti tidak akan bertahan lama sekiranya itu dijadikan motif.


Apa yang paling penting apabila berblogging?


Jawapan aku satu saja. Kekuatan entri anda. Tanyalah mana-mana blogger pun. Memang jawapan ini je yang bakal diorang berikan. Apa yang anda ingin sampaikan dalam setiap entri anda. Gaya bahasa, cara penulisan dan isu yang dikupas. Biarlah berpatutan dengan perkara yang ingin dirumuskan. Tak kisah la mahu menulis apa pun. Bagaimana nak bentukkan semua ni, kenalah fikir sendiri.


Aku menulis blog sebab?


Aku menulis blog sebab aku suka menulis. Trafik bukan perkara yang aku titikberatkan sekarang ni. Buktinya aku tak la selalu update blog ini dan memang dah lama tak blogwalking. Tapi aku bukan kondem mereka yang selalu update blog. Tidak. Baguslah idea anda terlalu banyak dan janganlah biarkan idea tu hilang tanpa sebarang pesan.


Eh rasa macam tak layak pulak nak kongsi tips ni sebab blog aku ni bukanlah seperti blogger yang terkenal lain. Apa la sangat nak dibandingkan dengan blogger lain yang maju dan terus maju.


Pernah menulis mengenai Ciri-Ciri Entri Berkualiti Bagi Anda. Dan ianya adalah pendapat aku semata-mata. Tapi haruslah diingat etika dalam menulis. Apa-apa pun, please please consider perihal agama dahulu. Itu yang terutama. Janganlah terlalu ghairah menulis sehingga agama diketepikan. Salah sama sekali. Itu matlamat tak jelas.


Yang tu je la sesi merepek kali ni. Jangan buat blog sebab orang ada blog tetapi tiada matlamat jelas. Jadikan pengalaman hidup dan ilmu anda yang berharga itu sebagai suatu perkongsian berguna kepada semua pembaca. InsyaAllah.


Wassalam.


Hami Asraff: Menulislah dari hati. Dari situ pembaca akan menilai anda. Biarlah penilaian sebagai mana pun. Dan jangan terlalu ghairah mengejar trafik sehingga terlupa isi penting entri.

Thursday, December 16, 2010

Apa Yang Ditegur Di Dalam Blog Ini Bukan Nak Tunjuk Bagus. Menegur Dengan Harapan Ditegur.



Assalamualaikum w.b.t


*hujan membasahi bumi tatkala ini*


Tertarik dengan soalan-soalan yang dikemukakan di tempat aku praktikal ini untuk mengambil pekerjanya bekerja (interview). Dikendalikan oleh seorang yang bergelar ustaz.


Soalan yang tidak berkaitan langsung dengan prospek tempat kerja. Soalan-soalan begini yang akan ditanya dalam sesi interview.


1. Tinggal sembahyang tak?


2. Rukun Islam ada berapa perkara dan sebutkan satu persatu.


3. Rukun Iman pulak?


Wow! Terpana. MasyaAllah majikan yang sangat bagus. Entri yang berkaitan telah ditulis di dalam entri Respek Majikan Yang Menjaga Solat Para Pekerjanya.




Okey tinggalkan bab di atas. Hanyalah mukadimah.



Mari mengagendakan dengan tajuk entri di atas. Sengaja letak tajuk yang panjang. Memang sekarang ni suka letak tajuk yang panjang. Daripada tajuk tu dah pun dapat tangkap apa isu yang bakal dikupas.


Sebenarnya banyak perkara yang buat aku nak tergelak sendiri. Manusia manusia. Ada saja yang tak puas hati dengan manusia lain. Memang sejak azali tak boleh diubah hati yang membusuk itu. Dengki adalah perkara paling akrab dengan manusia. Ramai menjadikan mereka sebagai sahabat. Entri Hasad Dengki Mampu Membunuh Setiap Jiwa adalah salah satu contohnya.


Ada orang melenting apabila ditegur. Perghh berangin beb. Walhal memang benda yang dia buat itu salah. Salah kena tegurlah kan? Contoh hari tu sesuatu dialog sempat dirakamkan. Seseorang menegur seseorang yang tidak memakai tudung.




"Tutuplah aurat kamu tu." teguran diberikan.


"Lantak akulah. Aurat aku. Yang kau sibuk apasal?" jawapan dihambur dengan begitu berangin sekali.


Perbualan tamat.



Waduh waduh adik-adik, Kak Long, Kak Chik, dan Kak Limah sekali pun sedarkah itu jawapan orang jahil? Kalau sedar bagus. Kalau tak sedar sila sedarkan diri anda.


Bukan masalah menyibuk ke tidak sekarang ini. Kalau dah memang tak mau tutup aurat, nak melawan apa yang Allah suruh, jawab la elok-elok. Tapi aku tak pastilah jawapan sehabis elok yang bakal diterima apabila soalan berkenaan diutarakan.


Dalam Al-Quran pernah menyebut:


WASAMI'NA WA ATO' NA (dan kami dengar dan kami patuh)


Bukan aku kata. Al-Quran yang kata. Jelas. Setiap segala perkara yang baik haruslah dipatuhi. Memang susah nak buat benda yang baik. Benda tak baik tak suruh pun ramai yang buat. Sangat akui. Tetapi haruslah terima apa yang ditegur dengan hati terbuka dan berlapang dada. Bukanlah melenting dan menghambur kata nista. Salah sama sekali.


Suka aku katakan, walaupun seorang pengemis menegur anda sesuatu yang baik haruslah patuhi. Jangan ingat dia seorang pengemis, dia hina dan anda tidak mahu mendengar teguran beliau. Tengok jugaklah teguran yang bagaimana.





Dan menjawab soalan segelintir manusia yang melabelkan nak "tunjuk bagus" sebab menegur di dalam blog ini, ketahuilah wahai manusia sekalian langsung tidak pernah terasa nak tunjuk bagus sebab memang dah terang-terangan diri ini tidak sebagus mana. Memang tak ada benda apa yang harus ditunjuk bagus.

Perlukah anda seorang ustaz, ustazah atau orang alim ulama untuk menegur?

Jawab soalan aku dulu. Baru boleh baca di bawah.

Apa yang ditulis adalah pendapat aku semata-mata, cetusan idea daripada pengalaman, pembacaan dan pemerhatian. Bukanlah apa yang diutarakan semuanya betul. Menegur dengan harapan ditegur. Bukankah teguran itu perlu dilaksanakan? Sebab itulah adanya ruangan komen. Untuk membetulkan mana yang salah. Bukanlah mencanang perkara yang tak betul kepada orang lain.


Faham?




Kalau tak faham jugak fahamkanlah. Kepada semua blogger, tulislah apa yang mahu anda tulis. Tetapi haruslah menepati kriteria yang Islam anjurkan. Sebab kriteria untuk berblogging tidaklah diselaraskan. Tetapi kriteria atau garis panduan yang Islam tunjuk jelas.




Mungkin entri ini bersesuaian untuk semua. Tak Usah Letak Gambar Yang Bukan-Bukan. Buat Tambah Dosa Sahaja.


Itu sajalah aku rasa. Kata aku tunjuk bagus lagi siap! Err...





Wassalam.


Hami Asraff:
1. Hati manusia memang tak pernah puas.
2. Eh Tahun 2010 bakal melabuhkan tirainya pun.



Saturday, December 11, 2010

Entri Dedikasi Selamat Hari Lahir Untuk Ibuku



Assalamualaikum w.b.t

Sedikit tinta. Mukadimah untuk insan paling ku sayangi di muka bumi ini. IBUku, Puan Salmiah Binti Husin.


Langkah dipandu selaras dengan keupayaan.

Susun atur tampak kemas. Menepati citarasa dan hak saksama.
Dari jauh jelas kelihatan walaupun samar bayangan.

Wajah itu tidak pernah lekang dengan senyuman.
Segala onak dihunus satu-persatu.
Kudrat itu sentiasa gagah di mata.
Tiada sedikit tercalit kehampaan.
Malah lakaran senyuman dilebarkan.


55 tahun. Genap usia ibuku semalam (10 Disember 2010). Seorang wanita kental. Mengharungi perbatasan untuk menjadikan aku seorang aku. Menjadikan kami seorang kami.

Melewati usia emas begini aku akur, terlalu banyak harapan dan pengorbanan digalas demi memastikan kami sekeluarga menikmati kegembiraan. Selesa dengan kehidupan. Itu yang mereka salurkan.

Tetapi anakmu ini masih belum menakbur bakti padamu ibu. Bakti? Ah, tak usah bercakap pasal bakti. Memang tidak layak untuk aku bercakap perihal bakti dengan ibuku. Sebab memang aku 'kalah' awal-awal dengan bakti ibuku terhadap aku.

Sakiti hati ibu? Mungkin selalu menyakiti hati ibuku. Kekadang tindakan ku tidak pernah ku sedari. Tidak sempurnakan hajatnya. Tidak mendengar kata-katanya dahulu. Tidak menalifonnya selalu. Bukankah itu boleh sakitkan hati ibu? Akur.

Maafkan aku ibu. Maafkan segala kekhilafan anakmu ini.

Selamat Hari Lahir untuk Ibu. Moga ibu sentiasa menjadi ibu terbaik untuk kami sekeluarga.





Video ini sentiasa menjadi pedoman kepadaku.


Hargailah ibu kita dan berbaktilah sementelah mereka masih ada di dunia ini.

Wassalam.

Hami Asraff: Bersyukur masih mempunyai ibu berbanding mereka di luar sana.


Saturday, December 4, 2010

Banyak Bertanya Itu Bagus Tetapi Biarlah Berpada-Pada Dan Masih Di Dalam Logik Akal








Assalamualaikum w.b.t

Ingin berkongsi sebuah kisah yang menarik. Kisah yang dipetik di dalam Majalah Solusi Isu NO.19. Aku taip semula kisah ini. Let's baca di bawah.


Seorang lelaki dikenali sebagai seorang yang amat suka bertanya dan mempersoalkan sesuatu. Mungkin dia merasakan itu hanya sekadar untuk bersuka-suka atau "saja-saja".


Namun tanpa disedari, sikapnya itu menimbulkan banyak masalah dalam kalangan penduduk setempat. Dan lebih berbahaya lagi apabila soalan-soalan menyentuh soal-soal keimanan.


Satu hari dia bertanya kepada kawan-kawannya,


"Kau rasa betul ke neraka itu tempat seksa yang paling dahsyat?"


"Memang dahsyat. Sangat panas. Api neraka berganda-ganda lebih panas daripada api dunia. Kenapa kau tanya begitu?"

"Syaitan dibuat daripada apa?" tanyanya lagi.

"Eh, tentulah daripada api!"


"Neraka pula?"


"Neraka pun daripada api!"

"Itulah persoalannya. Syaitan akan dimasukkan ke neraka. Dia daripada api, neraka juga daripada api. Kalau demikian apalah sakitnya, apalah seksanya,"

simpul lelaki itu sambil mencemik.





Kawan-kawan mula berfikir. Betul juga, terlintas begitu dalam hati mereka.


"Apa kata kita jumpa Tok Imam untuk mendapatkan penjelasan," cadang seorang daripada mereka.


"Aku rasa Tok Imam pun tak dapat menjawabnya," kata pemuda itu.


Mereka berjumpa Tok Imam dan mengajukan soalan itu.


Sejurus kemudian, Tok Imam mengambil ketul-ketul tanah dan membaling pemuda itu. Tok Imam terus membaling sehingga muka dan badan pemuda itu bengkak-bengkak. Tidak tahan dia pun lari.


"Jangan lari. Jangan lari."


"Inikah sikap Tok Imam? Saya bertanya soalan, sebaliknya dibaling dengan ketul tanah!"


"Itulah jawapan saya. Saya membaling kamu dengan tanah, sepatutnya tak sakit. Kamu dicipta daripada tanah dan saya baling kamu dengan tanah, apalah sakitnya..."


"Oh sakit tuan. Habis badan saya bengkak-bengkak..."


"Itulah yang akan dialami oleh syaitan di dalam api neraka nanti!"


"Ya, ya. Saya faham. Jangan baling lagi."



Pengajaran



Sekali-sekala orang yang degil perlu diajar dengan cara yang keras dan tegas. Kekadang jawapan dalam bentuk tindakan. Walaupun ada masanya sangat pahit tetapi itu lebih berkesan.


Tak salah kita banyak bertanya. Tetapi perlulah kena dengan tempat, logik akal dan sebab munasababnya. Kalau soalan yang dihamburkan lebih kepada untuk menunjukkan rasa riak dan takbur, maka hentikan.


Bertanya untuk mengetahui apa yang belum diketahui. Bukan bertanya untuk menguji yang memungkinkan memakan diri.


Wassalam.



Hami Asraff: Aku pun seorang yang banyak bertanya. InsyaAllah setakat ini tidak menghampiri zon merbahaya lagi dengan soalan yang aku lemparkan.